PUTERI Sarah Liyana, jiwanya bagaikan kesatria. Meskipun kehidupan diamuk badai dan terpaksa mendokumentasikan emosi pilu, beliau tetap tegar.

Tak perlu dicanang, seantero Malaysia tahu garapan kisah hidupnya. Sana sini kisah rumah tangga empunya diri dijaja.

Dihakimi teruk netizen tidak bertauliah bukan satu rahsia lagi. Mereka terus mencerca tanpa fikir ada Tuhan yang bakal mengadili perilaku kejam itu.

Pun begitu, Puteri Sarah tidak peduli dengan kata-kata nista yang dilemparkan. Beliau bagaikan ada kuasa sakti yang menahan semua itu.

Baca ni Johan tilawah al-Quran, Sofizah Mousin belajar taranum sejak kecil. Mahu perluaskan ilmu dan kembara dakwah

Tuan punya badan berjuang dan terus berjuang. Dirinya juga lantang dalam mempertahankan haknya sebagai isteri dan ibu.

Ah! Ciri khas seorang petarung sejati memang ada dalam diri seorang bernama Puteri Sarah.

Namun demikian, tiada siapa dapat mendengar deruan ombak hati wanita kuat itu. Barangkali beliau masih dihempas sepi tidak berlagu.

Sanubarinya terus bertasbih. Rugi sahaja menoleh ke belakang. Lebih baik menjelajah kehidupan masa depan yang lebih aman damai dan tidak menyesakkan jiwa.

Melihat ketabahan dan kecekalan Puteri Sarah, kami mengajukan permintaan menjadikan beliau yang mesra disapa Sarah sebagai penghias muka hadapan SinarPlus.

Baca ni Wajah comel terpapar pada botol kordial F&N hampir 2 dekad, ini wajah terkini Madihah ‘si gadis sirap’

Bukan ingin menangguk di air keruh. Niat kami, tidak lain tidak bukan hanya mahu bertanyakan tentang atmosfera Syawalnya, bukan untuk memporak-perandakan lagi keadaan.

Berawal, tegas ibu kepada Syaikul Islam, 6; dan Sumayyah, 4, dirinya hanya mahu fokus kepada kerjaya dan anak-anak sahaja.

Niat murni yang tertanam itu seolah-olah didengari-NYA apabila Sarah yang diberi jolokan wanita besi itu dilambakkan dengan rezeki tanpa diduga sama sekali.

“Ya, alhamdulillah, saya sekarang sedang menjalani penggambaran drama Andai Itu Takdirnya (60 episod) dan Hijrah Jannah (60 episod). Sejujurnya, tak pernah terlintas dalam fikiran akan memperoleh rezeki sebegini.

“Namun, percaturan YANG MAHA ESA tak siapa mampu menelah. Justeru, saya cukup bersyukur dan menerima rezeki tersebut dengan tangan terbuka,“ ungkapnya yang tidak kisah mengerah kudrat demi dua cahaya mata tersayang.

Rai di KL & momen kad raya
Sebelum dilayangkan persoalan lain, penulis tanyakan bagaimana persiapan raya yang bakal menjelma lebih kurang seminggu lagi kepada anak sulung daripada empat beradik itu.

Tutur Sarah, rutin sambutan lebarannya lebih meriah dan bersemangat. Beliau juga lebih gembira dan tenang tahun ini.

“Saya juga jalani hidup seadanya, selalu pandang dan fokus kepada masa hadapan,“ tutur Sarah memaktubkan kata.

Barangkali dengan kesibukan yang menguasai diri, ujar tuan punya badan, persiapan raya masih belum siap 100 peratus.

Namun yang pasti, mereka bertiga akan meraikan Aidilfitri yang penuh keceriaan di Kuala Lumpur.

Berkenaan dengan tema busana raya, ujar Sarah, semuanya akan sedondon dan seirama.

“Namun, temanya masih menjadi rahsia,“ selorohnya.

Baca lagi  Eleena Sui pilih untuk berhijab penuh, tekad mahu terus kekal istiqamah. Ini cerita pilu di sebalik penghijrahannya

Apa-apapun kata anak kelahiran London, England itu, beliau lebih mementingkan perasaan si kecil Syaikul dan Sumayyah dalam sahaja yang dilakukan termasuk dalam bab beraya.

“Jika mama gembira, anak pun gembira…Soal rutin pagi raya dengan anak-anak pula, tiada beza dengan orang lain, kami akan bermaaf-maafan sebelum keluar berziarah,“ ungkapnya.

Kepada penulis, penggemar biskut Almond London dan tart nanas itu dengan nada tulus berkata, sesungguhnya menjadi pejuang anak seni memberi ruang kepadanya untuk berbakti dengan keluarga tercinta.

Penat lelah yang ditumpahkan dirasakan berbaloi apabila beliau sama-sama dapat menikmati rezeki dengan insan-insan yang sentiasa bersamanya dalam suka mahupun duka.

“Inilah yang paling bermakna sepanjang bergelar anak seni. Alhamdulillah, saya dapat berbuat demikian (kongsi rezeki raya) dengan anak-anak dan keluarga,“ tuturnya.

Masih bercerita tentang rezeki, ujar Sarah, beliau percaya, pancaroba yang direntas akan terselit kemanisan.

Siapa sangka, dua zuriatnya yang masih belum mengerti resam dunia ditawarkan menjadi model busana raya sebuah jenama.

“Alhamdulillah, rezeki anak-anak. Untuk abang Syaikul, memandangkan beliau sudah pandai bergaya dan faham arahan, jadi prosesnya lebih mudah.

“Cuma untuk Sumayyah, mungkin memerlukan sedikit masa lagi memandangkan beliau masih kecil,“ ujar Sarah sambil mengakui dalam sesi penggambaran, pelbagai aspek diambil kira termasuklah perubahan mood anak-anak.

Baca ni ‘Mak ladang pahala & rezeki.’Buat kejutan, Nubhan renovate bilik ibu serupa hotel undang sebak!

Diminta berkongsi karakter dan perwatakan permata hatinya, jelas pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu, Sumayyah banyak mengikut perangainya.

“Kanak-kanak tetap kanak-kanak. Sumayyah misalnya, banyak mengikut perangai mamanya. Beliau suka dimanjakan.

“Berbeza pula dengan abangnya, Syaikul. Tidak disangka-sangka apabila dia dilihat semakin matang dari hari ke hari. Walaupun baru berusia enam tahun, namun sudah pandai urus diri dan adiknya apabila saya sibuk,“ beritahunya.

Bicara kami tentang Aidilfitri masih belum bernoktah. Kata Sarah kepada penulis, beliau kangen sekali dengan momen mendapat kad raya yang diposkan atau sampai terus kepadanya.

Iklan

“Saya masih mempraktikkan kaedah itu cuma kini beralih secara digital atau e-kad. Rindu sebenarnya nak dapat kad raya, namun saya mengikut peredaran zaman.

“Kebanyakan kita semakin sibuk dengan kehidupan. Jadi, saya lakukan setakat mana yang memudahkan. Pada saya yang penting ingatan tulus dan ikhlas,“ ungkap Sarah yang handal menyediakan hidangan asam pedas, patin tempoyak dan stik ketika Aidilfitri.

Buku sulung
Sebenarnya, portfolio Sarah tidak hanya tertakluk sebagai anak seni sahaja.

Pemilik nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu juga semakin ligat dalam dunia perniagaan. Malah, wajahnya turut menjadi pilihan pengusaha butik sebagai model.

“Kalau diikutkan, saya tak pernah berhenti dalam berbisnes. Sampai sekarang saya terus tumpukan kepada bisnes pakaian saya, Shara by PSL. Cuma mungkin ada yang tidak sedar.

“Alhamdulillah, sehingga kini semuanya berjalan lancar. Walaupun sibuk dengan lakonan, tumpuan saya tetap pada perniagaan, di samping endorsement dengan beberapa jenama.

“Insya-ALLAH, saya mempunyai pelbagai perancangan untuk Shara by PSL,“ ulasnya lagi.

Dalam pada itu, mungkin ramai yang perasan, wajah Sarah sering kelihatan di layar kaca.

Baca lagi ‘Lawanya rumah, ingat dekat luar negara.’ Isteri Rahim Sepahtu kongsi gambar rumah, siap ada mini golf bikin ramai teruja!

Adakah beliau hanya terus capai kata sepakat untuk berlakon tanpa menilai watak atau jalan cerita?

“Bukan begitu, saya amat selektif. Seperkara, sejak dulu lagi, saya suka mencabar diri dalam membawakan peranan yang lebih berat. Antaranya saya berminat untuk melakonkan watak seperti psikopat atau antagonis,“ jelas Sarah yang meraih pujian menerusi wataknya sebagai Umairah menerusi drama rantaian, Andai Itu Takdirnya.

Naskhah tersebut sedang hangat bersiaran di layar kaca sekarang.

Iklan

Pun demikian, dipalu dengan kepadatan jadual dalam memenuhi tawaran berlakon dan melunaskan aktiviti-aktiviti lain, tegas wanita yang bijak mengusahakan kebahagiannya sendiri itu, masa dengan anak-anak tetap terjaga.

“Syaikul dan Sumayyah semakin membesar. Jadual padat macam mana pun, saya tetap kekal fokus dengan mereka. Saya akan pastikan setiap kali ada masa lapang, kami bertiga akan bersama.

“Antaranya melakukan aktiviti bersama di rumah atau pergi bercuti. Kadangkala saya turut bawa mereka turun ke set pengambaran,“ kongsinya yang sentiasa mengambil peranan menghantar dan mengambil kedua-dua anaknya dari sekolah.

Sepanjang perbualan, Sarah tidak henti melahirkan rasa syukur dan terharu apabila dikurniakan ahli keluarga yang sangat memahami dan membantunya menguruskan Syaikul dan Sumayyah pada saat memerlukan.

Pada perkembangan lain, pemergian pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perhotelan itu ke Jakarta, Indonesia baru-baru ini rupa-rupanya membawa perkhabaran menggirangkan.

Masakan tidak, beliau bakal terbabit dalam penggambaran filem di republik itu bersama pelakon handalan, Hanung Bramantyo.

Bukan itu sahaja, Sarah turut akan mengabadikan pasang surut pelayaran kehidupannya menerusi sebuah buku yang ditulisnya daripada lubuk hatinya.

“Buku sulung saya itu akan dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tidak lama lagi. Ia antara lain bakal membawa pembaca menelusuri fasa kebangkitan insan bernama Puteri Sarah Liyana,“ katanya memberi bayangan sinopsis inti pati naskhah yang dijangka laku keras.

Tidak hanya itu, beliau juga akan berkolaboratif bersama komposer Faizal Ulwi dan penyanyi, Sarah Fazny untuk pembikinan lagu Terus.

“Lagu ini mengisahkan tentang perjuangan seorang wanita. Secara umumnya, ia berkaitan kebangkitan untuk meneruskan langkah dalam mengharungi kehidupan yang sentiasa penuh dengan cabaran.

“Terus amat dekat dengan hati saya dan ini merupakan buah tangan untuk peminat dan mereka yang sedang mencari kekuatan dalam menempuh dugaan hidup,“ katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.