Berseri-seri pengantin diraja! Tengku Puteri Ilyana kini bergelar isteri Christopher Lionel Froggatt
ANGGUN dan menawan, puteri Sultan Pahang, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia kini bergelar isteri kepada lelaki pilihan hatinya, Christopher Lionel Froggatt.
Menurut laman sosial Kesultanan Pahang, istiadat pernikahan diadakan di sebuah hotel di ibu kota dalam suasana yang cukup gilang-gemilang serta sarat dengan adat istiadat Melayu.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli berangkat ke Istiadat Pernikahan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia bersama pasangannya, Christopher Lionel Froggatt yang berlangsung di sebuah hotel di ibu kota, hari ini.

Turut berangkat mengiringi Paduka Baginda ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bersama paduka kekanda dan adinda serta kerabat bergelar.
Hadir sama ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Seri Datuk Burhah Mohammed serta wakil Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Shaikh Mohammed bin Hamad bin Tahnoon Al Nahyan.
Pada majlis berkenaan, pasangan Pengantin Diraja diiring ke pelamin sebelum Istiadat Menyuap Nasi Semangat dizahirkan oleh Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Datuk Seri Setia Meriam binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Pasangan Pengantin Diraja kemudiannya kekal di pelamin untuk meneruskan istiadat bersanding dan merenjis yang dizahirkan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan kemudiannya diikuti ahli keluarga.

Paduka Baginda kemudiannya berkenan menyempurnakan Istiadat Meletakkan Panca Bicara kepada pasangan Pengantin Diraja sebagai tanda merestui dan meraikan pasangan pengantin sebelum istiadat diberkati dengan bacaan doa oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Profesor Datuk Dr Haji Asmadi bin Mohamed Naim.
Istiadat diakhiri dengan sesi bergambar bersama keluarga Diraja dan tetamu kehormat sebelum Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berangkat meninggalkan majlis.
BUSANA SONGKET & RENDA SERLAH SERI PENGANTIN DIRAJA
Aura pengantin diraja menyerlah! Tengku Puteri Ilyana tampil anggun menggayakan busana songket rekaan pereka terkenal tanah air, Datuk Radzuan Radziwill. Helaian motif tradisional yang diolah dengan lebih moden, diselami dalam nuansa warna off-white dan putih gading.
Helaian baju kurung moden mengekalkan identiti kemelayuan dengan suntikan elemen rekaan feminin dan trendy pada lengan puff dan potongan leher V yang kemas. Potongan baju mencipta siluet sekali gus menonjolkan kecantikan figura pengantin dengan penuh sopan.

d
Perincian pada baju pengantin yang sangat halus dan mewah. Ia tidak hanya menggunakan songket semata-mata, tetapi turut diserikan dengan sulaman labuci dan beading yang berkilauan pada bahagian hujung lengan dan pergelangan tangan. Malah, perincian sulaman pada bahagian veil atau selendang pengantin juga sangat cantik dan halus, menambahkan kelembutan pada imej pengantin.
Terdahulu, pada istiadat penikahan, Tengku Puteri Ilyana dilihat menggayakan busana juga daripada Radzuan. Rekaan daripada fabrik renda yang menyerlah sisi kelembutan dan kejelitaan tuan puteri.
Helaian kurung moden putih dengan potongan leher tinggi dan berpotongan mermaid cukup sopan. Pemakaian tiara dan veil renda labuh menutupi sanggul mengukuhkan imej 'Puteri Diraja' yang anggun dan patuh adat.
Sembah tahniah diucapkan buat Tengku Puteri Ilyana dan suami daripada SinarPlus. Semoga mahligai yang dibina kekal bahagia hingga ke jannah!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
