'Kehadiran Hana telah banyak mengubah prestasi diri dan sumber kekuatan saya'. Ucapan tulus Da‘i Syed kepada isterinya
PERTEMUAN Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atau terkenal nama Da‘i Syed dengan bidadari bernama Nurulhana Ismail dalam satu majlis telah memutikkan perasaan cintanya yang tidak berbelah bagi.
Namun, ketika itu, Syed Shah tiada keberanian untuk melangkah ke depan untuk mengenali lebih rapat diri si dara jelita.
Yakin bahawa NurulHana telah dicipta daripada sebahagian tulang rusuknya, lelaki itu mengambil keputusan menunjukkan gambar wanita berusia 36 tahun itu kepada ibunya sebelum memulakan langkah kedua.
Kalau sudah jodoh, memang tidak ke mana. Akhirnya pasangan sama cantik, sama padan itu disatukan sebagai suami isteri pada 3 Disember tahun lalu selepas mengikat tali pertunangan pada 16 November tahun yang sama.
Kehadiran merpati dua sejoli itu di Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini memecah keheningan petang kami.
Sambil menantikan NurulHana atau disapa Hana sahaja sedang ditatarias, penulis enggan membuang masa lantas memulakan bicara dengan suaminya.
Sukar untuk tidak bercerita tentang Syed yang terpalit dengan kontroversi sehingga kes beliau dibicarakan di mahkamah.
Namun, kebenaran memihak kepadanya apabila hakim melepas dan membebaskan pendakwah selebriti tersebut selepas pengadu menarik balik laporan polis yang dibuat.
“Sesiapa sahaja yang berada di tempat saya pasti tahu perasaan yang saya alami. Bukan mudah sebenarnya nak menelan segala yang berlaku. Malu usah ditanya, tak tahu nak letak di mana wajah ini.
“Sejujurnya memang saya tak boleh terima, namun sebagai umat-NYA yang belajar selok-belok agama dan tahu itu antara ujian yang diberikan ALLAH, maka saya reda dengan ketentuan tersebut,“ kata personaliti yang cukup terkenal itu.
Namun, beliau sedar bahawa parut peristiwa itu akan berbekas buat selama-lamanya.
“Apabila mendirikan perkahwinan, saya beritahu Hana, kes yang saya lalui itu tidak akan luput dalam lipatan sejarah. Walaupun sudah terbukti saya tidak bersalah, namun ia tidak mampu memadamkan apa yang berlaku.
“Bahkan, jika kami dikurniakan anak kelak, saya kena terangkan hal sebenar supaya si kecil bersedia. Ia sukar untuk dielak kerana pencarian dalam media sosial pasti menemukan kisah hitam tersebut,“ ujar Syed sambil memberitahu tentang kemungkinan beliau akan mendedahkan cerita sebenar di sebalik ‘tragedi‘ yang memusnahkan reputasinya.
Biarpun hidupnya dibayangi awan hitam, namun ujar personaliti kacak itu, dirinya sama sekali tidak akan mengambil kesempatan menggunakan platform dakwah untuk membersihkan nama yang telah rosak.
“Saya tidak rasa ia satu jalan terbaik (untuk membersihkan nama). Alhamdulillah, pengalaman sepanjang ditahan di dalam lokap banyak membantu saya bermuhasabah diri.
“Bayangkan, tidur saya berlapikkan lantai tanpa ada bantal mahupun selimut. Waktu tengah malam, saya berjaga, lakukan solat taubat, tahajud dan berzikir. Begitulah cara saya mengawal diri supaya tidak terikut dengan emosi.
“Saya sedar ujian berkenaan datangnya daripada ALLAH dan bukannya manusia. Pada masa sama, DIA mahu saya belajar mengenali siapa kawan-kawan yang sebenar. Musibah yang berlaku banyak memberi pengajaran kerana ketika itulah saya tahu erti kawan sebenar,“ ungkapnya dengan nada berbaur kecewa.
Enggan empunya diri terus larut dalam perang perasaan, ‘riwayat yang tidak mahu dikenang itu‘ itu ditutup rapat.
Lebih baik kami bercerita tentang suasana Hari Raya Aidiladha yang baru disambut umat Islam di seluruh dunia beberapa hari lalu.
Korban di Syria
Syed tersenyum megah. Beliau kembali bersemangat. Sambil melemparkan senyuman, Syed memberitahu, sambutan kali ini lebih bermakna kerana mereka berdua meraikannya di bumi bergolak, Syria.
“Atas misi kemanusiaan, saya, isteri dan pertubuhan bukan kerajaan, Malaysia For Syria akan melakukan korban di sana,“ katanya yang sudah dua kali menjejakkan kaki ke negara yang melahirkan banyak ulama dan cendekiawan itu.
Namun, daripada hati yang terdalam, apa definisi pengorbanan bagi Syed? Saat mendengar soalan itu diucapkan, intonasinya sedikit sentimental.
Baca lagi 'Saya mahu jalan terus'. Digelar cepat koyak & sentap, Sissy Iman langsung tak kisah
Jujur kata tuan punya badan, kehadiran belahan hatinya, Hana telah banyak mengubah prestasi diri.
“Setiap perjuangan pasti ada pengorbanan. Dalam situasi ini, saya mengambil contoh kisah perjuangan Nabi Muhammad SAW. Baginda kuat kerana adanya isteri yang teguh untuknya di sisi. Itulah yang saya bisikkan pada Hana. Beliau ialah sumber kekuatan saya,“ akui anak kelahiran Perlis itu yang lebih cenderung memilih makanan ala India seperti capati berbanding juadah seperti lemang, ketupat atau rendang ketika berhari raya.
Pada masa sama, kematangan yang dimiliki sang isteri membuatkannya kagum. Cara Hana melontarkan percakapan juga antara magnet kuat membuatkan beliau jatuh cinta kepada wanita dambaannya itu.
“Walaupun saya bukan anak bongsu, namun saya suka dimanjakan. Itu yang Hana selalu buat. Beliau memenuhi sifat apa yang saya ingini. Jika direzekikan dikurniakan cahaya mata kelak, saya tahu Hana boleh dan mampu jadi ibu kepada anak-anak kami dengan baik.
“Seperkara, beliau juga banyak mengawal diri saya daripada terus dibuai emosi dan memimpin saya jika saya cepat melenting dalam satu-satu perkara. Biasalah, darah muda barangkali,“ kata bekas peserta program realiti Da‘i Pendakwah Nusantara (2016).
Mengambil ruang untuk mencelah, Hana pula berkata, jarak usia juga bukan isu besar dalam perhubungan di antaranya dan suami tercinta.
“Apa yang membuat kami mahu meneruskan perkahwinan adalah masing-masing punya niat dan matlamat yang sama. Setelah istikharah, hati saya yakin mengatakan inilah jodoh saya.
“Soal kontroversi atau cabaran yang bakal ditempuhi pula, saya percaya akan mendapat pertolongan dan reda ALLAH sekiranya kita bersabar dan yakin, insya-ALLAH,“ ungkap personaliti dan pengacara TV Al-Hijrah itu.
Berlapang dada
Seperti biasa, kepada pasangan yang baru berkahwin, persoalan tentang zuriat pasti akan dibicarakan dengan lebih mendalam. Terus terang, penulis berbesar hati dengan keterbukaan pasangan yang sentiasa ceria itu bercerita.
Syed mahupun Hana masing-masing nampaknya sudah bersedia dan tidak menolak andai dikurniakan ‘malaikat kecil‘ dalam masa terdekat.
“Hana pernah cakap nak tiga orang anak. Soal benarkan Hana terus bekerja, pada saya tidak timbul. Selagi beliau berminat saya tak akan halang,“ ujar Syed.
Sambil mengerling manja sang suami, Hana yang manis wajahnya menyerahkan segala urusan kepada YANG MAHA ESA.
“Kami tidak merancang dan sudah usaha. Selebihnya kami serahkan kepada ALLAH. DIA lebih mengetahui apa yang terbaik buat kami,“ kata wanita tersebut.
Kesempatan itu juga, penulis secara spontan terfikir untuk bertanya tentang kritikan pedas segelintir pihak yang kurang senang melihat mereka berdua memuat naik aksi mesra menerusi media sosial.
Demikian reaksi Syed: “Selagi tidak melanggar hukum dan tidak mendatangkan sebarang masalah, saya akan terus mencipta momen indah bersama isteri.
“Dalam kehidupan ini, tak perlu nak ikut apa yang orang cakap. Janji kita gembira dan bahagia bersama.“
Di sebalik timbunan kata-kata negatif, pendakwah itu berkata, terdapat juga individu yang suka dan teringin mahu melakukan perkara yang serupa dengan mereka.
Pandangan Syed itu turut diakui Hana. Tutur personaliti berkenaan, sebenarnya, apa yang didedahkan dalam media sosial hanyalah 15 peratus sahaja daripada apa yang mereka lalui sehari-hari.
“Ya, sebagai manusia, sudah menjadi adat akan ada yang suka dan tak suka dengan kita. Maka, adalah lebih baik kami berlapang dada dengan apa jua pandangan dan reaksi masyarakat,“ tegas Hana.
Baca lagi Zara Zya mahu kaum Hawa kental dan 'kena mahal'. Pelakon jelita ini juga sedia bertukar status
Pun demikian, Syed berkata, dirinya kurang bersetuju dengan cara sesetengah pasangan yang menggunakan media sosial untuk meluahkan rasa terhadap pasangan masing-masing.
Baginya, cara itu tidak membantu, malah menyulitkan lagi keadaan. Demikian juga apabila meminta bantuan pihak ketiga seperti ahli keluarga.
“Bukan apa, jangan nanti apabila anda dan pasangan kembali berbaik, tetapi hubungan dengan keluarga pula menjadi renggang.
“Jadi, pada saya selesaikan secara baik tanpa melibatkan orang lain. Saya dan Hana sering duduk bersama sebelum tidur dan meluahkan apa yang tidak puas hati. Dengan pendekatan sebegini, kami tahu apa kekurangan dan kelemahan yang perlu diperbaiki termasuk apa yang disukai atau tidak,“ ujarnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang