Amyra Rosli tak pernah anggap media sosial satu platform toksik. Ini pengalaman yang dikongsikan...
AMYRA Rosli, satu nama yang cukup terkenal dalam persada seni tanah air.
Selain berbakat, jelitawan berusia 32 tahun itu memiliki senyuman yang cukup manis, selain tutur kata penuh kelembutan.
Malah, setiap apa yang digayakan oleh isteri kesayangan Amar Baharin itu membuatkan mata sesiapa terpaku seketika.
Secara peribadi, penulis sudah lama mengenali pemilik nama sebenar Nur Amira Izzati Rosli itu. Biarpun lama tidak bertemu, namun keramahan beliau menyapa tetap sama seperti dahulu.
Langsung tidak menyombong diri. Keperibadian beliau amat menyenangkan. Agaknya itulah formula ampuh untuk beliau terus bertahan dalam industri seni.
Pun demikian, kelibatnya dalam dunia lakonan sedikit sepi sejak akhir-akhir ini.
Tatkala persoalan tersebut diajukan kepada tuan punya badan, beliau hanya tersenyum manis sambil mengiakan pandangan tersebut.
"Kalau diikutkan, rezeki saya sekarang lebih dalam bidang pengacaraan. Tawaran untuk berlakon ada, cuma kini saya beri peluang kepada Amar untuk turun ke lokasi penggambaran.
"Sementara, saya kini lebih fokus menguruskan anak-anak memandangkan anak sulung saya, Aqeef Anaqi bakal memasuki tahun satu tidak lama lagi," ungkapnya.
Sudah lama berkecimpung di pentas lakonan, pastinya empunya diri mengimpikan satu watak idaman dalam sebuah karya. Apa jawapannya?
"Saya pernah menjadi pelakon teater sebelum ini dan pernah memegang pelbagai peranan, jadi tiada lagi watak tertentu yang menjadi idaman. Apa pun, biarlah ia sesuai dengan status saya sebagai ibu, isteri dan usia saya," katanya.
Kalau mahu digandingkan dengan sang suami sekalipun, Amyra mengharapkan naskhah itu tidak membabitkan soal penceraian atau hukum hakam.
Menyentuh tentang tanggungjawab pentingnya sebagai hos dalam beberapa program berprestij pula, Amyra berkata, rezeki itu hadir tanpa diduga.
"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada YANG MAHA ESA. Mungkin DIA mendengar permintaan saya yang ingin kerja dan pada masa sama mahu melihat anak-anak membesar depan mata. Alhamdulillah, rezeki sebagai pengacara datang bertubi-tubi," ungkap ibu kepada anak dua itu dalam nada terharu.
Didikan & pilihan sekolah anak
Kepada yang suka meninjau Instagram Amyra dengan 6 juta pengikut itu akan melihat secara jelas naluri keibuannya.
Aqeef Anaqi, 6, dan Ayra Aryssa, 3, dibelai dengan naungan kasih sayang yang tidak bertepi.
Bercerita tentang pendekatan beliau dalam mendidik anak-anak, selebriti tersohor itu berkata, baik beliau mahupun Amar, mereka tidak memilih pendekatan terlalu garang atau memanjakan secara keterlaluan.
"Kami mahu seimbang dalam segala hal. Zaman sekarang tak sama macam dahulu. Kami jadikan anak macam kawan, ajar mereka buat kerja rumah dan beri apa yang mereka mahu asalkan bersyarat. Kalau buat salah, kami tak akan terus marah begitu sahaja," katanya.
Seperti yang diperkatakan Amyra tadi, Aqeef Anaqi akan memasuki alam sekolah rendah pula.
Kalau mengikut trend famili 'kayangan' termasuk golongan selebriti, rata-ratnya dilihat cenderung memilih menghantar anak ke sekolah antarabangsa. Katanya, lebih privasi, sistematik dan setaraf dengan kedudukan.
Apa perspektif Amyra dalam hal itu? Lalu beliau perturunkan pernyataan berikut: “Baik sekolah biasa atau antarabangsa, terpulang kepada kewangan keluarga masing-masing. Ada juga selebriti yang hantar anak sekolah biasa dan tiada masalah. Sebagai ibu, kita hanya mampu doakan keselamatan dan pengawasan anak-anak sepanjang mereka di sekolah."
Beritahu Amyra, anak sulungnya itu sedang belajar di sekolah tadika antarabangsa sekarang. Beliau sedang berfikir sama ada mahu ditukarkan ke sekolah persendirian pula. Semuanya masih dalam perbincangan.
"Sejujurnya tidak mudah ya, hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi (di sekolah tadika), saya masih pening mencari sekolah untuk Anaqi.
"Tidak timbul soal memilih, cuma apabila mendengar cerita orang begitu begini, saya kerap bertukar fikiran dan kembali semula mencari sekolah yang sesuai,” ungkapnya.
Dari sudut hati yang terdalam, Amyra memberitahu, beliau mahu menghantar anak-anaknya ke sekolah Islamik.
“Saya berbincang dengan Amar tentang hal itu. Kami sebagai ibu bapa mungkin tidak sempurna untuk didik mereka ke arah itu, tetapi kami harap tenaga pengajar boleh bantu zuriat kami ini," ungkap bintang utama drama Kerasnya Takdir itu.
Memahami anaknya masih kecil lagi, Amyra berkata, si cilik kesayangan masih belum menampakkan sebarang kecenderungan dalam mana-mana bidang.
"Kalau diikutkan minat adik (Ayra Aryssa) lebih kepada muzik, Aqeef Anaqi lebih ke arah seni, kraf dan suka memasak.
"Tunggu mereka besar sedikit, sekarang masih terlalu muda untuk saya nampak apa yang mereka ingini,” ujarnya yang sedia menimang cahaya mata lagi.
Ditanya tentang ketegasannya dalam memastikan kecemerlangan kedua-dua cahaya mata dalam akademik, pemegang Diploma Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan itu tidak meletakkan syarat yang membebankan.
"Dalam soal akademik, saya tidak mewajibkan anak-anak wajib menjadi bijak dan dapat markah A saja. Paling penting yang harus ada pada era milenial ini adalah adab dan akhlak. Dalam umur yang masih muda juga, tidak mudah untuk merancang masa depan mereka," ujarnya.
Seperkara yang mungkin ramai perasan, personaliti yang memulakan kerjaya awal di TV Pendidikan itu membenarkan anak-anaknya terbabit dalam beberapa iklan televisyen.
Menjelaskan lebih lanjut, ujar wanita rupawan itu, semuanya berlandaskan persetujuan bersama suami.
“Sesuai dengan usia mereka, biarlah apa jua kerja (termasuk iklan) dilakukan bersama dengan kami berdua dulu.
"Buat masa ini, hanya iklan komersil, bukan drama. Kita sendiri tahu, berapa banyak masa yang perlu dihabiskan apabila memasuki set penggambaran," ulasnya.
Tak semestinya mahal
Kita lihat sesetengah personaliti memilih untuk tidak mendedahkan siapa ahli keluarga mereka. Seboleh-bolehnya mahu disembunyikan.
Namun, Amyra tidak memilih jalan tersebut. Bekas duta AuraWhite Ski Spa itu menegaskan, sebagai seorang public figure, beliau tidak menyorok.
"Sedikit sebanyak khalayak mesti nak tahu. Ya, tak nafikan ada sisi negatif jika terlalu terdedah di media sosial, tetapi pilihlah 'benda-benda' yang positif.
"Contoh paling terbaik ingin saya kongsikan adalah sewaktu Ayra Aryssa diserang penyakit Kawasaki. Socmed milik saya dan Amar, orang ramai tidak putus-putus titipkan doa dan kata-kata semangat untuk cahaya mata saya," katanya.
Keprihatinan rakyat Malaysia membuatkan anak kelahiran Selangor itu mengalirkan air mata terharu.
“Saya menangis apabila membaca satu persatu doa. Mungkin salah satunya (doa) diangkat dan anak saya sembuh dengan agak cepat. Justeru, jangan terlalu memandang negatif dalam semua hal terutama yang membabitkan media sosial," katanya.
Namun, ungkap Amyra, itu tidak bermakna semua inti pati hidup perlu dibentangkan untuk tayangan umum.
Utamakan yang baik-baik, perkongsian hal-hal yang buruk atau mengeruhkan keadaan semestinya dielakkan, tegas Amyra.
Ya, meskipun sudah bergelar ibu, pengacara Nona itu sejak dahulu lagi cukup menitik beratkan soal penampilan diri. Mana tidaknya, dari zaman anak dara sampai sekarang, tetap ramping dan menawan.
Dedah tuan punya badan, kelebihan memiliki baka dan genetik sedemikian membuatkan beliau tidak memiliki banyak masalah biarpun selepas melahirkan anak.
“Sebagai selebriti dan isteri, saya mahu sentiasa kelihatan menarik terutama di hadapan kamera dan orang ramai. Begitu juga ketika bersama suami.
“Jadi, untuk wanita di luar sana, berapa jua umur dan pekerjaan anda, kena sentiasa bersiap. Memang fitrah wanita untuk tampak jelita, bukan?," tuturnya sambil tertawa.
Pun begitu, pesan Amyra, itu bukan bermaksud segala yang dipakai adalah barangan mahal dan berjenama.
"Bagi saya, janji kemas dan wangi. Itu sudah memadai,” ujarnya.
Sebelum menutup tirai perbualan, sempat penulis menyelitkan tentang trend segelintir selebriti yang tidak segan-silu mendedahkan rawatan tubuh yang dilakukan.
“Pada saya, mungkin mereka lakukan itu atas tiket tajaan. Ada sesetengah rawatan yang mahal dan apabila mendapat tajaan memang kita perlu jalankan tanggungjawab untuk promosikan,” jelasnya.
Justeru, kata beliau, terpulang kepada pendirian masing-masing.
“Apa sahaja yang berlaku jangan ambil negatif. Sentiasa positif dan anggap mereka berbuat demikian untuk berkongsi dengan orang lain yang mengalami situasi yang sama.
“Lagi satu, tidak perlu nak beratkan kepala memikirkan hal orang lain dan itu juga bukan perangai saya,” jelas Amyra.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang