Jangan lupa follow kami di Instagram!

PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia secara tidak langsung menjejaskan kesihatan mental dan fizikal masyarakat.

Ada yang dibuang kerja dan dicutikan tanpa gaji. Tidak kurang juga segelintir individu terpaksa menanggung keluarga dalam keadaan gaji dipotong sebanyak 50 peratus.

Situasi seumpama itu semakin hari semakin getir sehingga ada golongan terputus bekalan makanan dek sumber pendapatan terjejas.

Siapa yang tidak runsing memikirkan keadaan sedemikian. Lebih-lebih mereka memiliki anak kecil yang memerlukan susu, makanan dan lampin pakai buang secukupnya.

Justeru, sampai satu tahap ada yang terpaksa melakukan apa sahaja demi duit.

Inilah dilakukan oleh seorang lelaki yang sanggup menjual buah pinggang dipercayai untuk mendapatkan sedikit wang.

Kisah lelaki dari Jogjakarta, Indonesia itu tular menerusi media sosial apabila menaikkan sepanduk memaparkan kesanggupannya menjual buah pinggang dan darah untuk mendapatkan wang.

Memetik portal Suara.com, lelaki dikenali sebagai Yitno tersebut itu meluahkan bahawa Perintah Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) darurat akibat Covid-19 telah menjejaskan sumber pendapatannya.

Iklan

Disebabkan itu dia sanggup menjual sebelah buah pinggang dan darah buat mereka yang sudi membeli.

Baca juga Wang ganjaran RM2.98 juta, penerbangan percuma sepanjang hayat menanti Hidilyn Diaz

Tulisan di sepanduknya terpampang: “Sanggup menjual darah dan sebelah buah pinggang bagi mereka yang memerlukan. Sila hubungi Pak Yitno di talian tertera.”

Difahamkan sepanduk terbabit dipacak di simpang empat XT Square, Kota Jogja.

Iklan

Sementara itu, Ketua Polis Kulon Prog, Asisten Komisioner Tartono memaklumkan bahawa pihaknya sudah menjejaki Yitno dan memberi sedikit bantuan bagi meringankan beban.

Katanya, Yitno merupakan bekas banduan yang sukar mendapat pekerjaan sehingga terdesak menjual organ badan.