KEHADIRAN pasangan adik beradik serasi, Heliza Helmi dan adiknya, Hazwani ke Sinar Karangkraf baru-baru ini menceriakan pagi kru SinarPlus.

Selepas wajah mereka dioles rapi, kami meneruskan itenerari dengan membuat rakaman video pendek, Personaliti.

Berbeza dengan selebriti lain, setiap jawapan kepada persoalan dijawab rapi, namun diselitkan dengan unsur humor yang bermanfaat.

Pun demikian, terlebih dulu, penulis bertanyakan hal berkaitan Ramadan dan raya kepada Heliza, 37, dan Hazwani, 26.

Memulakan bicara, mereka berdua yang dikenali sebagai The Helmis memberitahu, segalanya berlangsung dengan cukup wasatiyah. Dari segi busana, pemakaian jubah yang sedia ada sudah memadai.

heliza hazwani

Dua kali menyambut lebaran ketika wabak Covid-19 melanda menginsafkan Heliza dan Hazwani.

“Bila teringat kembali momen itu menjadikan kami lebih bersederhana. Saya juga pakai baju tahun lepas. Lagi seronok sebenarnya kerana sunah Rasulullah pun menuntut pakaian terbaik untuk meraikan Syawal, bukanlah perlu baju baharu,” kata Hazwani.

Baca juga Sambutan Aidilfitri kali ini lebih meriah, semangat dan tenang. Pengakuan eksklusif Puteri Sarah

Buat Heliza yang merayakan Aidilfitri untuk tahun kedua sebagai suri hati kepada Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, beliau bersyukur apabila belahan hatinya tidak cerewet bab makanan.

heliza hazwani

“Makanan kegemaran Abang Dee bila raya di Pulau Pinang, sudah tentunya nasi kandar dan teh tarik. Kalau sebelah famili saya, rendang air tangan mama jadi pilihan. Setiap kali raya, mama yang masak semua hidangan. Saya adik beradik bantu untuk masakan jenis bergoreng sebagai menu tambahan,” ungkapnya.

Kepada kami, Heliza sempat menceritakan momen ‘raya terkejut’ pada tahun lalu.
Ketika itu, beliau dan suaminya baru pulang daripada menunaikan umrah.

heliza hazwani

“Sebaik sahaja tiba lapangan terbang pukul 11 malam, kami terus bergerak ke Pulau Pinang. Memang kelam kabut. Namun, segalanya dipermudahkan dan kami bersyukur dapat bersama keluarga besar di sana,” katanya.

Baca juga Johan tilawah al-Quran, Sofizah Mousin belajar taranum sejak kecil. Mahu perluaskan ilmu dan kembara dakwah

Ketika artikel ini disiarkan, Heliza baru pulang dari Tanah Suci Makkah bersama ahli keluarga, staf, rakan taulan termasuk Ustaz Wadi Annuar.

heliza hazwani

Luahnya dengan penuh keterujaan, menjalani ibadah puasa di Makkah dan Madinah adalah satu kenikmatan yang sukar untuk dinyatakan dengan sepotong ayat.

Sembunyi di dalam liang lahad

Heliza dan Hazwani yang menubuhkan kumpulan dinamakan The Helmis sebenarnya mempunyai banyak cerita.

Pastinya, diri mereka dengan misi membantu masyarakat tempatan mahupun antarabangsa tidak dapat dipisahkan. Ia diibaratkan seperti aur dengan tebing.

Rasa kemanusiaan yang wujud bukan satu lakonan atau pun konten media sosial. Semua lahir dari hati yang tulus.

heliza hazwani

Sama ada Heliza atau pun adiknya, kedua-duanya tidak kisah menempuh ranjau ketika berdepan dengan situasi malapetaka atau berada di bumi bergolak.

Serik? Tiada istilah itu dua anak polis yang sentiasa teguh dengan prinsip hidup.

Malah, mereka telah menambah satu lagi hajat mulia iaitu mahu berdakwah di Jepun dan Kanada pula.

Baca juga Wajah comel terpapar pada botol kordial F&N hampir 2 dekad, ini wajah terkini Madihah ‘si gadis sirap’

Sengaja kami tanya, apa pengalaman terpahat dalam sukma sehingga pada saat ini?
Heliza dan Hazwani sepakat mengatakan igauan ngeri gempa disusuli tsunami di Palu, Sulawesi, Indonesia pada tahun 2018 masih terngiang-ngiang lagi.

heliza hazwani

“Depan mata sendiri, kami menyaksikan mayat bergelimpangan dan masih ada yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan. Suara meminta tolong singgah pada telinga, namun disebabkan timbunan terlalu dalam, misi menyelamat menemui jalan buntu.

“Melihat babak mengharukan itu membuatkan kami terpaku seketika, sebak, pilu dan segala macam perkataan sinonim yang menggambarkan kesedihan. Tidak hanya itu, gegaran susulan yang berlaku tanpa signal memang menakutkan, tapi saya dan Hazwani bertawakal kepada-NYA,” katanya dengan mata berkaca.

Menguak lagi himpunan perasaan mereka tentang misi lain pula, Heliza berkata, keberadaan di Syria sebenarnya hampir meragut nyawanya.

heliza hazwani

“Ketika itu kami satu pasukan terpaksa sembunyi di dalam liang lahad dan ada yang di gua ketika bom dilepaskan pihak tentera.

“Jujur saya katakan, situasi di hujung nyawa itu seolah-olah ALLAH mahu beritahu betapa rapuhnya manusia dan satu mesej penting bahawa nyawa kita boleh ditarik pada bila-bila masa,” ujarnya.

Di Gaza pula, wanita yang baik akhlaknya, tetapi sarat dengan sifat lelucon itu, amat bimbangkan anak-anak kecil di sana.

heliza hazwani

“Mereka (anak-anak kecil) bertanya pada saya, mengapa tidak datang membantu? Pada saat itu, saya terfikir, apa yang saya akan jawab nanti jika ALLAH tanya saya apa yang kamu lakukan untuk menolong saudara kamu?

“Sebab itu, apa yang berlaku di dunia sekarang ini bukan masalah mereka saja, tapi ia adalah ujian untuk kita sama ada nak tolong atau buat tak tahu?

“Atas sebab itulah, ia telah mendorong kami untuk berusaha membantu mereka yang memerlukan sebagai asbab agar amalan yang dilakukan membawa kami ke syurga tanpa hisab tanpa azab,” katanya yang merumuskan setiap untaian kata tanpa keraguan.

heliza hazwani

Tidak hanya tertumpu kepada manusia, dua personaliti hebat itu juga memiliki sikap penyayang terhadap kucing.

Heliza yang juga pengasas bersama label Jihad Till Jannah itu berkata, beliau dan Hazwani kini sedang bergiat aktif untuk projek The Helmis Help Animal.

 

Ujar mereka, pek bantuan makanan kucing juga diedarkan ke kawasan masjid dan premis untuk membantu si bulus yang dalam kelaparan, selain merawat serta mencari keluarga angkat.

heliza hazwani

“Bukan sahaja di Malaysia, kalau ternampak kucing terbiar waima di Tanah Suci Makkah dan Madinah pun, kami sentiasa bawa beg berisi makanan dan mangkuk untuk ‘mereka’,” kata mereka.

Iklan

‘Mengidam’ buat kebaikan

Kepada satu soalan, Hazwani berkata, semua yang dilakukan beliau dan kakaknya bukanlah mahu menunjuk-nunjuk. Ia hanya satu kepuasan untuk diri sendiri.

“Dari hati yang terdalam, kami ini ibarat sentiasa ‘mengidam’ mahu buat kebaikan demi kebaikan. Bila mereka yang dibantu gembira, itu yang membuatkan kami ketagih nak bantu lagi,” katanya.

heliza hazwani

Kalau diizinkan ILAHI, setiap masa diisi dengan pahala. Itu sebab setiap bermusafir, mereka sentiasa memikirkan sesuatu untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang ditemui.

“Paling tidak pun, kami akan menziarahi tokoh agama dan ulama untuk menimba ilmu agama. Sebab kami lemah, jadi perlu cari sesuatu yang boleh menambah ganjaran daripada-NYA,” katanya dengan penuh pengharapan.

Sehubungan itu, tekad dua figura berkenaan, mereka beriltizam untuk terus menghidupkan The Helmis Help Animal termasuk The Helmis Help People demi kemaslahatan ummah.

heliza hazwani

Dalam pada itu, Heliza berkata, beliau pernah mencadangkan kepada kementerian berkaitan agar dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sukarelawan yang mana rakyatnya berjiwa peduli ummah.

“Jika sifat itu (peduli ummah) bermula dari rumah, jadi tak akan timbul isu keluarga yang nauzubillah. Saya percaya semuanya akan dibantu bersama-sama,” sarannya.

Baca juga Eleena Sui pilih untuk berhijab penuh, tekad mahu terus kekal istiqamah. Ini cerita pilu di sebalik penghijrahannya

Penulis kemudian melencongkan soalan dengan bertanyakan hobi mereka yang suka memanah dan berkuda?

heliza hazwani

Sambil tersenyum manis, kata Heliza, mereka sebenarnya masih amatur dalam sukan yang dianjurkan agama itu.

Penglibatan tersebut didorong selepas mendengar banyak ceramah agama yang menyarankan umat Islam mempersiapkan diri dengan kemahiran berkenaan.

Iklan

“Kami menyertai sukan memanah dan berkuda tahun lalu. Masya-ALLAH, rupa-rupanya memang menarik melakukannya. Selain membentuk rohani dan fizikal, ia berupaya melahirkan seorang pemimpin yang hebat.

heliza hazwani

“Saya juga sifatkan impak sukan ini cukup besar. Sedikit perkongsian tentang rakan saya. Beliau alami depresi selepas kehilangan suami secara mengejut. Alhamdulillah selepas bergiat aktif, kemurungannya hilang dan dia kembali pulih,” kata Heliza.

Baca juga Solat dan doa jadikan Siti Murni pada hari ini. Jenamanya terus meledak, idea terus melimpah

Hazwani menambah, walaupun pernah berdepan insiden terjatuh dari kuda semasa aktiviti memanah, namun hal tersebut bukan satu masalah buatnya.

heliza hazwani

“Apa yang penting, kita kena fokus dan belajar untuk percaya pada diri serta kuda itu sendiri,” ungkapnya.

Menolak persepsi negatif bahawa dua aktiviti tersebut hanya sesuai untuk kaum Adam, Heliza dan Hazwani percaya semua orang mampu berbuat demikian.

heliza hazwani

“Kami sarankan semua anak muda dan wanita bermulalah dari sekarang untuk belajar semua skil tersebut sebagai survival pada akhir zaman.

“Sekali kita sudah mula belajar, kita akan dapat pupuk sisi kuat dalam diri,” kata mereka yang menerima latihan daripada jurulatih bertauliah.

 

Terima kasih

  • Jurusolek Mastura Hashim (@mazmiera) & Ann Karim (@annkarim)
  • Busana Jubah Royale (@jubahroyale) & Red Jelita (@redjelita.official)

Layari portalSinarPlusuntuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami diTwitter,Instagram,YouTube&Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kamiDI SINIuntuk info dan kisah penuh inspirasi.