BALAS dendam yang sudah lama terpendam! Akibat mengesyaki sang suami berlaku curang, wanita bertindak luar kawalan.

Sejujurnya cinta membuat kita ketawa. Cinta juga membuat kita merana. Kecurangan pasangan menjadi racun rumah tangga.

Ia meruntuhkan istana bahagia serta meranapkan impian indah yang dicita-citakan hingga akhir hayat. Curang dan cinta terlarang mengundang pelbagai citra duka.

Begitulah juga yang terjadi di Lusaka, Zambia, apabila seorang wanita dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas cuba memotong kemaluan suaminya semasa sedang tidur.

Menurut laporan akhbar Daily Star, berdasarkan perbicaraan mahkamah, Jimmy Ngulube, 43, dikatakan terbangun ketika tengah malam pada 4 Ogos lalu dengan rasa sakit pada pangkal paha.

Lalu dia terpandang isterinya, Given Chilufya sedang berdiri sambil memegang pisau dengan kesan darah dan mengancam untuk membunuhnya.

Pada mulanya pasangan itu tidur selepas bertengkar apabila Chilufya, 37, menuduh suaminya curang terhadapnya.

Kemudian, wanita itu bangun semula pada waktu malam dan memutuskan untuk membalas dendam.

Mangsa menghubungi abangnya untuk membawanya ke hospital, di mana kecederaan paling teruk itu telah dirawat.

Polis turut dimaklumkan mengenai kes tersebut dan Chilufya kemudian ditahan.

Pada 26 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Majistret Kapiri Mposhi, Arnold Kasongamulilo menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas Chilufya kerana mencederakan suaminya.

Chilufya memohon hukuman untuk diringankan tetapi hakim menegaskan bahawa dengan menyerang dan mencederakan suaminya seperti yang dilakukan, dia telah menunjukkan niat yang jelas untuk membunuhnya.

Sementara itu, sebagai wanita, janganlah kita mudah lemah apabila berdepan situasi begini.

Ada banyak langkah dan proses yang boleh dijadikan panduan demi menyelamatkan rumah tangga, antaranya;

1. Tanya diri

Apabila suami atau isteri sah berlaku curang di belakang pasangan, kumpul kekuatan untuk berdepan dengannya secara bijaksana. Ketepikan emosi dan cuba bersikap rasional.

Tanyakan kepada pasangan sama ada anda dan dirinya masih sesuai atau serasi bersama. Berterus-terang lebih baik daripada terus menyakiti perasaan sendiri mahupun pasangan. Lihat sama ada perkahwinan yang dibina masih boleh diteruskan atau perlu mengalah saja.

Segelintir wanita atau lelaki sukar berbaik semula berikutan pasangan sudah menjalin hubungan sulit hingga tidur bersama. Apabila kecurangan melangkaui batas, eloklah bertemu pakar untuk mendapatkan kaunseling.

Baca juga Anak tak sempat bergelar doktor maut dilanggar bas universiti, ibu tuntut pampasan RM8.1 juta

2. Jalani kaunseling

Ada isteri nekad berpisah. Tetapi masih ada juga yang bermurah hati menerima kesilapan suami demi anak-anak.
Apabila anda berhasrat meneruskan hubungan, berjumpalah dengan pakar kaunseling untuk berbincang secara terbuka dan mendapatkan pandangan.

Menerusi kaunseling, anda boleh menganalisis, mengenal kelemahan, kekuatan dan kemampuan masing-masing. Dari situ, anda boleh melihat bahagian mana dalam diri dan hubungan suami isteri yang boleh dibaiki.

Lazimnya, kes kecurangan berlaku kerana pegangan agama yang lemah, hidup yang sudah jauh daripada Maha Pencipta. Ketahuilah bahawa reda ALLAH SWT itu sangat penting dalam membina perkahwinan bahagia.

3. Kongsi masalah dengan ibu bapa

Iklan

Sebagai anak, ibu bapa adalah tempat terbaik untuk kita mengadu dan meraih kembali sokongan sebelum bangkit semula.

Nilai nasihat yang mereka beri sebaiknya. Ibu bapa yang bijaksana akan bersikap neutral. Mereka tidak akan mengapi-apikan hubungan anak-anak, sebaliknya memberi nasihat membina.

4. Pergi bercuti

Tenangkan fikiran dan cari semula kekuatan diri. Jika berkemampuan, pergilah mengerjakan ibadah umrah. Di sana anda boleh mengadu kepada ALLAH SWT sepuasnya, memohon keampunanNya, bermuhasabah diri, memikirkan kembali keputusan yang bakal diambil dan mencari ketenangan berharga.

Dalam tempoh ini juga, fikirkan kembali niat sama ada mahu meneruskan perkahwinan atau berpisah.

Jika hati nekad mahu bercerai, ambil tahu proses yang perlu dilalui sehingga semua selesai. Ambil kira hasil perceraian itu nanti termasuk emosi anak, kehidupannya dan perbelanjaan yang wajib dilunaskan mengikut persetujuan mahkamah.

Bagaimanapun jika bajet kecil, pergilah ke mana-mana destinasi dekat supaya anda boleh bertenang dan berfikir panjang.

Di negara kita sendiri ada banyak masjid cantik yang menyediakan ruang solat Muslimat yang selesa untuk anda menyendiri dalam suasana selamat dan menenangkan.

Iklan

Baca juga Wajah dipandang seiras suami, ini 6 fakta menarik wanita kena tahu

5. Kembali kepada ALLAH ALLAH SWT

Mereka yang sentiasa mengingati Tuhan, menjalankan tanggungjawab dan suruhan ALLAH SWT serta berusaha meninggalkan laranganNya, pasti tidak terasa terlalu terbeban dengan mainan emosi.

Berbeza dengan suami atau isteri yang jauh dan lalai, mereka mungkin mengambil sedikit masa untuk kembali berikutan adanya pengaruh emosi dan nafsu.

Namun, jika ALLAH SWT membimbing semula hati yang lalai ini, pastinya ia kembali menjadi baik.

Begitu juga apabila diri kembali sedar dengan kesilapan yang dilakukan, barulah mereka boleh membetulkan kembali persepsi terhadap perkahwinan, keluarga, isteri dan anak-anak.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.