TIDAK beretika! Itulah yang boleh dikatakan tentang seorang Pakar Sakit Puan apabila didakwa sanggup menggunakan sperma  salah termasuk miliknya sendiri bagi proses rawatan kesuburan intrauterine insemination (IUI) para pelanggan.

Pihak berkuasa perubatan Kanada telah menggantung lesen doktor berkenaan pada 2019 setelah mendapati dia menggunakan sperma sendiri, atau sperma yang salah ketika melakukan prosedur IUI  kepada sejumlah 50 hingga 100 pesakit.

Memetik laporan USA Today, pakar berusia 81 tahun itu kini berhadapan tuduhan penyalahgunaan sperma, termasuk benih miliknya bagi menghamilkan pesakit yang mendapatkan khidmatnya.

 

 

 

Foto: santafertility.com

Baca juga Kajian Covid-19: Mampu Jejas Kesuburan Lelaki

Menurut portal itu, salah seorang mangsa telah mendapati anaknya mempunyai DNA berbeza dengan si suami pada tahun 2016. Pasangan itu dilaporkan telah mendapatkan khidmat perubatan daripada tertuduh pada 1989 dan menjalani prosedur IUI, di mana sperma dimasukkan secara langsung ke dalam rahim wanita itu bagi mengatasi masalah kesuburan.

Perbuatan keji pakar berkenaan akhirnya terbongkar apabila keluarga itu mendapati hasil ujian DNA mengesahkan anak mereka mempunyai DNA sepadan dengan tertuduh pada tahun 2016, kata firma guaman mewakili mangsa-mangsa dalam kes tersebut.

Berdasarkan kenyataan firma itu, difahamkan seramai 100 kanak-kanak yang dilahirkan selepas mendapatkan rawatan daripada tertuduh didapati tidak mempunyai DNA bapa mereka.

Malah 17 daripadanya memiliki DNA sepadan dengan tertuduh manakala 83 lagi adalah dari pemilik sperma yang gagal dikesan.

Susulan itu, portal tersebut turut melaporkan tertuduh bersetuju untuk membayar wang pampasan sebanyak $10.7 juta (anggaran RM36 juta) kepada mangsa.

Iklan

Baca juga Boleh Keluarkan Wang KWSP Untuk Rawatan Kesuburan

Pampasan yang diluluskan mahkamah itu akan dibayar kepada keluarga serta individu yang menerima sampel sperma yang salah ketika prosedur termasuk kepada pemilik sperma yang digunakan tertuduh secara salah untuk proses tersebut.

Iklan

Wang pampasan itu juga dikatakan akan digunakan bagi mendapatkan data DNA para mangsa termasuk pesakit yang pernah memberikan air mani mereka kepada tertuduh bagi mengesan identiti bapa kandung kanak-kanak terlibat.

Pun begitu, tertuduh dilaporkan menafikan semua dakwaan terhadapnya, sebaliknya bersetuju untuk membayar pampasan bagi mengelakkan kos pembiayaan sekiranya meneruskan perbicaraan.

Sumber: USA Today