IBU bapa mana yang tidak gembira apabila melihat anaknya sihat dan bertambah ceria.

Apatah lagi, mereka sebelum ini pernah merentasi detik-detik sukar bersama dan kini bagaikan dikurniakan kehidupan baharu.

Itulah yang dirasakan oleh pasangan suami isteri, Shaheen Bibi dan Israr Ahmed yang tinggal di timur Karachi, Pakistan.

Mereka dikurniakan sepasang bayi kembar siam yang bercantum pada bahagian perut dan berkongsi beberapa organ dalaman penting yang dilahirkan pada 16 Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, pada bulan lalu, ia umpama permulaan baharu bagi keluarga itu apabila pasangan bayi siam yang diberi nama Mohammad Ayan dan Mohammad Aman, masing-masing berusia sembilan bulan ketika itu berjaya dipisahkan.

Namun, ada kisah di sebalik pembedahan itu yang membuatkan emosi sesiapa sahaja mudah tersentuh apabila mengenangkannya.

Sebenarnya, gangguan kongenital itu pada bayi itu sudah dikesan mereka dalam kandungan Shaheen lagi. Doktor menemukan dua dot pada imbasan, tetapi tidak memberikan perincian lanjut.

Begitupun, pasangan suami isteri itu reda apabila bayi yang dilahirkan tidak sama seperti kanak-kanak lain.

Apatah lagi apabila diberitahu bahawa kos pembedahan untuk memisahkan Mohammad Ayan dan Mohammad Aman itu menelan kos perbelanjaan sehingga berjuta-juta rupee.

(Artikel berkaitan: Pengalaman lahir bayi kembar empat semasa pandemik global)

Mereka tidak mampu menanggungnya lantaran pendapatan Israr sebagai pekerja kilang tekstil yang bergaji rendah.

“Saya yakin anak-anak saya akan dapat dipisahkan suatu hari nanti. Namun, saya juga sedar kami tidak akan mampu untuk menampung kos pembedahan yang begitu mahal,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal berita Arabnews.com.

Rupa-rupanya segala suara dan isi hati Israr serta Shaheen seolah-olah didengari.

Seorang dermawan bermurah hati untuk membiayai kos pembedahan tersebut. Beliau yang dimaksudkan ialah ahli perniagaan dari Dubai yang bernama Nasser Hussain Abdullah Lootah.

Bayi kembar siam
Nasser Husaain (tengah) bersama Israr (kanan) dan Shaheen (kiri) ketika melawat kembar bayi siam yang berjaya dipisahkan baru-baru ini.

Lelaki budiman itu mengetahui perkara itu daripada Sarim Burney Trust International.

Iklan

Difahamkan, Nasser Hussain merupakan dermawan sama yang pernah menyumbang dalam pembedahan hampir sama di United Kingdom melibatkan kembar siam perempuan dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan.

Jelas Pengerusi Pemegang Amanah Sarim Burney Trust International, Sarim Burney, pihaknya membuat rayuan bantuan untuk pasangan kembar siam berkenaan menerusi rancangan televisyen.

“Kami lakukan perkara itu kerana ibu bapa bayi-bayi berkenaan hidup miskin. Tidak sangka ia sampai ke pengetahuan Nasser Hussain Abdullah Lootah,” katanya kepada Arabnews.com.

Akhirnya, pada bulan lalu, pembedahan untuk memisahkan Mohammad Ayan dan Mohammad Aman berjaya dilakukan di Hospital Aga Khan, Karachi.

Menurut pakar bedah kanan pediatrik di hospital berkenaan, Dr Zafar Nasir, ia merupakan pembedahan yang jarang sekali dilakukan pihak hospital dan kali kedua operasi seperti itu dijalankan di situ.

“Operasi pembedahan seperti ini sangat kompleks dan kos perbelanjaannya juga tinggi sehingga ada ibu bapa dan hospital yang tidak mampu menampungnya sendiri. Jadi peranan penderma dan organisasi kebajikan membuatkan pembedahan sebegini dapat direalisasikan,” katanya.

Untuk rekod, pembedahan yang dianggap paling sukar itu melibatkan 50 orang doktor dan kakitangan hospital selama lapan jam bagi memisahkan Mohammad Ayan dan Mohammad Aman.

Iklan
Bayi kembar siam
Keadaan Mohammad Ayan dan Mohammad Aman yang dilahirkan bercantum pada bahagian perut dan berkongsi beberapa organ penting.

Ternyata usaha keras yang dilakukan semua pihak membuatkan Israr dan Shaheen begitu bersyukur dan berterima kasih kerana memberikan mereka kehidupan baharu. Mereka menganggap usaha itu memberi permulaan baharu kepada bayi mereka.

Bahkan, katanya, penderma budiman itu juga begitu gembira dengan kejayaan pembedahan berkenaan dan menyatakan hasrat untuk menanggung semua perbelanjaan pendidikan anak-anak mereka.

“Kebahagiaan saya tiada batas. Ketika pihak hospital menyerahkan dua bayi lelaki kami, saya beritahu doktor; ‘Saya bawakan kepada anda satu bayi, tetapi sekarang saya membawa pulang dua anak yang comel’,” jelasnya terharu.

Sumber & foto: Arabnews.com & thenews.com.pk