Sedihnya, lelaki hilang isteri, lima anak terkorban Gempa bumi Turkiye

A
A
A

Sedihnya, lelaki hilang isteri, lima anak jadi korban Gempa bumi Turkiye

Oleh: NURUL RIDUAN NOR ASHAHA

"SAYA tiada apa lagi di dunia ini kerana isteri dan lima anak saya terkorban dalam runtuhan bangunan kediaman kami."

Demikian luah Ibrahim Abdul Karim, 45, ketika ditemui Sinar Harian di rumah bapa saudaranya di sini.

Pertama kali melihat Ibrahim, lelaki warga Syria yang menetap di Antakya sejak 15 tahun lalu, kelihatan sugul sambil bersandar di dinding rumah.

Tiada sebarang kata-kata terkeluar dari mulutnya walaupun salam di hulur oleh wakil Sinar Harian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Syria Care ketika menyampaikan bantuan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care.

Mengambil masa untuk memulakan bicara, Ibrahim akhirnya membuka cerita selepas dipujuk rakan senegaranya yang juga kehilangan insan tersayang dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter pada awal pagi, 6 Februari lalu.

Baca juga Gempa bumi Turkiye, Syria 7.8 magnitud setara kekuatan 32 bom atom, doktor Malaysia kongsi pengalaman

Pada awalnya Ibrahim berkata, dia bersama isteri dengan dua orang anak sedang tidur di ruang tamu manakala tiga anaknya lagi berada di dalam bilik.

Ketika berlaku gegaran, dia mengejutkan kesemua ahli keluarga dan mengarahkan mereka untuk menyelamatkan diri walaupun ketika itu bangunan kediaman mereka bergoyang.

Sebaik Ibrahim berjaya keluar dari pintu rumah di tingkat satu bangunan lima tingkat, secara tiba-tiba dinding dan siling batu rumahnya runtuh.

"Sebaik saya melangkah keluar pintu, dinding dan siling rumah terus menghempap kesemua mereka dan seterusnya bangunan rumah saya runtuh.

"Hanya saya yang terselamat manakala anak-anak dan isteri terkorban," katanya.

Biarpun kejadian itu sudah memasuki tempoh dua minggu, Ibrahim berkata, peristiwa pahit itu sentiasa menghantui dirinya.

Ini kerana katanya, dia sering bermimpi melihat kecerian wajah semua ahli keluarganya.

"Semua kenangan bersama anak dan isteri terkubur di dalam runtuhan itu.

"Telefon bimbit yang mengandungi gambar ahli keluarga saya juga telah musnah termasuklah album-album gambar," katanya.

Baca juga ‘Bayi ajaib’ dinamakan Aya, kisah kelahirannya pada hari gempa bumi menyentuh hati dunia

Pengurus Besar Syria Care, Muaz Abd Muein (kiri) menyampaikan bantuan kewangan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care kepada Ibrahim, warga Syria yang menetap di Turkiye. - Foto Sinar Harian

Bercerita lanjut Ibrahim berkata, sehari sebelum kejadian dia sempat menunaikan permintaan isterinya untuk membawa mereka sekeluarga bersiar di taman.

"Saya tidak menyangka itulah kali terakhir saya melihat senyuman mereka," katanya reda dengan dugaan besar ini.

Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.

Baca juga Kasih ayah ke hujung nyawa, pegang tangan anak gadis tidak bernyawa, bapa Turkiye ini meruntun hati

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.

Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.

Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang