Ngeri & kejam! Dikurung, dibius & ovum dituai secara paksa, ratusan wanita mangsa ladang telur manusia

No Image Caption
A
A
A

TERPEDAYA dengan tawaran kerja yang lumayan, ratusan wanita warga Thailand menjadi mangsa.

Tidak ubah seperti haiwan ternakan, mereka dipaksa menghasilkan telur yang dituai dan dijual di pasaran gelap.

Lapor media Thailand, bantuan segera digesa bagi menyelamatkan wanita warganya yang menjadi mangsa penganiayaan ladang telur manusia di Georgia.

Yayasan Pavena yang memperjuangan wanita dan kanak-kanak telah menggesa kerajaan Thailand untuk mendapatkan bantuan China dalam membanteras kumpulan samseng China yang telah memperdaya dan memaksa kira-kira 100 wanita Thai ke ladang telur manusia haram di Georgia.

No Image Caption

Difahamkan wanita-wanita terdahulu diperdaya dengan dijanjikan pekerjaan sebagai ibu tumpang dengan bayaran lumayan tetapi sebaliknya dikurung dan dipaksa untuk menyediakan telur untuk dijual oleh kumpulan itu.

Presiden yayasan Pavena, Pavena Hongsakul, dalam satu sidang akhbar berkata mangsa yang enggan melepaskan telur mereka dikehendaki membayar wang tebusan sehingga 70,000 baht untuk dibebaskan.

Sindiket itu hanya diketahui selepas salah seorang mangsa yang berjaya menghubungi saudara dan mengumpul wang tebusan untuk pulang ke Thailand.

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Na (bukan nama sebenar) memaklumkan yayasan itu pada 27 September 2024, meminta bantuan untuk wanita Thai lain yang masih terperangkap di Georgia.

Kepada yayasan itu, Na bercerita segalanya bermula apabila beliau mencari kerja di luar negara dan terjumpa sebuah iklan Facebook yang menawarkan pekerjaan untuk wanita dengan pendapatan antara 400,000 hingga 600,000 baht.

No Image Caption

Difahamkan, pihak majikan akan menanggung semua perbelanjaan, termasuk yuran pasport dan kos perjalanan dan Na diberitahu proses itu akan mengambil masa sebulan sahaja.

Selepas mendapatkan pasport, Na mengembara bersama 10 wanita lain dan seorang ketua berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa U-Tapao.

Tiada seorang pun daripada 12 wanita itu, termasuk ketua, mengenali antara satu sama lain terlebih dahulu.

No Image Caption

Sebaik tiba, ketua kumpulan itu menyerahkan wang tunai USD$500 untuk ditunjukkan kepada pegawai imigresen sebagai bukti bahawa mereka adalah pelancong.

Kumpulan itu transit melalui Dubai di Emiriah Arab Bersatu sebelum terbang ke Armenia di mana mereka menginap di sebuah hotel selama tiga malam.

Mereka dibawa ke pelbagai tempat pelancongan untuk mengambil gambar sebagai sebahagian daripada modus operandi penipuan.

Pada hari keempat, mereka menaiki kereta api ke Georgia, perjalanan yang mengambil masa kira-kira 10 jam. Sebaik tiba, mereka bermalam di sebuah hotel sebelum pasport mereka dirampas oleh ketua kumpulan itu.

Keesokan paginya, wanita-wanita itu dibawa ke sebuah kawasan pekarangan empat buah rumah.

Na ditempatkan di rumah pertama, di mana kira-kira 60 wanita Thai lag telah ditahan. Ramai yang kelihatan tidak sihat dan menyatakan hasrat untuk pulang.

No Image Caption

Keesokan harinya, dia dipindahkan ke rumah kedua, di mana dia menganggarkan kira-kira 10 wanita Thai lain sedang ditahan.

Na percaya kira-kira 100 wanita Thailand terperangkap di empat rumah berkenaan. Beliau juga melihat lelaki Cina kerap keluar masuk kediaman berkenaan.

Beliau kemudian mendapat tahu daripada tahanan lain bahawa walaupun mereka telah dijanjikan pekerjaan ibu tumpang namun tiada pelanggan atau bakal ibu bapa yang tampil untuk menandatangani kontrak.

Sebaliknya, mereka terpaksa menjalani prosedur pengambilan telur setiap bulan dan kumpulan itu menjualnya.

Pengambilan telur secara paksa melibatkan rangsangan hormon dan prosedur perubatan invasif yang membawa risiko kesihatan yang ketara.

Operasi haram itu juga tidak mematuhi prosedur perubatan dan protokol keselamatan yang betul membahayakan kesejahteraan nyawa mangsa.

"Kami disuntik, dibius dan telur akan diekstrak dengan mesin," kata mangsa.

No Image Caption

Malah, kata mereka ada wanita yang berpura-pura sakit untuk kelihatan lemah bagi mengelak telur mereka dituai.

Pavena memetik Na sebagai berkata, mangsa yang ingin pulang ke Thailand dipaksa membayar 50,000 dan 70,000 baht kepada kumpulan itu.

Kebanyakan wanita tidak mempunyai pilihan selain kekal berada di sana, kerana mereka tidak mampu dan terpaksa bergilir-gilir menjalani prosedur pengambilan telur di klinik setiap bulan.

Na berjaya kembali ke Thailand pada 9 September tahun lalu selepas keluarganya memindahkan wang tebusan ke akaun bank ketua kumpulan itu.

Sebelum dia meninggalkan neraka berkenaan di Georgia, tiga wanita lain merayu bantuannya agar berjuang untuk pembebasan mereka.

Pavena berkata beliau meminta bantuan daripada komander Bahagian Hal Ehwal Luar Polis Diraja Thailand, Pol Mej Jen Suraphan Thaiprasert, Suraphan pula menghubungi Interpol, yang membawa kepada proses menyelamat tiga wanita itu.

Ketiga-tiga mereka selamat pulang ke Thailand pada 30 Januari lalu dan kini berada di bawah jagaan yayasan itu.

Sumber: The Bangkok Post, Nation Thailand

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang