Inspirasi! Nora Almatrooshi angkasawan berhijab, wanita Islam pertama lulus latihan NASA, siap sedia jejaki bulan
ANGKASAWAN, Emirati Nora AlMatrooshi menjadi wanita Arab pertama lulus dari program latihan Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) dan bersedia terbang ke kosmos.
Nora dan rakan sekerjanya, Mohammad Al Mulla, yang merupakan juruterbang helikopter polis Dubai dan 10 calon angkasawan Amerika telah menamatkan pengajian dalam Kelas Angkasawan NASA Ke-23.
Kedua-dua mereka mencipta sejarah menjadi orang Arab pertama yang menamatkan pengajian dari kelas berkenaan.
Mereka menerima pin perak angkasawan pada majlis Graduasi Angkasawan NASA 2024 yang disiarkan secara langsung dari Pusat Angkasa Johnson di Houston baru-baru ini.
Ia menandakan tamat pengajian daripada latihan asas dan kelayakan mereka untuk dipilih terbang di angkasa lepas.
Nora dan Mohammad menamatkan latihan bagi ruang angkasa, robotik, sistem stesen angkasa, kecekapan jet T-38, dan bahasa Rusia.
Baca juga:Mahu anak berjaya duniawi dan ukhrawi, boleh amalkan formula Angkasawan Pertama Negara ini
Selepas menamatkan lebih dua tahun latihan asas, calon kelas 2021 itu berjaya menamatkan pengajian mereka.
Susulan itu, kedua-dua individu tersebut layak untuk terbang ke angkasa lepas, termasuk melaksanakan tugasan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
"Selain itu, melaksanakan misi ke bulan di bawah Program Artemis, seterusnya ke Marikh," kata Pengarah, NASA Johnson Space Center, Vanessa Wyche, memperkenalkan 12 angkasawan terbaharu itu.
Sebelum itu, Nora, 30, yang berhijab berkata, NASA telah membangunkan strategi untuk membolehkannya menutup rambut dengan memakai sut angkasa putih dan topi keledar ikonik yang dikenali sebagai Unit Mobiliti Ekstravehikular, atau EMU.
"Sebaik sahaja anda memakai EMU, ia ada sistem (komunikasi) (dilengkapi dengan mikrofon dan pembesar suara), yang menutup rambut anda," katanya.
"Jurutera sut juga menjahit tudung sementara untuk saya, ketika memakai pakaian angkasawan dan menanggalkannya, rambut saya tetap ditutup rapi. Sangat menghargai usaha yang dilakukan mereka itu," katanya.
Beliau dan 10 orang lagi pelatih kini rasmi menjadi angkasawan yang memenuhi syarat.
Kelompok tersebut, yang dikenali sebagai The Flies kini memenuhi syarat untuk misi NASA ke Stesen Luar Angkasa Antarabangsa (ISS).
Kumpulan itu akan meluncurkan Artemis ke bulan dan jika semuanya berjalan lancar ia berkemungkinan akan terbang ke Marikh.
10 fakta menarik Nora Almatrooshi
1-Dilahirkan pada tahun 1993, Nora berasal dari emiriah Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
2-Berkelulusan ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, United Arab Emirates University dan menjalani latihan di Vaasa University of Applied Sciences di Finland.
3-Sebelum menjadi angkasawan wanita Arab pertama, beliau adalah seorang jurutera di The National Petroleum Construction Company.
4-Nora juga merupakan ahli Persatuan Jurutera Mekanikal Amerika.
5-Jika Nora bakal menjejaki angkasa, nenek moyangnya terdahulu meneroka lautan. Semasa sidang akhbar pada 2021, beliau mendedahkan keluarga sebelah ibunya berasal daripada keturunan pelayar.
6-Nora diumumkan sebagai angkasawan wanita pertama UAE pada April 2021 dan terpilih untuk menjalani latihan dengan Kumpulan Angkasawan NASA 23 bersama rakan sekerja Mohammad AlMulla. Mereka mengikut jejak langkah dua angkawasan terdahulu UAE, Sultan Al Neyadi dan Hazzaa Al Mansoori.
7-Perjalanannya untuk mendapat tempat di NASA tidak mudah. Nora menjalani pemilihan yang sengit dan terpaksa bersaing dengan 4,000 calon yang lain yang kebanyakannya berlatarbelakangkan kejuruteraan, perubatan dan sains.
8-Rupanya wanita ini pernah gagal menyertai Program Angkasa Negara UAE pada 2018 namun tidak berputus asa memohon kali kedua. “Batch kedua adalah peluang kedua saya. Ia adalah kesempatan untuk saya untuk mencapai impian sejak kecil,” katanya.
9-Selain angkasawan wanita Arab pertama dan ahli Persatuan Jurutera Mekanikal Amerika, beliau juga pernah memenangi tempat pertama Olimpik Matematik Antarabangsa 2011 UAE.
10-Nora juga pernah mewakili negaranya ke Persidangan Belia Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2018 dan 2019.
Bersemangat sekali kisah Nora ini, wanita bijak dan bercita-cita tinggi yang boleh dijadikan inspirasi. Semoga ia menjadikan lebih bersemangat menggali ilmu dan mencapai impian dalam bidang yang diminati.
Sumber: Gulf news, NST, Arabian Business, Grazia & Emirates Women
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang