Mekdinda pilih saluran undang-undang tuntut semula deposit RM37,500, tempahan 10,000 produk belum diterima

No Image Caption
A
A
A

DALAM membina sesebuah jenama tempatan, hubungan baik antara pemilik perniagaan dan rakan niaga menjadi antara perkara penting yang perlu dijaga. Namun, apabila sesuatu tempahan tidak berjalan seperti yang dirancang, penyelesaian secara baik dan saluran yang betul menjadi langkah yang perlu dipertimbangkan.

Itulah situasi yang kini dihadapi pengasas Mekdinda Cosmetics, Nur Syahidatul Najwa atau lebih dikenali sebagai Mekdinda, selepas pihaknya mendakwa masih belum menerima tempahan 10,000 unit produk kosmetik daripada sebuah syarikat pengilang produk asli (OEM) tempatan.

Menurut Mekdinda, tempahan cleanser makeup remover bersaiz 100ml itu dibuat pada 7 Mac 2026 dengan nilai keseluruhan RM75,000. Sebanyak RM37,500 atau 50 peratus daripada nilai kontrak telah dibayar sebagai deposit.

Bagaimanapun, selepas tempoh penghantaran yang dipersetujui berlalu, produk berkenaan didakwa masih belum diterima.

“Sejujurnya, saya memilih untuk bekerjasama dengan kilang di Malaysia kerana mahu menyokong industri tempatan.

“Sebagai jenama tempatan, sudah tentu kita berharap kerjasama dengan pengilang juga dapat berjalan dengan baik supaya kedua-dua pihak boleh berkembang bersama.

“Saya percaya Malaysia mempunyai ramai anak muda yang kreatif dan berani membina jenama sendiri. Jadi, penting untuk kita saling menyokong dalam ekosistem ini,” katanya.

Kongsi Mekdinda lagi, pihaknya sebelum itu membuat beberapa susulan bagi mendapatkan perkembangan mengenai status pengeluaran dan penghantaran produk.

Antara alasan yang dimaklumkan kepadanya, adalah masalah penghantaran bahan mentah dari China yang diperlukan untuk pengeluaran produk berkenaan.

Namun, selepas lebih empat bulan, tempahan tersebut masih belum diterima dan deposit yang dibayar juga didakwa belum dikembalikan.

Menurut usahawan wanita itu lagi, kelewatan tersebut turut memberi kesan kepada perancangan perniagaan apabila pihaknya mendakwa kehilangan peluang jualan yang dianggarkan bernilai RM111,000.

Susulan keadaan berkenaan, pihaknya melalui peguam daripada Aimee & Zaim Arif telah mengeluarkan Letter of Demand (LOD) kepada syarikat OEM terbabit bagi menuntut semula deposit berkenaan serta tuntutan lain yang didakwa berkaitan.

No Image Caption

MENDAPATKAN SEMULA DEPOSIT

Peguam yang mewakili Mekdinda Cosmetics, Sabrina Mohd berkata, pihak anak guamnya sebelum ini telah memberikan ruang kepada pihak OEM untuk menyelesaikan tempahan sebelum mengambil langkah seterusnya.

“Selepas tarikh yang dijanjikan berlalu, produk masih tidak dihantar dan penyelesaian juga belum diberikan.

“Jadi, LOD ini adalah langkah seterusnya untuk mendapatkan semula apa yang menjadi hak anak guam kami,” katanya.

Tambahnya lagi, perkara tersebut pada asasnya bukan sekadar mengenai satu tempahan atau nilai deposit, sebaliknya turut menyentuh soal kepercayaan dalam hubungan perniagaan.

“Industri kosmetik tempatan hanya dapat berkembang sekiranya setiap pihak dalam rantaian perniagaan menjalankan tanggungjawab masing-masing dan menghormati kontrak yang telah dipersetujui.

“Kita mempunyai ramai usahawan muda yang berani membina jenama sendiri. Sebab itu ekosistem perniagaan perlu dibina atas kepercayaan dan integriti,” katanya.

Sementara itu, peguam Afiq Asyraf berkata, pihaknya akan mempertimbangkan tindakan lanjut sekiranya perkara berkenaan masih gagal diselesaikan.

“Kami tidak meminta sesuatu yang istimewa. Kami hanya menuntut apa yang sememangnya menjadi hak anak guam berdasarkan perjanjian yang telah dipersetujui.

“Kami akan mengambil langkah yang sewajarnya bagi melindungi kepentingan anak guam,” katanya.

Pihak Mekdinda turut memaklumkan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bandar Kinrara berhubung perkara tersebut.

No Image Caption

Buat masa ini, pertikaian berkenaan sedang melalui saluran undang-undang, dengan pihak Mekdinda menyatakan hasrat untuk mendapatkan semula deposit yang telah dibayar.

Bagi Mekdinda, isu tersebut turut menjadi pengajaran tentang pentingnya komunikasi, kejelasan terma perjanjian dan kepercayaan dalam membina kerjasama antara sesama pemain industri tempatan.

“Bagi saya, sokongan terhadap industri tempatan perlu berjalan dua hala. Kita mahu lihat lebih banyak jenama dan pengilang tempatan berkembang bersama.

“Pada masa sama, setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing supaya hubungan perniagaan yang dibina dapat memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang