Pesta coklat, salji & makanan halal, terokai keindahan musim sejuk di Melbourne
BAYANGKAN diri anda dikelilingi hamparan salji putih, festival cahaya yang memukau dan udara dingin yang menyegarkan di tengah-tengah musim sejuk Australia.
Jika anda sedang mencari percutian yang menawarkan pengalaman berbeza, Melbourne dan wilayah Victoria menjanjikan Cool Escapes yang menggabungkan seni, alam semula jadi, pengembaraan serta kemudahan mesra Muslim dalam suasana musim sejuk yang cukup mempesonakan.
Dari Jun hingga Ogos, Melbourne menjadi destinasi musim sejuk yang meriah dengan pelbagai festival dan acara bertaraf dunia.

Antara tarikan utama ialah pameran eksklusif Cartier di NGV International yang berlangsung dari 12 Jun hingga 4 Oktober.
Pameran ikonik Cartier ini adalah pameran terbesar yang pernah dianjurkan NGV International, dengan penampilan lebih 300 koleksi bersejarah termasuk tiara, rantai dan permata yang pernah menghiasi golongan diraja serta selebriti dunia.
Pada waktu malam, Royal Botanic Gardens Melbourne pula bersinar menerusi Lightscape, sebuah pengalaman cahaya interaktif yang memukau pengunjung dengan instalasi seni berskala besar, muzik dan laluan bercahaya yang sesuai dinikmati bersama keluarga sambil menghirup secawan coklat panas.

Bagi penggemar makanan, Winter Night Market di Queen Victoria Market berlangsung setiap malam Rabu dari Jun hingga Ogos yang menawarkan pelbagai hidangan jalanan, persembahan muzik dan suasana musim sejuk yang cukup meriah.
Pelancong Muslim juga tidak perlu risau kerana Melbourne terkenal dengan pilihan makanan halal yang pelbagai, khususnya di kawasan Brunswick dan pusat bandar. Malah, kunjungan ke Islamic Museum of Australia memberikan peluang untuk mengenali sejarah serta warisan komuniti Islam di negara Australia.
Selain meneroka bandar raya Melbourne, pengalaman sebenar Cool Escapes boleh dilanjutkan menerusi road trip ke wilayah Victoria.
Perjalanan ke Ballarat membawa pengunjung ke Winter Wonderlights di Sovereign Hill, yang menampilkan salji buatan, pertunjukan cahaya dan suasana bandar emas abad ke-19 yang memukau.
Pencinta coklat pastinya teruja dengan Hot Chocolate Festival yang berlangsung sepanjang Ogos di The Chocolateries Yarra Valley dan The Chocolateries Great Ocean Road.

Selain menikmati minuman coklat panas premium, pengunjung juga boleh merasa 31 perisa coklat berbeza sepanjang bulan, yang dihasilkan khas sempena festival tersebut. Bagi mereka yang ingin merasai salji sebenar, Victoria Snowfields seperti Mount Buller, Falls Creek dan Mount Hotham menawarkan pengalaman ski serta aktiviti mesra keluarga.
Bagi yang pertama kali menikmati salji, aktiviti meluncur menggunakan papan luncur salji atau toboggan, serta merentasi kawasan bersalji dengan snowshoes pasti memberikan pengalaman yang menyeronokkan.
Pengunjung juga digalakkan bermalam satu atau dua malam di resort alpine bagi menikmati pengalaman musim sejuk yang lebih menyeluruh. Musim sejuk juga merupakan waktu terbaik untuk menyaksikan migrasi paus di Phillip Island.

Dari Mei hingga Oktober, spesies seperti Humpback Whale (ikan paus bungkuk) dan Southern Right Whale (paus kanan Selatan) dapat dilihat dari beberapa lokasi pemerhatian popular atau menerusi pelayaran khas yang turut menawarkan peluang melihat lumba-lumba dan koloni anjing laut.
Sebelum menamatkan percutian, singgahlah di Mornington Peninsula untuk menikmati pengalaman berendam dalam air mata panas di Alba Thermal Springs & Spa atau Peninsula Hot Springs.
Keindahan air mineral semula jadi yang hangat dalam suasana udara sejuk menjadikan pengalaman ini antara kemuncak percutian musim sejuk di Melbourne.

Jadi, jika anda ingin menikmati musim sejuk Melbourne dengan cara yang berbeza, gabungan tarikan bandar, pengembaraan di regional Victoria dan kemudahan Muslim-friendly travel menjadikan Melbourne destinasi yang wajib dikunjungi pada musim sejuk ini.
Untuk maklumat lanjut dan inspirasi perjalanan, layari visitmelbourne.com.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
