KALAU sudah sayang, kita sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi insan yang tersayang. Apatah lagi daripada sebarang perkara bahaya yang mungkin akan membuatkan kita kesal seumur hidup.

Tidak kiralah ahli keluarga, rakan mahupun jiran tetangga. Sememangnya lumrah manusia bersifat sebegitu.

Begitu jugalah halnya apabila ia melibatkan haiwan kesayangan masing-masing. Ada yang sanggup berhabis ribuan atau mungkin puluhan ribu semata-mata bagi melihat haiwan kesayangan mereka selesa.

Paling penting, bab keselamatan haiwan peliharaan mereka terjamin. Tidaklah kita risau dengan keadaannya.

Sebenarnya, memang ramai orang yang bersikap prihatin sedemikian rupa. Buktinya, seorang pencinta kucing di Nakhon Pathom, Thailand sanggup berbelanja besar untuk mengubah suai kediamannya demi keselesaan haiwan peliharaannya.

Rumah kucingMenerusi hantaran di laman sosial Facebook milik Sasamon Sophin, beliau menghabiskan sekitar 70,000 (RM9,447) hingga 80,000 bath (RM10,796) demi keselamatan haiwan berkenaan.

Beliau tidak kisah membuat pelaburan tersebut untuk menjadikan kediamannya sebagai ‘rumah kucing’ kerana terlalu sayangkan si bulus yang sentiasa menjadi penemannya.

“Daripada kucing-kucing itu keluar rumah berkali-kali, jadi saya melabur untuk membuat ‘rumah kucing’ agar haiwan itu dapat berjalan dengan selesa.

“(Saya pun) tidak tertekan (kehilangan kucing). Tidaklah mereka sesat lagi,” tulisnya dalam laman sosial berkenaan baru-baru ini.

(Artikel berkaitan: 10 tip penting persediaan membela kucing, ramai yang ambil sambil lewa)

Wanita itu turut memuat naik foto kediaman dua tingkat miliknya. Jika dilihat pada bahagian luar rumah, kelihatan tingkat atas balkoni kediaman itu saling tidak ubah seperti sangkar kucing yang besar dengan konsep terbuka.

Rumah kucingNamun, Sophin bijak menggunakan dekorasi menarik bagi konsep rumah kucingnya itu. Haiwan kesayangannya boleh melihat pemandangan luar melalui pagar berjaring di sekeliling balkoni kediaman berkenaan.

Andai cuaca tidak begitu baik atau hujan, ujar beliau, si comel tersebut boleh berjalan melalui pintu yang disediakan untuk masuk ke dalam rumah.

Iklan

“Tempias hujan akan terpercik masuk ke dalam rumah, tetapi ia cepat kering.

“Apabila haiwan itu ingin tidur, mereka akan tidur di bilik tidur. Ada pintu khas untuk mereka disediakan pada setiap bilik tidur berkenaan.

Rumah kucing“Malah, si comel ini bebas untuk berjalan setiap masa di rumah,” tulisnya lagi.

Bukan itu sahaja, Sophin turut membuat konsep ‘rumah kucing’ yang sama pada belakang kediamannya.

Iklan

“Namun begitu, saya tidak ingat berapa kosnya. Saya terlalu sayangkan kucing-kucing saya dan sanggup melakukan banyak perkara untuk mereka,” ujarnya.

Rumah kucingKepada yang masih tercari-cari konsep sangkar atau rumah kucing untuk haiwan kesayangan masing-masing, barangkali perkongsian Sasamon Sophin itu boleh dijadikan sebagai panduan.

Sumber: Facebook Sasamon Sophin & JB Purrfect Home

Foto: Facebook Sasamon Sophin