TANZANIA baru sahaja selesai pilihan raya Presiden pada bulan lalu. Sekali lagi John Magufuli memegang tampuk pemerintahan di negara di Afrika Timur sejak tahun 2015.

Jika diselak dari segi populasi penduduknya, tiada jumlah yang tepat berkenaan dengannya. Menurut kajian yang dilakukan oleh oxfordislamicstudies.com, penduduk di kawasan daratan Tanzania terdiri daripada 45 peratus beragama Kristian, 35 peratus Islam dan 20 peratus orang asli.

Kajian berkenaan turut menyebut, agama Islam tersebar dari pesisir ke kawasan pedalaman melalui aktiviti perdagangan.

Namun begitu, ada juga laporan-laporan tidak rasmi menyatakan bahawa penganut agama Islam di Tanzania itu melebihi 50 peratus.

Meskipun kehidupan orang Islam di Tanzania kebanyakannya nun jauh di kawasan pedalaman, namun ia tidak langsung membuatkan mereka tercicir menerima pendidikan agama sebaiknya.

Buktinya, sebuah video viral daripada seorang budak lelaki di Tanzania mengalunkan ayat suci al-Quran yang begitu fasih.

Sungguh merdu dan begitu mendayu-dayu bacaan berkenaan sehingga menusuk kalbu sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Beliau begitu fasih membacanya tanpa menatap mushaf al-Quran sambil berdiri di sebuah tanah lapang.

Video berkenaan telah dimuat naik menerusi saluran YouTube rasmi Mufti Menk baru-baru ini.

Menurut Mufti Menk atau nama lengkapnya Ismail Menk, kanak-kanak dari sebuah kampung di Pemba Islands disifatkan memiliki alunan bacaan yang paling indah.

Kanak-kanak Tanzania

“Inilah yang mereka perjuangkan di beberapa bahagian Afrika!

“Keluarga seperti mereka mungkin tidak memiliki atap yang sempurna di atas kepala mereka, tetapi mereka pasti melabur untuk kediaman akhirat yang paling menakjubkan. Ini adalah pahlawan sejati.

“Sementara itu, beberapa orang yang memiliki kediaman paling menakjubkan di dunia tidak terganggu dengan tempat tinggal abadi,” katanya sebagaimana keterangan yang ditulis pada saluran Youtube rasminya.

Iklan

(Artikel berkaitan: Purata 10 orang peluk Islam di Perancis setiap hari… Hidayah ALLAH datang kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA)

Menjengah ke ruangan Instagram miliknya, Mufti Zimbabwe itu menjelaskan, video yang tular itu direkodkan oleh seorang lelaki dari Water Fall Charity United Kingdom yang sangat mengagumi bait-bait alunan ayat suci yang dilontarkan anak kecil berkenaan.

“Sejak itu, ramai orang yang cuba untuk meraih dana untuk anak ini. Malah, ada yang mendakwa kanak-kanak ini ialah pelajar mereka dan sebagainya.

Iklan

“Bagi mengelakkan pengumpulan dana yang tidak perlu, berhubunglah terus dengan waterfallcharity.org.

“Insya-ALLAH anak ini akan bersekolah di sekolah al-Quran tidak lama lagi dan akan disalurkan untuk tujuan ini,” katanya.

Sumber & Foto: oxfordislamicstudies.com, YouTube Mufti Menk, Instagram muftimenkofficial & 123rf