'Tolong jangan tanya soalan berat...' - 6 tahun menanti, Mamat Sepah tersentuh lihat isteri ditanya tentang zuriat, mohon doa dikurniakan anak

A
A
A

SENSITIVITI berkenaan isu anak sememangnya perkara yang amat halus untuk dibicarakan terutama kepada pasangan suami isteri yang sedang menantikan zuriat.

Terbaharu, pelawak dan pelakon terkenal, Mamat Sepah, mengakui hatinya begitu tersentuh apabila melihat gelagat isterinya, Nordiana Ibrahim yang memangku dan mendakap mesra anak Shuib, Akira sehingga si kecil itu tertidur.

Menerusi satu hantaran di akaun TikTok miliknya, Mamat atau nama sebenarnya  Mohd Noor Murad, meluahkan rasa sebak dan tersentuh melihat naluri keibuan isterinya itu, lebih-lebih lagi apabila isterinya diajukan soalan sensitif mengenai rezeki cahaya mata.

"Hari ini sumpah hati tu agak terusik. Pegang dan dukung Akira sampai dia terlelap. Buat aku rasa sebak lebih-lebih bila ada makhluk ALLAH yang bertanya 'Akak bila lagi?'

"Aku macam, soalan apa ni? Please jangan tanya soalan yang berat untuk aku jawab dan aku tak ada jawapan untuk soalan tu," kongsinya.

Memahami situasi dan perasaan isterinya, Mamat memohon agar orang ramai tidak lagi mengutarakan soalan sedemikian sebaliknya cukuplah sekadar menitipkan doa buat mereka.

"Cukup sekadar kalian doakan semoga suatu hari nanti saya akan diberi rezeki dapat baby yang comel dan sihat. Aamiin," luahnya lagi.

Perkongsian berkenaan mendapat perhatian ramai netizen dan pengikut yang rata-ratanya mendoakan agar pasangan ini kekal tabah serta diberikan rezeki zuriat pada masa yang terbaik.

Untuk rekod, Mamat dan Nordiana mendirikan rumah tangga pada 1 Mac 2020 dalam satu majlis di Kulai, Johor selepas mengikat tali pertunangan selama setahun.

Artikel Berkaitan:

Sumber: TikTok

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang