Kenali 10 individu terkaya di dunia, seorang daripadanya wanita

BILA sebut sahaja individu terkaya, sudah pasti menginspirasikan sesiapa sahaja.

Kekayaan jutawan terkenal dunia memang sukar untuk dibayangkan.

Apa kepakaran mereka miliki? Apakah pula bidang perniagaan yang mereka ceburi sehingga dapat mengumpul kekayaan sehingga berbillion ringgit?

Ayuh kita lihat senarai 10 orang terkaya di dunia;

1.Bernard Arnault

Nama yang tidak asing lagi dalam industri barangan mewah, Bernard Arnault merupakan pengarah eksekutif bagi syarikat gergasi Moët Hennessy Louis Vuitton (LVMH).

Mengungguli carta sebagai manusia terkaya di dunia dengan mencatatkan kekayaan sehingga RM 907 billion, syarikat milik Arnault memegang sehingga 70 jenama mewah termasuk Louis Vuitton, Christian Dior, Marc Jacobs, Sephora, Celine dan Fendi.

Selain mendominasi industri fesyen dan barangan mewah, Arnault juga memiliki beberapa aset bernilai seperti hotel serta kapal persiaran eksklusif.

2.Elon Musk

Walaupun Tesla mencatatkan kerugian kira-kira 200 billion sejak November 2021, Elon Musk kekal teguh pada kedudukan manusia kedua terkaya di dunia dengan kekayaan berjumlah RM 632 billion.

Elon Musk juga menjadi buah mulut warganet serata dunia apabila dinamakan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan pemilik media sosial Twitter.

Beliau juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif bagi syarikat pembinaan roket kapal angkasa untuk NASA, Space Exploration Technologies (SpaceX).

Baca juga Miliki harta lebih RM3 bilion, Shah Rukh Khan pelakon keempat terkaya dunia

3.Gautam Adani

Pengasas Adani Group, Gautam Adani merupakan orang terkaya di Asia dengan kekayaan mencecah RM 556 billion.

Kekayaan beliau bersumber daripada 6 syarikat gergasi India di bawah pemilikannya iaitu Adani Enterprises, Adani Power, Adani Transmissions, Adani Ports & Special Economic Zone, Adani Green Energy dan Adani Total Gas.

4. Jeff Bezos

Terkenal sebagai pemilik syarikat e-commerce gergasi Amazon, nama Jeff Bezos juga sering disebut sebagai antara orang terkaya di dunia dengan kekayaan mencecah RM 535 billion.

Pada tahun 1994, Jeff Bezos mengasaskan Amazon.com daripada garajnya di Seattle.

Walaupun Amazon bermula sebagai kedai buku atas talian, kini ia berkembang menjadi pusat membeli-belah pelbagai produk untuk pelanggan dari serata dunia.

Amazon juga dijangka bakal memintas Walmart sebagai peruncit terbesar dunia menjelang tahun 2024.

Stok Amazon juga semakin menjulang tinggi pada tahun 2020 disebabkan permintaan pembelian atas talian yang cukup tinggi.

Selain Amazon, Bezos juga terlibat dalam bisnes lain seperti projek aeroangkasa yang dikenali sebagai Blue Origin. Pada tahun 2013, beliau turut membeli hakmilik bagi akhbar The Washington Post.

5. Larry Ellison

Tercatat dalam kedudukan kelima, Larry Ellison merupakan pengasas kepada Oracle, syarikat perisian kedua terbesar di dunia yang menawarkan pelbagai program pengkomputeran termasuk Java, kod Linux dan platform pengkomputeran Oracle Exadata.

Beliau juga pernah menganggotai lembaga pengarah Tesla namun sudah meletakkan jawatan pada tahun 2022.

6. Warren Buffet

Merupakan Pengarah Eksekutif bagi syarikat Berkshire Hathaway, kekayaan Warren Buffet dilaporkan mencecah sehingga RM 478 billion.

Syarikat gergasi tersebut juga terkenal sebagai pemilik bagi 60 syarikat lain antaranya GEICO, Duracell, dan Dairy Queen.

Warren Buffet juga merupakan ikon bagi industri pelaburan sehingga digelar sebagai Oracle of Omaha kerana komuniti pelaburan sering memandang beliau sebagai role model yang disegani dalam bidang tersebut.

7. Bill Gates

Sinonim dengan jenama perisian komputer terbesar dunia iaitu Microsoft, Bill Gates tercatat sebagai orang ketujuh terkaya dunia dengan kekayaan sebanyak RM 449 billion.

Selain Microsoft, Gates juga pernah menjadi anggota lembaga pengarah bagi syarikat Berkshire Hathaway namun telah meletakkan jawatan di kedua-dua syarikat pada tahun 2020.

Walaupun terkenal sebagai pengasas Microsoft, Bll Gates meraih sebahagian besar daripada kekayaannya daripada syarikat Cascade Investment LLC, iaitu sebuah syarikat pengoperasian, jentera berat dan pengangkutan.

Syarikat ini turut memegang pemilikan bagi beberapa syarikat besar seperti Canadian National Railway, Deere, Republic Services serta beberapa hartanah dan syarikat tenaga swasta.

Baca juga Dulu penyampai radio, kini Alex Hirschi menjadi pempengaruh kereta wanita terkaya di dunia

Iklan

8. Carlos Slim Helú

Carlos Slim Helú memegang kekayaan sebanyak RM 389 biliion sekali gus mencatatkan namanya sebagai individu terkaya di Mexico.

Keluarga Helú memiliki América Móvil, sebuah syarikat telekomunikasi terbesar di kawasan Amerika Latin.

Beliau juga memegang stok penting dalam pelbagai industri seperti pembinaan, galian, hartanah serta media.

Keluarga Helú juga merupakan sebahagian penting bagi konglomerat terbesar Amerika Latin iaitu Grupo Carso.

9. Mukesh Ambani

Dengan kekayaan mencecah RM 383 billion, Mukesh Ambani merupakan jutawan yang cukup disegani dari India.

Beliau merupakan Pengarah Urusan dan Pengerusi bagi Reliance Industries, sebuah syarikat penapisan minyak terbesar dunia.

Selain itu, syarikat ini juga terlibat dengan pengoperasian petrokimia, peruncitan dan media.

Syarikat gergasi tersebut diasaskan oleh bapa Ambani, iaitu Dhirubhai Ambani.

Asalnya ditubuhkan sebagai syarikat tekstil, kini Reliance Industries terkenal sebagai salah satu penyumbang ekonomi terbesar di India.

Mukesh Ambani juga memiliki Antilia, sebuah kompleks hartanah di Mumbai yang bernilai RM 1.77 billion.

Pada tahun 2016, Ambani melancarkan jaringan telefon 4G di serata India dengan pendaftaran lebih daripada 420 juta pengguna.

Iklan

Beliau juga bercadang untuk melancarkan perkhidmatan 5G pada masa hadapan.

10. Françoise Bettencourt Meyers

Merupakan cucu kepada pengasas jenama kosmetik terkemuka L’Oreal, Françoise Bettencourt Meyers dinobatkan sebagai wanita terkaya di dunia.

Meskipun dunia dibadai pandemik, syarikat ini dilaporkan berjaya mencatat hasil jualan sehingga 152.8 billion pada tahun 2021.

Keluarga Bettencourt Meyers memegang saham Syarikat L’Oreal sebanyak 33%. Beliau juga merupakan pengerusi bagi syarikat tersebut.

Wanita ini juga meneruskan legasi sebagai presiden bagi yayasan yang ditubuhkan oleh keluarganya untuk pembangunan Perancis dari sudut sosial, seni dan sains.

Seperti yang kita boleh lihat, semua jutawan yang tersenarai merupakan pemegang saham besar dalam syarikat yang dipimpin.

Mereka juga memainkan peranan penting dalam syarikat bertaraf global seperti Tesla, L’Oreal, Microsoft dan Louis Vuitton.

Mereka juga mempunyai sifat kepimpinan yang boleh mengubah dunia dan layak dijadikan inspirasi buat semua.

Semoga perkongsian ini dapat menyuntik semangat agar lebih ramai dapat mencontohi kewibawaan daripada 10 orang terkaya di dunia seperti yang disenaraikan.

Sumber : Forbes, RTM

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.