Usia 74 tahun bukan penghalang, Tunku Puteri Jawahir hidupkan warisan Negeri Sembilan menerusi Royal Sembilan

No Image Caption
A
A
A

PADA usia 74 tahun, kebanyakan individu mungkin memilih untuk memperlahankan langkah. Namun, berbeza buat Yang Amat Mulia Tengku Puan Panglima Besar Tunku Puteri Puan Sri Datuk Seri Jawahir binti Almarhum Tuanku Ja'afar.

Bagi baginda, usia bukan alasan untuk berhenti berkarya. Sebaliknya, ia menjadi titik permulaan kepada sebuah perjalanan baharu dalam memelihara warisan Negeri Sembilan menerusi dunia fesyen.

Berbekalkan pengalaman, kecintaan terhadap seni dan kefahaman mendalam terhadap budaya diraja, Tunku Puteri Jawahir mengasaskan Royal Sembilan, sebuah rumah fesyen mewah kontemporari Malaysia yang membawa kisah warisan ke pentas moden.

Terbaharu, Royal Sembilan melakar satu lagi pencapaian apabila membuka butik utama pertamanya di Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur. Lebih daripada sekadar ruang jualan, butik itu direka sebagai sebuah destinasi yang menggabungkan fesyen, seni dan budaya dalam satu pengalaman yang lebih dekat dengan pengunjung.

No Image Caption

Majlis perasmian butik itu disempurnakan oleh Y.A.M. Tunku Puteri Jawahir bersama kakanda baginda, Yang Amat Mulia Tunku Dara Tunku Tan Sri Naquiah binti Almarhum Tuanku Ja'afar.

Hadir memeriahkan acara ialah ahli keluarga diraja, tokoh industri, penggiat fesyen tempatan, wakil media serta beberapa nama terkenal termasuk pelakon Tiz Zaqyah, penyanyi serantau Winnie K, penyanyi dan pelakon Layla Sania serta personaliti televisyen Azura Zainal.

Turut berangkat dan hadir ialah Yang Amat Mulia Tuanku Sultanah Hajjah Kalsom Abdullah, Yang Mulia Tengku Asra, Yang Mulia Tengku Alana serta Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Raghad Waleed Alkurdi Taib.

Berlokasi di Aras 1, Bangsar Shopping Centre, butik tersebut membawa pengunjung menyelami kisah di sebalik setiap rekaan Royal Sembilan yang diinspirasikan daripada keindahan budaya dan identiti Negeri Sembilan.

Budaya dan identiti Negeri Sembilan.

Setiap sudut ruang butik dihias dengan sentuhan elegan yang menggabungkan elemen seni bina, tekstur serta perincian halus bagi mencerminkan falsafah jenama itu sendiri, meraikan ketukangan dan warisan menerusi pendekatan yang lebih moden.

Bagi Tunku Puteri Jawahir, penubuhan Royal Sembilan bukan sekadar mengenai fesyen, tetapi usaha untuk memastikan warisan terus hidup dan dekat dengan generasi masa kini.

No Image Caption

Daripada hanya menjadi sesuatu yang dikenang melalui sejarah, warisan diterjemahkan semula menjadi sesuatu yang boleh dipakai, dihargai dan dikongsi melalui rekaan yang mempunyai nilai cerita.

Royal Sembilan mengangkat seni dan budaya Negeri Sembilan menerusi koleksi sedia dipakai (ready-to-wear) serta tempahan khas (bespoke) yang menggabungkan kehalusan seni tradisional dengan gaya moden.

Antara elemen istimewa yang menjadi identiti jenama itu ialah penggunaan karya seni cetakan digital asli yang mengambil inspirasi daripada landskap, alam semula jadi serta keunikan budaya Negeri Sembilan.

Rekaan tersebut turut memberi penghormatan kepada Bungolado (Bunga + Lada), bunga cili yang merupakan bunga rasmi Negeri Sembilan. Motif berkenaan diterapkan dalam koleksi sebagai simbol penghargaan terhadap identiti negeri yang menjadi sumber inspirasi utama Royal Sembilan.

Menerajui arah kreatif jenama itu ialah Pengarah Kreatif, Anuar Faizal, yang memainkan peranan penting dalam mengolah warisan tradisi ke dalam bentuk yang lebih segar dan relevan.

Melalui gabungan kreativiti, ketukangan tekstil dan penceritaan budaya, setiap koleksi Royal Sembilan membawa mesej bahawa warisan tidak semestinya kekal dalam bentuk lama, sebaliknya boleh berkembang mengikut perubahan zaman.

Bagi Anuar, keindahan warisan terletak pada keupayaan untuk terus diberi nafas baharu tanpa menghilangkan nilai asalnya.

Falsafah tersebut turut diterjemahkan menerusi konsep butik utama Royal Sembilan yang mengajak pengunjung bukan sekadar melihat pakaian, tetapi memahami cerita, inspirasi dan proses kreatif di sebalik setiap rekaan.

No Image Caption

Selepas majlis perasmian, para tetamu berpeluang menikmati sesi pratonton koleksi terbaharu Royal Sembilan serta mengenali dengan lebih dekat perjalanan kreatif di sebalik rumah fesyen berkenaan.

Acara itu turut diserikan dengan dekorasi oleh Merite Design Studio, hidangan ringan daripada Kopinuts Malaysia serta pengalaman kopi bersama Philips Home Living Malaysia menerusi mesin espresso Baristina Espresso Machine.

Sokongan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menerusi penyertaan Perkampungan Budaya Mah Meri turut memperkukuhkan lagi elemen budaya dalam majlis tersebut.

Lebih daripada sebuah jenama fesyen, Royal Sembilan membawa satu mesej yang lebih besar, warisan perlu terus bergerak seiring dengan masa.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang