Catat rekod 100 kes! Ini kelebihan rawatan kanser tonsil guna robotik Da Vinci Xi di Melaka yang ramai tak tahu
PERNAHKAH anda bayangkan bilik pembedahan di hospital kini dikendalikan dengan bantuan teknologi robotik persis filem fiksyen sains?
Bunyinya mungkin canggih, tetapi inilah realiti gaya hidup moden yang menawarkan rawatan kesihatan lebih selamat dan cepat sembuh.
Pantai Hospital Melaka baru-baru ini mencetuskan fenomena dalam dunia perubatan tempatan apabila berjaya menyempurnakan 100 pembedahan berbantu robotik menggunakan teknologi Sistem Bedah Da Vinci Xi.
Paling membanggakan, hospital tersebut turut melakar sejarah sebagai pusat perubatan pertama di Selatan Malaysia yang berjaya melaksanakan Pembedahan Robotik Transoral (TORS) bagi kes kanser tonsil tahap lanjut.
Langkah hebat berkenaan pastinya membuka lembaran baharu untuk pesakit kanser kepala dan leher mendapatkan rawatan invasif minimum yang lebih dekat dengan rumah, sekali gus memberi keselesaan optimum sepanjang proses pemulihan.
Secara ringkasnya, kehadiran teknologi robotik seperti Da Vinci Xi itu bertindak sebagai 'pembantu genius' kepada pakar bedah. Sistem canggih tersebut memberikan kejituan visual yang sangat jelas serta ketangkasan pergerakan tangan yang luar biasa melangkaui had tangan manusia biasa.
Kelebihan ini membolehkan prosedur pembedahan yang sangat rumit dilakukan melalui potongan yang amat kecil. Antara bidang kepakaran yang kini aktif memanfaatkan teknologi hebat ini termasuklah pembedahan am, kolorektal, hepatobiliari, urologi, ginekologi, gine-onkologi, sehinggalah kepada pembedahan telinga, hidung dan tekak (ENT).

Memperkukuh keupayaan klinikal
Rawatan yang bersifat minimum invasif seperti ini sangat digemari dalam konsep gaya hidup sihat moden kerana ia mengurangkan rasa sakit selepas pembedahan, meminimumkan risiko jangkitan dan membolehkan pesakit kembali beraktiviti serta menjalani rutin harian mereka bersama keluarga tercinta dalam tempoh yang lebih singkat.
Kejayaan manis berkenaan sebenarnya menjadi bukti nyata komitmen warga perubatan tempatan dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Melaka, Dr Kevin Khoo Teck Joon, kejayaan menyempurnakan pembedahan robotik yang ke-100 ini mencerminkan dedikasi serta kepakaran pasukan multidisiplin mereka, di samping kepercayaan tinggi yang diletakkan oleh para pesakit.
Beliau turut menegaskan bahawa dengan landskap penjagaan kesihatan yang terus berkembang, pihak hospital sentiasa komited untuk memperkukuh keupayaan klinikal dan meluaskan akses kepada inovasi perubatan berasaskan bukti.
"Matlamat utama kami adalah untuk memastikan komuniti di Melaka dan wilayah Selatan dapat menikmati kemudahan rawatan berkualiti tinggi yang dekat dengan rumah mereka," ujarnya lagi.
Bukan itu sahaja, hospital ini juga terus meluaskan sayap inovasinya dalam bidang ortopedik menerusi Sistem Bedah CORI yang membantu prosedur penggantian lutut berbantu robotik, membuktikan bahawa pelaburan dalam kepakaran klinikal dan teknologi canggih adalah demi memberikan hasil rawatan yang terbaik buat masyarakat.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

