‘Tak sangka bersalin awal...’ - Eleena Sui timang cahaya mata kedua, bayi lelaki lahir usia kandungan 30 minggu & kini di NICU

No Image Caption
A
A
A

SETIAP perjalanan bergelar ibu hadir dengan cerita tersendiri. Ada yang melalui detik penuh debaran, ada juga yang diuji dengan kejutan sebelum akhirnya dipertemukan dengan cahaya mata yang dinanti-nantikan.

Begitu juga pengalaman bekas hos dan pelakon jelita, Eleena Sui yang kini bergelar ibu kepada dua cahaya mata apabila selamat melahirkan bayi lelaki, biarpun si kecil hadir lebih awal daripada jangkaan.

Perkongsian tersebut dibuat oleh pemilik nama penuh Nor Eleena Hamzah kepada SinarPlus yang memaklumkan putera kecilnya selamat dilahirkan ketika usia kandungan baru mencecah 30 minggu dengan berat hanya 1.1 kilogram.

Sekadar makluman, Eleena kini menetap di Arab Saudi bersama suami tercinta, seorang peguam iaitu Ahmad Faisya Mohd Bustamam, yang dikahwininya pada 4 Februari 2017.

"Assalamualaikum, saya sudah selamat melahirkan bayi lelaki. Tetapi tak cukup bulan. 

“Tak sangka bersalin awal pula. Bayi selamat dilahirkan secara normal pada usia kandungan 30 minggu dengan berat 1.1 kilogram,” katanya menerusi WhatsApp kepada penulis.

Menurut Eleena, bayi lelakinya kini masih berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) di sebuah hospital di Jubail, Dammam, Arab Saudi bagi mendapatkan pemantauan rapi.

“Sekarang masih di NICU. Mohon doakan baby boy kami kuat dan semuanya dipermudahkan,” ujarnya.

Terdahulu, SinarPlus berkongsi perkembangan mengenai kehamilan kedua Eleena yang disifatkan cukup istimewa apabila berita tersebut hanya diketahui tuan punya badan selepas kandungan memasuki usia empat hingga lima bulan.

Lebih mencuit hati, perubahan pada tubuh Eleena terlebih dahulu disedari anak sulungnya, Eva Aurora yang kini berusia lima tahun.

No Image Caption

Ketika itu, Eleena berkongsi bahawa anaknya sangat teruja apabila mengetahui bakal bergelar kakak dan tidak sabar untuk menjaga adiknya.

“Anak perempuan saya kini dah lima tahun, kejap sahaja dah besar dan dah nak masuk sekolah pun.

“Bila dapat tahu bakal jadi kakak, dia excited sangat dan tak sabar nak jaga adik.

“Yang kelakarnya, sebelum saya pergi buat pemeriksaan doktor, dia yang musykil kenapa saya makin berisi dan tanya kenapa perut saya makin membesar,” katanya.

Menurut Eleena, dia sendiri tidak menyedari perubahan tersebut sehinggalah Aurora beberapa kali bertanya sama ada terdapat bayi dalam perutnya.

“Saya sendiri tak perasan, tetapi dalam seminggu sebelum ke klinik itu, Aurora asyik tanya ‘is there a baby in your tummy?’ (adakah ada bayi dalam perut ibu?),” selorohnya.

Bagaimanapun, di sebalik fasa awal kehamilan yang kelihatan tenang, Eleena mengakui dia pernah melalui detik mencemaskan apabila mengalami sedikit pendarahan akibat rutin harian yang agak aktif.

“Sebelum ini kedatangan haid saya memang macam biasa, lagipun saya ini seorang yang sangat aktif. Ada sikit tumpah darah pada awal kehamilan, jadi saya anggap itu hanyalah darah haid biasa.

“Bila periksa dengan doktor, saya dinasihatkan jangan terlalu aktif sebab rupa-rupanya saya mengalami masalah plasenta previa atau uri di bawah,” jelasnya.

No Image Caption

Tambah Eleena, antara November tahun lalu hingga Januari tahun ini, dia banyak melakukan perjalanan darat termasuk perjalanan dari rumah ke Mekah bagi menunaikan umrah yang mengambil masa sekitar 14 jam pemanduan.

“Jadi, mungkin itu juga menjadi penyebab saya bleeding (pendarahan),” katanya.

Kini, selepas melalui pelbagai debaran sepanjang kehamilan, Eleena dan keluarga hanya mengharapkan doa agar permata hati mereka terus kuat dan sihat.

Walaupun perjalanan menyambut kelahiran kali ini hadir dengan kejutan, kehadiran bayi kecil itu tetap menjadi hadiah terindah buat keluarga Eleena yang kini semakin lengkap dengan kehadiran seorang putera.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang