Bukan hoki, tetapi pilih silat seni. Mirsya Mirnawan kongsi sebab mengapa pilih sukan itu

SIAPA tidak kenal dengan legenda bekas pemain hoki kebangsaan, Datuk Mirnawan Nirwawi? Kredibilitinya di atas padang tidak boleh dinafikan sesiapa.

Masa yang pantas berputar menyaksikan Mirnawan menginjak ke satu fasa lain dan kini memiliki empat cahaya mata. Menariknya, kesemua mereka aktif dalam bidang sukan.
Paling menonjol ialah Mirsha Nurathiqa, 21, yang menempa nama dalam dunia persilatan.
Baru-baru ini, nama remaja tersebut menjadi bualan apabila memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Kata Mirsha Nurathiqa atau mahu disapa sebagai Mirsha sahaja, kemenangan berkenaan berjaya menebus kedukaannya yang hanya meraih pingat gangsa pada Sukan Universiti ASEAN.

Kehadiran gadis itu ke Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini mencuri perhatian. Mana tidaknya, beliau hadir bersama ayah tersayang. Seperkara, kami menjangkakan portfolionya sebagai pesilat pastinya beliau mempunyai badan yang kekar.
Pun demikian, tubuhnya yang comel dengan ketinggian 160 sentimeter dan berat 57 kilogram menyangkal segala telahan. Namun, perlu diingatkan, itu semua tidak mewakili kelincahannya ketika beraksi di gelanggang.

Baca ni ‘Ibu berjiwa kental, memang iron lady betul.’ Pilih kerjaya berisiko, ramai kagum dengan Maya ‘tawan’ puncak KLCC

Ketika wajah beliau dioles oleh jurusolek terkenal, Ayang Kamell, Mirsha menceritakan susur-galur bagaimana dirinya ‘terjebak‘ dalam dunia silat dan bukannya mewarisi ‘gen hoki‘.

Imbas anak muda itu, acara silat seni amat popular di sekolah menengah beliau. Situasi berkenaan nyata menggalakkan dirinya memasuki acara itu secara suka-suka pada usia 15 tahun.

Namun, salah seorang guru yang dikenali sebagai Sir Habizan Othman (Sir) nampak bakat Mirsha dalam arena tersebut.

“Sejak itu, diri saya tidak lekang daripada menyertai pertandingan silat. Biasanya, saya juga tidak akan pulang dengan tangan kosong,“ kongsinya sambil menambah, beliau terpaksa meninggalkan profil sebagai pesilat seusai melanjutkan pengajian.
Disangkakan perjalanan dalam arena persilatan sudah ternoktah. Namun, beliau tidak menyangka, Sir enggan ‘melepaskannya‘.

Baca lagi Bergelar ratu cantik atas pengaruh ibu, warisi legasi bapa menjadi peguam. Dua ‘gen’ jadikan Olivia wanita berpengaruh

Pujukan demi pujukan akhirnya mencairkan hati remaja tersebut untuk meneruskan kesinambungan dalam sukan berkenaan.

“Awalnya Sir pujuk untuk satu permainan sahaja, tetapi nampaknya berterusan daripada satu pertandingan kepada pertandingan lain sehinggalah membawa kepada kejayaan dalam Sukma baru-baru ini,“ ujarnya.

Menjawab satu soalan wajib daripada penulis, Mirsha berkata: “Ya, ramai yang bertanyakan kenapa minat saya tidak sama dengan ayah? Kenapa memilih bidang persilatan dan tidak hoki?

“Jawapan saya mudah sahaja, saya tidak suka sukan yang memerlukan saya berpanas di luar sana. Secara kebetulan, silat seni berlangsung dalam ruang yang berhawa dingin dan kena dengan ‘selera‘ saya.”

Jawapannya yang bersahaja membuatkan hilai tawa kami memecah kesunyian bilik mekap.
Selanjutnya, tutur Mirsha, bidang persilatan sarat dengan manfaat terutama untuk kaum wanita dalam mempertahankan diri.

Selain itu, ia juga dapat menambah pengetahuan seseorang dalam selok-belok adat Melayu dan berpeluang untuk mempelajari ilmu agama. Ini kerana seni silat mempunyai makna tersendiri dalam setiap langkahnya.

Penulis juga sempat bertanya kepada Mirnawan tentang haluan anak tercinta. Reaksi balas lelaki itu juga ‘sempoi‘. Ungkapnya: “Bagi saya yang penting anak-anak terlibat dalam sukan, itu sudah okey dah.“

Baca lagi ‘Pernah retak tulang pipi, patah tulang bahu dan tangan.’ Dulu gadis litar, Yulina Tan kini pelumba superbike

BOTAK RAMBUT AKIBAT TERTEKAN
Bergelar atlet pesilat dan pada masa sama menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), tidak mudah untuk Mirsha mengendalikannya terutama dalam bab pengurusan masa.

“Hal itu (pengurusan masa) sangat penting. Terus terang saya katakan, tiada istilah mahu berlibur atau keluar seperti remaja lain di luar sana.

“Di kampus, saya banyak bergerak sendirian, berbanding membuat kerja dalam berkumpulan. Habis kuliah, terus ke tempat latihan dan itulah rutin saya. Pernah juga saya persoalkan diri, kenapa susah sangat hidup ini? Kenapa jalan ini yang saya pilih? Apabila difikirkan kembali, ini minat dan keinginan saya. Jadi, lebih baik jalan sahaja,“ katanya yang bijak menyusun bicara.

Ditanya apakah cabaran terpaksa beliau hadapi sepanjang aktif dalam arena silat seni, tuan punya badan terdiam seketika.

Seperti berkira-kira mahu mendedahkan isi cerita, pengakhirannya beliau nampak seperti mengalah dan terus berbicara.

Eksklusif kepada SinarPlus, Mirsha memberitahu, pernah satu ketika, tekanan yang agak ‘kuat‘ pernah bersarang dalam minda. Natijahnya, beliau mengambil langkah membotakkan bahagian bawah rambut sendiri.

“Itu sahaja cara saya lakukan untuk meredakan tekanan pada masa itu. Perbuatan berkenaan (gunting rambut) diketahui keluarga, namun mereka mengambil pendekatan dengan membiarkan saya bertenang mengikut cara sendiri.

“Untuk berkongsi luahan dengan orang lain, saya tidak mampu berbuat demikian. Sementelah, jawapan yang diberikan mereka pasti sama iaitu asyik minta saya bersabar. Ada juga jenis yang ‘psiko‘ yang yang beri idea kurang matang dengan ‘menasihatkan‘ saya berhenti sahaja daripada terus aktif dalam sukan,“ luahnya.

Iklan

Seorang yang suka bersendiri, periang dan berjiwa sendiri, Mirsha berkata, dalam dunia yang fana ini, ramai yang boleh menjadi pendengar. Malangnya, untuk menjadi penasihat yang baik itu terlalu sulit.

“Biarpun pelbagai ujian dan dugaan terpaksa dilalui, sebenarnya diri kita sendiri yang kena kuat. Baik dari segi mental mahupun fizikal, jika kita mahu terus berusaha dan berjaya dalam bidang yang kita minati.

“Orang lain boleh berkata apa sahaja yang mereka mahu, tetapi yang melaluinya ialah diri kita sendiri. Alhamdulillah, peristiwa yang saya rentas itu menjadi pengajaran buat saya untuk terus kuat,“ ujarnya.

Bagaimanapun, dalam sesi temu bual kami, anak muda itu enggan mendedahkan apa inti pati sebenar mengenai kisah tekanan yang dialami dulu.

Baca lagi Dulu penyampai radio, kini Alex Hirschi menjadi pempengaruh kereta wanita terkaya di dunia

BIDANG REKA BENTUK
Enggan membiarkan carta emosi Mirsha terus membara tatkala mengimbas hal lama, penulis mengalih topik perbincangan.

Apa yang boleh dikatakan, Mirsha agak berbeza dengan anak muda di luar sana.
Pada saat rata-rata anak muda tidak boleh berenggang dengan telefon pintar atau komputer riba, beliau sebaliknya. Empunya badan mengakui beliau sangat ketinggalan berbanding dengan belia lain.

“Orang lain asyik main TikTok, Instagram dan berkongsi pelbagai perkara di media sosial, tetapi saya, jangankan nak berbuat demikian, telefon bimbit pun kadangkala tak lekat pada tangan.

“Itulah pengorbanan yang perlu saya lakukan. Pun demikian, jika ada kesempatan, saya akan mengemas kini status dengan memuat naik tentang silat atau rekaan seni yang saya lukis menerusi Instagram. Ada masanya juga, saya layari TikTok dan muat naik video bersama kawan-kawan,“ ujar Mirsha yang menjadikan Puspa Arumsari sebagai idola dalam arena persilatan.

Iklan

Melihat masa depannya yang agak cerah dan mungkin boleh bergelar antara pesilat terbaik di dunia, penulis bertanya tentang pelan jangka panjang beliau.

Soalan itu pantas dijawab. Ujar Mirsha, kejayaan yang dikecapi kini bukan tiket untuknya menjadikan lapangan itu sebagai karier utama.

Beliau sudah meletakkan misi untuk menerjah bidang reka bentuk industri sebagai landasan utama dalam kerjayanya kelak.

Serius dengan apa yang diperkatakan, Mirsya kini mengambil jurusan tersebut di UIAM.

“Apa yang saya boleh katakan, untuk menjadikan bidang persilatan sebagai profesyen utama, mungkin tidak. Ia disebabkan bidang ini masih baharu. Pun demikian, tidak mustahil suatu hari nanti silat seni boleh terkenal,“ yakininya.

Ujar anak kedua daripada empat beradik itu lagi, minat beliau dalam reka bentuk turut mendorongnya lebih fokus dalam merancang dan mereka bentuk pelbagai jenis produk.

“Buat masa sekarang, saya sibuk dengan rekaan barang mainan kanak-kanak. Saya suka benda-benda yang berkaitan prototaip, selain bidang yang menggunakan tenaga.
“Mungkin itu yang membuatkan silat dan bidang yang saya pelajari kini begitu dekat dalam hati saya,“ ujar gadis manis itu.

Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami untuk info dan kisah penuh inspirasi