KESETIAAN seorang isteri, sanggup berkorban apa sahaja demi suami tercinta, biarpun perlu menunggu 54 tahun untuk bertemu kembali.

Kisah benar cinta luar biasa ini viral di China dan tersebar ke seluruh dunia melalui media sosial.

Liku-liku kehidupan wanita bernama Yujia mencari cinta sejatinya menyentuh hati hingga menitiskan air mata.

Ya, hidup ini realitinya bukan kisah dongeng dan takdir adakala menyakitkan.

Yujia dan suaminya mendirikan rumah tangga pada tahun 1940-an. Perkahwinan mereka berlangsung dengan meriah diraikan oleh sanak-saudara dan jiran tetangga.

Ketika negara mereka sedang berkecamuk. Mereka tinggal di sebuah perkampungan pergunungan terpencil terpaksa berpisah apabila sang suami terpilih untuk berjuang di medan perang.

Gambar hiasan (Kredit foto: Freepik)

Selepas majlis perkahwinan, pasangan itu berpisah. Sebelum pergi, Yujia berjanji bahawa dia akan menunggu suaminya untuk pulang ke rumah. Dia berikrar tidak akan berkahwin lagi sepanjang hayatnya.

Saat itu, cinta antara keduanya masih bertaut erat. Namun pengakhirannya tidak sempurna.

Baca juga: Pengorbanan ibu, ini kisah Mary Ann Bevan sanggup digelar wanita paling hodoh demi besarkan anak

Hidup dalam kancah peperangan, mereka berdua berjuang dan bertahan. Justeru, untuk menyelamatkan diri, Yujia terpaksa meninggalkan kampung halamannya.

Si suami berjuang di perbatasan manakala Yujia sudah tidak lagi berada di tempat asalnya.

Akibat komunikasi terhad dan ketiadaan teknologi ketika itu, pasangan muda ini terputus hubungan.

Selama bertahun-tahun, si isteri tidak jemu mencari maklumat terkini lelaki dicintai. Namun pencariannya berakhir dengan berita sama iaitu suaminya hilang atau telah meninggal dunia dalam pertempuran.

Pun begitu, Yujia tidak pernah berputus asa untuk bertanya khabar menjejak si cinta hati.

Bertahun-tahun berlalu, wanita setia itu mengotakan janjinya untuk tidak berkahwin lagi biarpun keluarga dan rakan-rakannya memujuknya untuk berputus asa dan berkahwin dengan lelaki lain.

Dia masih yakin dengan suaminya dan bahagia tanpa pasangan baru. Janjinya tidak pernah goyah walaupun dipujuk.

Baca juga: Ini kisah Lina Medina, ibu termuda di dunia lahirkan anak pada usia 5 tahun

54 tahun telah berlalu dalam sekelip mata. Yujia yang setia menunggu suaminya pulang ke telah berubah menjadi wanita tua.

Sehingga hari itu, apabila keluarga dan rakan-rakan bertanya sama ada dia menyesal menunggu suaminya dan tidak berkahwin lagi, jawapan Yujia hanya senyuman.

Baginya, mengotakan janji kepada suaminya lebih penting daripada mencari suami baharu.

Penantian Yujia yang panjang tiba di pengakhiran. Pada tahun 2020, warga emas itu akhirnya menerima berita tentang suaminya melalui mereka yang mengenali.

Perasaan gembira, kecewa dan sedih bercampur baur.

Namun malangnya, jangkaan Yujia bahawa hanya dia wanita di hati sang suami bertukar menjadi kekecewaan.

Terpisah lebih lima dekad, hati Yujia luluh apabila diberitahu suaminya telah berkahwin dengan wanita lain dan mempunyai anak serta cucu.

Walaupun si suami berasa malu, Yujia itu tidak teragak-agak menyambut lelaki yang dicintainya.

Pasangan itu berpelukan dan menangis kerana berjauhan sekian lama. Suami Yujia menzahirkan rasa bersalah apabila mengetahui bekas isterinya tidak berkahwin lagi dan setia menunggunya selama 54 tahun.

Menerusi video yang tular, jelas perasan sedih dan marahnya bercampur baur. Yujia menumbuk dada sang suami dan menangis.

Iklan

Baca juga: #SiBibirMerah: Setia lelaki teruji bila miliki segala. Orang ketiga jangan bina bahagia atas derita wanita lain

“Saya telah menunggu selama 54 tahun! Kenapa awak tidak datang kepada saya? Ke mana awak pergi selama ini?” teriaknya sambil membenamkan wajah dalam pelukan suami.

Suaminya kehilangan kata-kata, hanya mampu memeluk Yujia dan menangis.

Ujarnya, apabila pulang ke kampung halaman selepas peperangan, rumah mereka telah hancur dan tiada siapa yang tahu lokasi Yujia.

Dengan mengandaikan bahawa isterinya telah meninggal dunia, lelaki itu meneruskan hidup.

Dia berkahwin dengan wanita lain dan membina keluarga baharu. Seiring masa berlalu keluarganya berkembang dan dikurniakan anak serta cucu.

Lelaki itu juga telah menukar namanya sebelum berkahwin semula. Ia berlaku kerana ketika peperangan, kebanyakan masyarakat di sana kebanyakannya tidak dapat membaca.

“Saya telah menunggu kamu selama 54 tahun! Kenapa awak tidak datang kepada saya? Ke mana awak pergi selama ini?” teriaknya.

Nama disebut secara rawak dan ditukar. Sementelah pada masa itu, masih belum wujud pendaftaran isi rumah.

Iklan

Dengan berjuta-juta orang yang telah menukar nama mereka, mustahil untuk Yujia dan suaminya mengesan keberadaan masing-masing. Ternyata penantian dan kesetiaan tang dicurahkan wanita itu sia-sia.

Takdir adakalanya kejam bukan? Dalam kisah ini, Yujia dan suaminya tidak bersalah.

Biarpun berakhir tidak seperti yang diharapkan, sekurang-kurangnya wanita itu bernasib baik kerana mendapat jawapan tentang nasib suaminya sebelum dia menutup mata.

Baca juga: Wanita kena gantung tak bertali? Fasakh tak perlu izin suami, ini 16 alasan yang boleh isteri mohon

Sumber: Good Times, Eathealth, Top5

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTubeTiktok SinarPlus & Threads @sinarplus@threads.net. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang