MUNGKIN teruja melihat pingat emas olimpik di depan mata, seorang Datuk Bandar di Nagoya, Jepun menggigitnya sehingga pingat tersebut tercalar.

Pingat emas yang dimiliki atlet sofbol Miu Goto, 20, telah digigit Datuk Bandar Nagoya, Takashi Kawamura dalam satu majlis pada 4 Ogos lalu.

Tindakan Kawamura membuka pelitup muka dan menggigit pingat mendapat kecaman hebat daripada masyarakat dan warga maya.

Bagaimanapun, penganjur Olimpik 2020 berkata dengan Jawatankuasa Olimpik (OIC), pingat Goto akan ditukarkan dengan yang baharu.

Malah kos membabitkan pertukaran pingat tersebut akan ditanggung IOC.

Baca juga Patutlah Atlet Olimpik Tokyo 2020 Dilarang Gigit Pingat. Ini Sebabnya…

South China Morning Post melaporkan Kawamura memohon maaf atas keterlanjurannya menggigit pingat emas milik Goto dan menawarkan diri untuk menanggung kos mendapatkan pingat baharu.

Beberapa pemenang pingat Olimpik mengatakan mereka menganggap pingat yang dimenangi sebagai harta tidak ternilai dan menyifatkan perbuatan Kawamura adalah keterlaluan.

“Saya akan menangis jika itu terjadi pada saya. Saya menjaga dan memegang pingat emas saya sendiri dengan lembut agar tidak tercalar,” kata atlet judo, Naohisa Takato yang memenangi emas untuk Jepun dalam satu ciapan.

Manakala atlet lari berpagar, Yuki Ota yang memenangi pingat perak baru-baru ini mengatakan tindakan datuk bandar itu tidak menghormati Goto dan tidak sesuai ketika situasi pandemik Covid-19.

Iklan
Kredit foto: Reuters

Bagaimanapun, difahamkan Goto tidak memberikan sebarang komen berhubung insiden berkenaan.

Perbuatan menggigit pingat atau medal pada acara sukan sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan atlet. Ia bermula sejak zaman dahulu dimana tujuan menggigit medal adalah untuk memastikan ia tidak diperbuat daripada logam tiruan.

Iklan

Baru-baru ini, penganjur Olimpik Tokyo 2020 meminta para atlet berfikir dua kali untuk menggigit medal dimenangi.

Ini disebabkan semua pingat pada kejohanan kali ini diperbuat menggunakan bahan elektronik yang dikitar semula seperti telefon bimbit.

Difahamkan, kira-kira 78,985 tan peranti atau 6,21 juta telefon terpakai digunakan untuk menghasilkan pelbagai pingat.

Telefon yang telah dileraikan menghasilkan 32 kilogram (kg) emas, 3,500kg perak dan 2,200kg gangsa lalu dihasilkan 5,000 pingat untuk temasya sukan yang telah berakhir 8 Ogos lalu.

Sumber: Reuters, South China Morning Post