NAMA Aisha Retno mula meniti pada bibir peminat apabila beliau tersenarai dalam kesebelasan penyanyi yang mara ke final Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38) dengan mempertaruhkan lagu Sutera.

Bagi yang tidak tahu, pendatang baharu dalam industri seni itu memiliki darah kacukan Melayu-Indonesia. Ibunya, Jean Retno Aryani merupakan bekas penyanyi era 1980-an dari negara seberang.

Sekadar berkongsi latar belakang milik anak jati Kuala Lumpur itu, kerjaya muziknya bermula apabila beliau mengikat kontrak bersama Sony Music Malaysia.

Menganggap itu rezeki terpijak buatnya memandangkan syarikat yang dinaungi bukan calang-calang, tuah terus menyebelahi dirinya apabila berjaya merakamkan single sulungnya, Mengikat Jiwa.

Baca ni Restu ibu mengiringi, Jasmine Suraya pilih berlakon filem Indonesia sebelum sambung pengajian di LA

Aisha retno

Kejayaan terbesar beliau dalam bidang muzik adalah apabila dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga bagi pertandingan Big Stage musim keempat.

Lebih menarik lagi, kehadiran beliau dalam industri turut meraih perhatian penyanyi nombor satu negara yang memuji bakat dalam dirinya.

Rupa-rupanya sudah lama Datuk Sri Siti Nurhaliza menyedari kemampuan gadis berusia 23 tahun itu.

Perjalanan karier seninya bermula dengan program Big Stage musim keempat yang mana penyanyi terkenal itu merupakan salah seorang juri ketika itu.

“Siapa yang tak bangga, kan bila nama disebut oleh antara individu penting yang melihat perjalanan karier nyanyian saya.

“Bahkan titipan kata-kata semangat daripada beliau amat saya hargai,” ungkap Aisha dalam satu sesi temu bual ketika berkunjung ke Studio A Sinar Karangkraf untuk sesi fotografi penghias muka depan SinarPlus.

Baca ni Keluarga sistem sokongan kuat bantu Siti Khadijah ukir nama dalam industri. ‘Ibu didik, bina keyakinan sejak kecil…’

Aisha Retno 1

Akuinya, sepanjang tiga tahun dalam industri, perjalanan kariernya boleh dianggap begitu lancar. Itu sedikit sebanyak memberikan kelegaan buat dirinya yang masih baharu dalam bidang tersebut.

“Alhamdulillah, banyak pengalaman berbeza bagi setiap cabang seni yang saya ceburi. Biarpun begitu, saya akui diri ini masih mentah dan baharu setahun jagung dalam dunia muzik. Masih banyak benda yang perlu saya gali untuk berjaya.

“Ibu antara sumber inspirasi dan guru vokal yang banyak membantu saya dalam meluaskan bakat dalam bidang ini.
Sementara adik pula menerbitkan lagu untuk saya sehingga hit ke negara seberang. Saya bertuah dan gembira kerana dapat bekerjasama dengan keluarga sendiri.

“Dengan kehadiran insan tersayang di sisi, bukan sahaja menambahkan semangat, malah memudahkan lagi perjalanan seni,” jelas Aisha lagi.

Baca lagi ‘Saya mahu jalan terus’. Digelar cepat koyak & sentap, Sissy Iman langsung tak kisah

Aisha Retno 2

Kasta ibu tinggi

Biarpun mengakui ke mana sahaja beliau melangkah, pasti ibu tersayang ada di sisi. Pun begitu, beliau tidak menjadikan ibunya sebagai pengurus dalam perjalanan kariernya.

“Bagi saya, kasta ibu itu jauh lebih tinggi daripada segala-galanya. Apabila seseorang itu menggalas tugas menjaga anak dalam segala aspek, maka beliau lebih daripada seorang ketua dan pengurus. Justeru, tiada siapa yang boleh menggantikan jawatan seorang ibu.

“Lagipun, awal-awal pembabitan dalam bidang ini, saya memang tidak meminta ibunya menjadi pengurus. Biarlah beliau berada di sisi saya sebagai ibu dan membantu memberi tunjuk ajar baik dalam kehidupan seharian mahupun dalam bidang seni,” ungkap anak sulung daripada dua beradik itu.

Menghala perspektif beliau sebagai antara penyanyi yang kini mewarnai dunia seni, kegusarannya paling utama adalah memastikan diri sentiasa berada dalam trek yang betul.

“Saya akui sehingga kini masih ada sikap introvert dalam diri. Namun saya beranikan diri dan alhamdulillah berkat sokongan keluarga banyak membantu untuk memacu saya melalui segala onak dan duri sekali gus membolehkan diri ini muncul sebagai penghibur yang berkualiti dalam dunia seni,” ujarnya.

Sambung graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi itu lagi, beliau tidak kecewa biarpun nama tidak sepopular artis lain yang seangkatan dengannya. Bagi beliau, rezeki setiap orang berbeza-beza.

Baca juga As’ad Motawh kongsi cerita jatuh bangun kerjaya. Hasil usaha dan kerja keras, kehidupannya berubah

Aisha Retno 3

“Bagi saya, rezeki ada di mana-mana. Seawal kaki melangkah dalam bidang ini, saya membulatkan tekad dengan meitikberatkan kualiti.

“Dengan bakat yang ada boleh membuatkan seseorang penyanyi bertahan dan populariti akan datang dengan sendiri tanpa dijemput,” jelasnya.

Pada masa sama, persoalan mengenai hala tuju hidup beliau turut dipersoal. Sementelah beliau memiliki ijazah dalam bidang berbeza.

“Biarpun subjek yang saya pelajari berbeza dan bukan dalam bidang muzik, namun pada saya bidang tersebut (ekonomi) tidak kurang pentingnya. Lagipun, dengan adanya ilmu kita tidak mudah ditipu bulat-bulat di luar sana.

“Sebab itu saya sehingga kini masih lagi belajar dan kalau ada rezeki ingin terus menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” ungkap pemilik nama sebenar sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizam yang memasang impian membuka bisnes sendiri kelak.

Baca lagi Membawa aura persis Wan Zaleha Radzi, pembaca berita TV3, Nadia Azmi curi tumpuan. Turut guna platform TikTok sebar ilmu

 

Bicara kami kemudiannya menerobos ke dunia fesyen. Alang-alang beliau masih muda, pasti dirinya turut terikut-ikut dengan trend terkini.

“Oh! soal fesyen saya tak nafikan memang antara yang menjadi intipati dalam memastikan penampilan sentiasa terkini. Saya suka gaya moden namun ada sentuhan Jawa.

“Mungkin kerana saya berdarah Jawa jadi, saya semangat luar biasa itu membuak-buak untuk memartabatkan segala elemen tersebut dalam pemakaian seharian,”kongsinya.

Malah, beliau turut menyelitkan unsur-unsur tradisional dan budaya tersebut bagi menunjukkan kecintaan dirinya terhadap elemen tersebut.

Iklan

Aisha Retno 4

“Melalui cara itu dapat memaparkan kepada seluruh dunia bahawa unsur Jawa sangat kaya dan pelbagai benda boleh digarap bersamanya termasuklah sentuhan moden,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau mahu anak-anak muda seangkatan dengannya mengapresiasi budaya yang mereka miliki baik orang Minang, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

“Berbanggalah dengan budaya yang kita miliki kerana dengan cara itu sahaja dapat memastikan kesinambungannya terus terpelihara dan mengelakkan kepupusan dimakan dek arus modenisasi.

Terapi  kurangkan stres

Cukup bersemangat gadis berketinggian 64 sentimeter berbicara soal penghormatan beliau akan budaya yang cukup dekat di hatinya.

Kesempatan itu membuatkan penulis melontarkan pertanyaan mengenai segelintir pereka tempatan yang mengambil kesempatan menjadikan selebriti mangsa fesyen.

Akuinya, sehingga kini beliau bertuah berpeluang kerjasama dengan pereka seperti Hatta Dolmat, Rizman Ruzaini dan Mirol Jonit, tiada masalah. Masing-masing baginya boleh terima pandangan dan pendapat.

“Pada saya ‘chemistry’ antara pereka dan artis penting dan pada masa sama, kita kena ada ilmu supaya tidak mudah ditindas atau ditipu orang lain. Sebagai individu yang akan membawa nama dan menyarung busana tersebut, pastilah kita mahukan yang terbaik dan jika tidak sesuai anda berhak menegur namun berlapik supaya kedua belah pihak berpuas hati.

Baca ni Amyra Rosli tak pernah anggap media sosial satu platform toksik. Ini pengalaman yang dikongsikan…

Aisha Retno 5

“Jangan jadikan diri sendiri mangsa fesyen. Sementelah saya bukan jenis yang suka membina nama dalam konteks yang negatif. Nak mencuba tidak salah kerana masing-masing punya hak dalam memilih, namun pastikan ia bersesuaian,” ungkapnya yang bakal mengadakan showcase tidak lama lagi sebagai hadiah buat peminat yang sentiasa memberi sokongan.

Selain semangat jawa cukup berbekas di hatinya, artis tempatan yang dipilih menghiasi papan iklan gergasi Times Square, New York, Amerika Syarikat sempena kempen EQUAL oleh Spotify itu juga cukup sukakan kucing.

Iklan

Bagi beliau, si bulus itu umpama terapi dan juga pemangkin dalam mengurangkan stres.

“Selain pembawa rezeki, ia juga bantu saya atasi stres. Awalnya hanya dua ekor dan semakin hari semakin bertambah dan kini saya sudah ada 30 ekor kucing belaan.

“Walaupun sibuk dengan kerjaya, namun seboleh mungkin saya akan cuba luangkan masa uruskannya. Mujurlah kami sekeluarga jenis yang sukakan kucing. Jadi sama-sama bantu uruskan si bulus,” ujarnya lagi.

Baca ni ‘Bukan riak nak tunjuk kekayaan, kami mahu memberi inspirasi kepada orang lain.’ Wawa Zainal beri jawapan padu

Aisha Retno 3

Biarpun cukup menyayangi haiwan peliharaan tersebut, namun mereka sekeluarga tidak kisah jika ada kenalan atau saudara yang ingin mengambil si bulus untuk dibela.

“Menjaga kucing memerlukan kesabaran dan dedikasi selain minat yang tinggi. Makhluk itu memerlukan penjagaan yang baik dan jika kita betul-betul sayang, kenalah disiplin walau sibuk macam mana sekalipun.

“Walaupun sayang, saya tidak kisah jika ada yang datang ke rumah dan mahu mengambilnya (kucing) untuk dibela. Kami tidak jual, sebaliknya diberikan percuma asalkan boleh menjaganya dengan baik,” ungkapnya sebelum menutup perbualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang