Tricia Lew cipta pesona di KLFW 2026, koleksi Paradox tonjol keanggunan dan kekuatan wanita

No Image Caption
A
A
A

SETIAP langkah membawa cerita tersendiri. Dalam dunia fesyen, sepasang kasut bukan sekadar pelengkap penampilan, tetapi menjadi simbol keyakinan, karakter dan cara seseorang menzahirkan identiti diri.

Berpegang kepada inspirasi itu, jenama kasut tempatan Tricia Lew mencipta pencapaian baharu apabila dipilih sebagai Jenama Kasut Rasmi Busana Wanita Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 yang berlangsung dari 3 hingga 9 Ogos di Fountain Esplanade, Suria KLCC.

Bersempena pentas fesyen berprestij tersebut, Tricia Lew memperkenalkan koleksi eksklusif berjudul Paradox, yang mengetengahkan keseimbangan antara sisi berbeza dalam diri wanita.

No Image Caption

Menggabungkan elemen kelembutan dan kekuatan, keanggunan serta keberanian, koleksi berkenaan menggambarkan bagaimana perbezaan karakter mampu berpadu menghasilkan gaya yang lebih tersendiri.

Menurut pengasas Tricia Lew, tema Paradox menjadi refleksi kepada wanita moden yang tidak terikat dengan satu definisi sahaja, sebaliknya bebas menampilkan pelbagai sisi diri mengikut situasi dan personaliti masing-masing.

“Pelantikan kami sebagai Jenama Kasut Rasmi Busana Wanita KLFW merupakan satu penghormatan yang amat bermakna buat jenama Tricia Lew.

“KLFW menghimpunkan kepelbagaian bakat dan idea kreatif dalam industri fesyen tempatan. Peranan kami adalah untuk melengkapkan visi setiap pereka, manakala Paradox menjadi medium untuk kami menampilkan perspektif dan identiti Tricia Lew menerusi setiap rekaan,” katanya.

No Image Caption

Identiti tersendiri

Menerusi koleksi Paradox, Tricia Lew mengetengahkan rekaan kasut dalam rona hitam dan nude yang menampilkan gaya elegan namun berani.

Antara pilihan yang dipersembahkan termasuk kasut slingback berujung tirus, pumps berstruktur arca, kasut tumit bertali buku lali serta platform yang memberi sentuhan lebih dramatik pada setiap langkah.

Gabungan bentuk yang anggun dengan struktur lebih kukuh menjadikan setiap rekaan mudah digayakan bersama pelbagai koleksi busana, selain mengekalkan identiti tersendiri sepanjang persembahan fesyen wanita di KLFW 2026.

No Image Caption

Kerjasama bersama barisan pereka fesyen yang mengambil bahagian turut memperlihatkan peranan kasut sebagai elemen penting dalam melengkapkan naratif sesebuah koleksi.

Bagi Tricia Lew, setiap rekaan bukan sahaja dicipta untuk menyerlahkan estetika, tetapi juga menyokong visi kreatif para pereka tanpa menenggelamkan konsep utama yang ingin diketengahkan.

Dengan pencapaian itu, Tricia Lew terus membuktikan bahawa jenama kasut tempatan mampu berdiri seiring dalam pentas fesyen utama, sambil membawa identiti tersendiri yang meraikan kreativiti, keyakinan dan gaya wanita masa kini.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang