'Saya lebih ingat siapa di sisi' – Hatta Dolmat cipta sejarah sempena 20 tahun dalam fesyen, raih pengiktirafan MBOR

No Image Caption
A
A
A

DUA dekad menganyam cerita dalam dunia fesyen, Hatta Dolmat akhirnya menutup perjalanan 20 tahun itu dengan satu pencapaian yang cukup istimewa – bukan sekadar mempersembahkan busana couture, tetapi menggabungkan seni lukisan dan fesyen sehingga berjaya mencipta sejarah baharu. 

Pereka fesyen tersohor itu sekali lagi melakar nama apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi “Gandingan Busana Couture dan Karya Lukisan Terbanyak dalam Satu Pentas Peragaan” pada acara penutup Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2026 di Esplanade, KLCC, malam tadi. 

Pengiktirafan tersebut diberikan selepas Hatta menggabungkan 10 karya lukisan yang dihasilkan sendiri dengan 10 busana couture berkonsepkan fantasi dan avant-garde, sekali gus mencipta kelainan dalam persembahan fesyen tempatan. 

Namun, di sebalik pencapaian tersebut, karya Hatta sebenarnya membawa cerita yang jauh lebih peribadi. 

No Image Caption

Sempena ulang tahun ke-20 perjalanan seninya, beliau memperkenalkan dua koleksi istimewa, ‘LINGER’ dan ‘SOUL’, yang menggambarkan dua sisi berbeza tetapi saling melengkapi – kenangan dan imaginasi. 

Bagi Hatta, fesyen bukan sekadar tentang potongan, fabrik atau keindahan busana. Ia menjadi medium untuk menyimpan emosi, menceritakan pengalaman serta mengabadikan insan yang pernah mewarnai perjalanan hidup. 

‘LINGER’, koleksi Resort 2026, tercetus daripada kecintaan Hatta terhadap matahari terbenam ketika mengembara ke seluruh dunia. 

Dari Malibu, Phuket hingga Sabah, momen matahari terbenam sering dirakam dan dikumpulkan sebagai kenangan. Namun, apabila kembali melihat foto-foto tersebut, Hatta menyedari perkara yang diingatinya bukanlah pemandangan itu sendiri. 

No Image Caption

“Saya lebih mengingati siapa yang berada di sisi, perbualan, kesunyian dan kasih sayang yang dikongsi,” katanya. 

Daripada kesedaran itu, lahirlah ‘LINGER’ yang tidak cuba menghasilkan semula gambaran matahari terbenam secara literal, sebaliknya menterjemahkan emosi yang ditinggalkan oleh setiap detik. 

Lapisan pigmen, tekstur seperti lukisan dan peralihan warna ombre digunakan untuk menghasilkan karya tekstil yang seolah-olah membawa serpihan kenangan untuk dipakai. 

Unsur keluarga turut menjadi inspirasi penting dalam koleksi tersebut menerusi pokok kaktus yang dibiakkan ibu Hatta dan dihadiahkan kepadanya sempena hari lahir. 

Masih tumbuh di studionya sehingga kini, kaktus itu menjadi simbol ketahanan, kasih sayang tanpa syarat dan rasa ‘pulang’ yang sentiasa ada. 

Jika ‘LINGER’ berbicara mengenai perkara yang kekal dalam ingatan, ‘SOUL’ pula membawa Hatta kembali kepada titik awal setiap penciptaan – imaginasi. 

No Image Caption

Koleksi yang menjadi pembuka sambutan ulang tahun ke-20 itu menampilkan 10 rekaan dengan gabungan jahitan ombre, bulu biru dan emas buatan tangan, perincian permata serta gaun besar yang dilukis tangan. 

Turut diketengahkan ialah gaun botani berinspirasikan orkid, gaun rona turquoise dengan potongan belakang yang dramatik, rekaan dengan sentuhan lukisan badan dalam rona kuning dan hijau serta jaket besar dengan garisan grafik hasil tangan. 

Bagi Hatta, setiap karya couture bermula jauh sebelum fabrik dipotong. 

“Imaginasi sentiasa menjadi sumber inspirasi terbesar saya. Setiap karya couture bermula sebagai impian sebelum menjadi lakaran, pola dan akhirnya sebuah ciptaan yang menceritakan kisah seseorang,” ujarnya. 

Dua koleksi itu akhirnya merumuskan perjalanan dua dekad Hatta dalam dunia fesyen – satu mengabadikan kenangan, manakala satu lagi meraikan imaginasi. 

No Image Caption

Pada masa sama, pengiktirafan MBOR di KLFW 2026 menjadi satu lagi bukti bahawa kreativiti Hatta terus berkembang dan berani meneroka sesuatu di luar kebiasaan. 

Selepas 20 tahun berkarya, Hatta bukan sekadar meninggalkan jejak melalui busana yang indah, tetapi turut membuktikan bahawa fesyen mampu menjadi medium seni, cerita dan kenangan. 

Kini melangkah ke dekad ketiga, beliau seakan mengingatkan bahawa sesebuah karya tidak semestinya berakhir apabila ia meninggalkan pentas. 

Ada yang terus hidup dalam ingatan, ada yang kekal dalam hati dan ada yang akhirnya menjadi sebahagian daripada sejarah. 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang