3 puteri terima sijil huffaz serentak, pasangan suami isteri sebak anak selesai hafalan 30 juzuk. 'Hadiah terbesar ibu dan ayah'
SIAPA yang tidak sebak apabila melihat anak-anak berjaya menghafal ayat-ayat suci al-Quran. Sejuk perut ibu mengandung apabila bukan seorang, tetapi tiga orang cahaya mata berjaya bergelar huffaz pada hari yang sama!
Pendakwah Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani
menerusi laman sosial berkongsi tiga pelajar daripada sebuah keluarga menjadi perhatian kerana naik ke pentas konvoksyen selepas mencipta sejarah menamatkan hafalan 30 juzuknya pada tahun lalu.
"Saat nama demi nama dipanggil ke pentas, tiga orang anak daripada keluarga Tuan Zamani melangkah dengan jubah graduasi masing-masing.
"Hari itu bukan sekadar hari konvokesyen. Hari itu adalah kemuncak kepada bertahun-tahun pengorbanan seorang ayah dan seorang ibu kerana ketiga-tiga anak mereka berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran.

"Lebih menggembirakan, salah seorang daripada mereka turut dinobatkan sebagai Tokoh Huffaz," titipnya.
Dalam pada itu, laman sosial Facebook, pendakwah itu berkenaan mengenang pengorbanan ibu bapa dan tiga pelajar Maahad Tahfiz An Nabawi Jerantut berkenaan untuk berada pada fasa itu.
"Berapa banyak doa yang pernah dipanjatkan pada sepertiga malam. Berapa banyak pengorbanan yang tidak pernah diceritakan kepada orang lain.
"Berapa banyak kesusahan yang mereka simpan sendiri, semata-mata mahu melihat anak-anak membesar sebagai insan yang memelihara kalam ALLAH..
"Seorang ibu mungkin pernah menangis ketika menghantar anak ke asrama. Seorang ayah mungkin pernah pulang lewat mencari rezeki agar anak-anak terus dapat belajar namun pada hari itu semua penat lelah mereka dibalas dengan satu nikmat yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.
"Melihat anak memeluk al-Quran, memakai jubah huffaz dan menjadi pewaris kalam ALLAH. Itulah hadiah terbesar buat seorang ibu dan ayah.

"Alhamdulillah... akhirnya anakku menjadi huffaz al-Quran."
Mengakhiri hantaran, beliau sempat menitipkan doa agar pesanan agar ketiga-tiga puteri berkenaan cekal menjaga hafalan yang diraih dengan susah payah.
"Doa saya kepada mereka, semoga terus istiqamah menjaga al-Quran dan sampaikan pula kepada generasi seterusnya. Agar kita semua beroleh ganjaran tertinggi di akhirat nanti, insya-ALLAH.
"Sabda Nabi SAW,“Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” Riwayat al-Bukhari, no. 5027," titipnya.
Ibu ketiga-tiga pelajar perempuan berkenaan menitipkan ucapan terima kasih kasih kepada barisan guru. Menurutnya dua daripada anaknya sudah melepasi syahadah iaitu ujian memperdengarkan hafalan 30 juzuk tersebut dari awal hingga akhir tanpa melihat al-Quran.
"Subhanallah walhamdulillah wa lailahaillah wa Allahuakbar..Syukran Ya Allah.

"Terima kasih pengasas Maahad Tahfiz An Nabawi Jerantut, Ustaz Ahmad Dusuki dan Ustazah Faizah Azhari dan semua asatizah yang mengajar anak-anak kami sehingga bergelar huffaz.
"Alhamdulillah kini dua orang puteri sudah tamat syahadah 30 juzuk manakala seorang lagi masih berjuang dalam syahadahnya.
"Doakan moga anak2 istiqomah bersama dalam menjaga kalamullah," titipnya.
Hantaran berkenaan segera mendapat perkongsian daripada warganet. Perkongsian penuh inspirasi itu menerima lebih 6,000 tanda suka.
Sumber: Facebook
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
