PEMAKAIAN telekung misalnya meliputi kain berbidang besar yang digunakan oleh golongan Hawa untuk bersolat. Sinonim dengan warna putih dan biasanya datang dalam dua bahagian iaitu satunya disarung pada kepala dan kain.

Pun begitu, solat seorang wanita masih sah jika dia walaupun tidak memakai asalkan pakaian sedia ada telah menutupi aurat iaitu seluruh anggota badannya kecuali muka dan tapak tangan.

Pakaian ibadah itu menarik perhatian TikToker asal Somalia, Sagal Ali yang turut memuji keindahan pemakaian telekung oleh wanita di negara ini.

Perkongsian Sagal menjadi tular sehingga meraih 1.2 juta tontonan. Ujar Sagal anak perempuannya sering tertarik untuk memakai telekung setiap kali ingin menunaikan solat.

Baca juga: Saf wanita putus, solat berkelompok, perkongsian ini dedah realiti sebenar berjemaah di masjid. 8 adab ini perlu tahu

Baca juga: Batal solat sujud atas telekung sendiri, wanita wajib tahu kena ulang sembahyang

“Satu perkara yang saya perasan dilakukan wanita di negara ini ialah apabila mereka ingin menunaikan solat, mereka selalu memakai pakaian solat yang sangat cantik.

“Saya tidak bercakap mengenai mereka yang tidak memakai tudung, sudah tentunya mereka perlu membawa tudung untuk solat. Saya bercakap mengenai wanita Malaysia yang memakai tudung yang sempurna di mana mereka sentiasa membawa pakaian solat dan ia sangat cantik,” ujarnya.

Sagal yang kini tinggal di Malaysia berkata beliau beliau tidak pernah melihat budaya yang menunjukkan kecantikan pakaian seperti telekung yang dipakai untuk solat.

Dalam video berkenaan, Sagal mengenakan telekung berwarna merah jambu bersama anak perempuannya di masjid.

“Anak saya sangat menyukai telekung dan akan memakainya setiap kali masuk ke masjid,” katanya.

Meninjau ke ruangan komen, warga maya Malaysia turut berkongsi pemakaian telekung pernah dipuji oleh warganegara lain.

Bahkan, ramai yang mengakui tidak tahu wanita Muslim negara lain tidak memakainya untuk menunaikan solat. Ujar mereka:

– “Masa saya di Makkah, remaja dari Nigeria beritahu telekung dipakai jemaah Malaysia semua cantik and semua warna putih. Mereka puji nampak bersih.”

– “I’m malaysian. Now i’m realised that our telekung is a culture.”

– “Saya lalu dekat wanita-wanita Arab, mereka pakat pegang dan rasa renda pada telekung. So pretty kata mereka.”

– “Pemakaian telekung menjamin leher dan kaki wanita tertutup ketika solat.”

– “I was so surprised knowing Telekung is not widely known. It’s so convenient, light, simple and if the right size you don’t end up accidentally stepping on it when praying because it’s in two pieces.”

– “Saya berada di Pakistan selama dua bulan. Di sana mereka memakai dupatta sahaja untuk menutup kepala. Apabila saya memakai telekung mereka terkejut.”

HUKUM & CIRI-CIRI PAKAIAN SOLAT WANITA

Wajib: Wajib bagi wanita yang ingin menunaikan solat, pakaian wajib bagi mereka ialah yang menutup aurat, iaitu seluruh anggota badannya kecuali muka dan tapak tangan.

Sunat: Sunat bagi wanita adalah solat dengan tiga kain iaitu tudung menutup kepala dan leher, kain untuk menutup tubuh dan kedua kaki serta kain luar untuk menutup pakaian.

Wanita juga disunatkan untuk memilih kain yang tebal sehingga bahagian tubuhnya tidak kelihatan. Bahkan, digalakkan untuk memakai pakaian yang berwarna putih kerana ia merupakan warna kesukaan Nabi Muhammad SAW.

Sabda Rasulullah SAW:
عَنْ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدَبٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ (ص) ((اِلْبَسُوا ثِيَابَ الْبَيَاضِ, فَإِنَّهَا أَطْهَرُ وَأَطْيَبُ ، وَكَفِّنُوا فِيْهَا مَوْتَاكُمْ)).
Maksudnya: “ Pakailah pakaian putih, kerana ia lebih suci dan lebih baik. Dan kafanlah orang mati dengannya”.

Harus: Harus bagi wanita untuk menunaikan solat dengan pakaian yang dipakai ketika keluar rumah seperti pakaian kasual selagi ia masih menutup aurat.

Makruh: Makruh bagi wanita untuk menunaikan solat dengan pakaian yang ketat yang menampakkan bentuk badan. Sekiranya pakaian itu menyembunyikan warna kulit tetapi nampak bentuk dan ukuran tubuh badan, maka sah solat dengan memakainya kerana ia tidak dapat dielakkan sekalipun memakai pakaian yang tebal. Bagaimanapun, menurut pendapat ulama mazhab Syafie, kain seperti itu makruh dipakai oleh wanita.

Haram: Haram bagi seseorang wanita untuk menunaikan solat dengan memakai pakaian yang terkena najis. Pakaian yang terkena najis menyebabkan solat tidak sah kerana salah satu daripada syarat sah solat ialah suci badan, pakaian, dan tempat solat daripada najis.

Iklan

Selain itu, menurut pendapat ulama mazhab Syafie sah solat dengan menggunakan pakaian yang haram iaitu pakaian yang dibeli dengan wang haram atau setengah daripadanya. Akan tetapi penggunaan pakaian tersebut adalah haram.

PEMAKAIAN TELEKUNG WANITA UNTUK SOLAT

1) TELEKUNG PUTIH:

Secara umumnya, kaum wanita sudah terbiasa dengan pemakaian telekung putih ketika solat sama ada di rumah mahupun di masjid. Hukum memakai telekung putih adalah diharuskan selagi ia tidak jarang sehingga menampakkan warna kulit. Putih menjadi simbol kepada kesucian dan kesederhanaan sekaligus ia merupakan warna kesukaan Rasulullah SAW seperti hadis yang telah disebutkan di atas.

2) TELEKUNG LYCRA

Pada zaman sekarang, masyarakat didedahkan dengan pelbagai gaya, bentuk, corak, dan warna terkini dalam pemakaian seharian termasuklah pakaian ketika bersolat. Pemakaian telekung daripada fabrik lycra sudah lama diperkenalkan serta mendapat tempat di hati masyarakat.

Umum mengetahui ciri-ciri kain lycra adalah sejenis kain yang bersifat kasual, kenyal (elastik), tahan haba panas, lembut, halus, mempunyai ketahanan lipatan yang tinggi. Pemakaiannya adalah diharuskan selagi tujuannya adalah untuk melakukan amal ibadat dengan ikhlas, untuk menutup aurat dan bukanlah dengan niat untuk menunjuk-nunjuk.

Namun, ternyata kain lycra yang berkualiti tinggi dan tebal mampu melindungi aurat wanita ketika solat serta tidak melekat pada tubuh Namun, pemakaian telekung lycra yang nipis dan melekat perlulah dielakkan.

3) TELEKUNG BERWARNA

Harus bagi seseorang wanita memakai telekung berwarna. Mereka perlu memilih rona telekung sesuai seperti warna yang sederhana terang atau lembut. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan wanita daripada menjadi perhatian lelaki bukan mahram dan mengganggu kekhusyukan jemaah wanita lain ketika solat.

Iklan

Pemilihan warna seperti krim, merah jambu lembut atau warna pastel dilihat lebih bersesuaian dengan persekitaran kita. Pemakaian telekung yang berwarna seperti merah jambu terang, merah terang dan sebagainya perlu dielakkan kerana penggunaan warna yang agak keterlaluan atau terang jarang diamalkan oleh masyarakat kita.

4) TELEKUNG BERCORAK

Pemakaian telekung bercorak atau berwarna juga diharuskan. Pun begitu, perkara pertama yang perlu dinilai ialah tujuan asal pemakaiannya bagi setiap wanita untuk menunaikan solat di masjid. Tujuan utama kita pemakaian telekung adalah untuk menutup aurat dengan sempurna dan dapat melakukan ibadah solat dengan khusyuk sekaligus diterima sebagai amal ibadat oleh ALLAH SWT.

Bagi isu pemakaian telekung bercorak termasuklah yang mempunyai sulam, manik, bunga-bunga yang ditampal mahupun corak yang sedia ada pada kain itu perlu diberi perhatian.

Jika pemakaian telekung bercorak oleh wanita di masjid bertujuan untuk menutup aurat dan melakukan amal ibadat semata-mata kepada ALLAH, maka ia diharuskan selagi tidak mengganggu kekhusyukan diri dan jemaah wanita yang lain.

Namun, jika wanita tersebut berniat untuk menunjuk-nunjuk kepada jemaah wanita yang lain, maka ia dilarang sama sekali.

Sumber: TikTok, Mufti Perak

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat! 

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!