Jangan lupa follow kami di Instagram!

MENYUMBANG pingat emas pertama untuk Filipina pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 umpama durian runtuh buat atlet angkat berat, Hidilyn Diaz.

Hadiah lumayan yang berganda-ganda daripada pelbagai pihak bakal dinikmati wanita berusia 30 tahun itu sebaik sahaja pulang ke tanah air.

Anggota Tentera Udara Filipina itu dikhabarkan akan menerima wang ganjaran sebanyak 35.5 juta Peso (RM2.98 juta) tajaan kerajaan Filipina, kerajaan tempatan Zamboanga dan ahli perniagaan di sana.

Bukan itu sahaja, anak kepada pengayuh beca tersebut juga bakal menerima seunit kondominium bernilai 14 juta Peso (RM1.18 juta), satu lot tanah, rumah dan hadiah mewah sampingan lain.

Memetik laporan portal Rappler pihak Air Asia Filipina turut menaja penerbangan percuma sepanjang hayat kepada Diaz sebagai penghargaan atas pencapaiannya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menerusi penerbangan percuma berkenaan Diaz berpeluang mengunjungi lebih 140 destinasi yang dihubungkan Air Asia antaranya Asia, Australia, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.

”Kami mahu warga ASEAN percaya bahawa mereka mampu merealisasikan apa sahaja.

“Walaupun berdepan keperitan, namun kesungguhan, kecekalan dan kekuatan dalaman Diaz akhirnya membuahkan kejayaan,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes.

Terdahulu, Diaz memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 melalui acara angkat berat wanita kategori 55 kilogram (kg).

Iklan

Beliau berjaya melakukan angkatan peribadi terbaik 127kg pada acara clean and jerk.

Catatan keseluruhan 224kg yang dilakukannya sudah mencukupi untuk meraih pingat emas, sekali gus mencatat rekod baharu Olimpik.

Pada tahun 2016 ketika Olimpik Rio, beliau membawa pulang pingat Perak bagi acara sama.

Baca juga Berbaloi berlatih di garaj Jasin, Melaka Hidilyn Diaz raih emas pertama Filipina

Iklan

Kisah Diaz sebelum ini meraih perhatian media di negara ini susulan beliau dilaporkan menjalani latihan di sebuah kampung di Jasin Melaka.

Latihan mempersiapkan diri menuju Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu hanya dilakukan di sebuah garaj kereta milik seorang penduduk kampung.

Memetik laporan Astro Arena, Diaz menzahirkan penghargaan buat mereka terlibat terutamanya kepada pemilik kediaman yang menyediakan tempat tinggal.

“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana menghantar saya ke Malaysia untuk berlatih dengan baik.

“Saya berterima kasih kepada orang di Jasin, Melaka yang memberikan saya tempat tinggal dan ‘gimnasium’ (garaj dijadikan tempat latihan) ketika saya berada dalam kegusaran tidak tahu untuk ke mana” katanya pada sidang media di Tokyo.

Semoga semangat dipamerkan Diaz menyuntik inspirasi agar kita tidak mudah putus asa walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dalam memburu impian.

Foto: South China Morning POst, olympics.com, One Post, Insider.com