IKAN adalah antara sumber protein yang menjadi kegemaran kebanyakan keluarga di negara ini.

Ramai diantara kita memilih untuk membeli ikan di pasar atau pasar raya. Kalau ikut pesan ‘emak-emak’ pastikan ikan yang dibeli segar, bermata jernih, insang merah, bila ditekan tidak berbekas.

Tapi zaman ini ada pula yang mengambil kesempatan. Wujud nelayan tidak jujur menjual ikan tidak segar disalut dengan pengawet mayat untuk nampak ‘baru’ dan tahan lama.

Formalin, bahan pengawet berbahaya bersifat karsinogenik yang boleh menyebabkan kerosakan pada organ. Ia juga boleh menyebabkan kanser.

Baca juga: Makan apa sahaja untuk tampung kelaparan selama berbelas jam satu cara salah. Ini sebab-sebabnya

Asmah yang berkongsi tip berkenaan ikan diawet formalin

Seorang pembekal ikan, Asmah Chem berkongsi tentang bahaya bahan itu.

“Formalin ialah daripada formaldehyde yang dicairkan. Mengikut kajian International Agency for Research on Cancer (IARC), formalin bersifat karsinogenik (penggalak kanser).

“Kegunaan formalin adalah untuk mengawet mayat dan spesimen di hospital, bahan pengawet pada cat, kaca, perabot dan pelbagai bahan polimer dalam industri.

“Penyalahgunaan formalin sangat berleluasa di Asia sehinggakan mi kuning, tauhu dan ikan masin pun diletakkan formalin supaya tahan lama. Lebih-lebih lagi barang basah seperti hasil laut yang mudah rosak,” katanya.

Menurutnya, di Malaysia kita hanya perlu bimbang akan hasil laut yang dibawa dari luar negara dan ikan-ikan hasil tangkapan laut dalam menggunakan bot besar.

Ini kerana nelayan laut dalam perlu berada di lautan selama satu hingga dua minggu untuk mendapatkan beberapa tan hasil tangkapan hasil laut yang berkemungkinan diawet dengan formalin.

Disebabkan ramai yang belum tahu cara mengenal pasti ikan yang sudah diawet formalin, Asmah menerangkan berpandukan pengalamannya sebagai pemborong/ peniaga ikan dan bekas penyelidik kimia.

Justeru, bagaimana untuk kenal ikan yang diawet dengan formalin? Beberapa ciri berikut boleh dilihat dengan mata kasar iaitu:

1) Kulit ikan berkedut/ tidak licin/ tidak berkilat.

2) Mata ikan cengkung/masuk ke dalam soket mata (ikan berformalin tidak semestinya bermata merah).

3) Insang ikan pucat berwarna coklat cair dan tidak merah.

4) Sisik ikan mudah tertanggal dari badan (ikan2 bersisik seperti merah/jenahak/senangin dan lain-lain).

5) Ikan kelihatan keras, tapi bila disiang perutnya sudah hitam dan busuk.

6) Isi ikan putih pucat, tiada darah mengalir ketika dipotong (ikan besar seperti tenggiri dan lain-lain).

Iklan

7) Ikan boleh diletakkan di atas meja jualan dengan penggunaan ais minimum. Badan ikan/makanan laut tetap kekal keras dari pagi ke petang. (Ikan tidak berpengawet perlu diletakkan di dalam tong ais untuk mengekalkan kesegarannya).

8) Lalat dan kucing kurang berminat dengan ikan berpengawet walaupun diletakkan di tempat terbuka.

9)Bau – cuba cium bau ikan/makanan laut yang ingin dibeli. Makanan laut segar berbau laut. Jika ada bau kuat menyengat, sah ada formalin.

10) Selepas dibersihkan, ikan yang sudah diawet tidak boleh disimpan dalam tempoh yang lama di dalam peti ais. Ikan tersebut akan kehilangan rasa, isi mudah hancur dan cepat busuk.

Tip paling mudah, kata Asmah boleh bertanya kepada penjual “Ikan bot balik hari ke ni bang? Jeti mana?”

Iklan

Hakikatnya, hanya sebahagian kecil peniaga sahaja yang sanggup menjual ikan daripada nelayan yang menggunakan bot ‘balik hari’ kerana kos operasi yang tinggi.

Jika tiada pilihan dan terpaksa membeli ikan tidak segar yang dikhuatiri mengandungi formalin gunakan tip ini. Selepas membersihkan ikan, rendam dengan larutan 10 peratus cuka dan air selama 30 minit.

Kemudian bilas dengan bersih. Menurut Asmah, kaedah tersebut boleh mengurangkan kandungan formalin sebanyak 0.109 microgram/ml.

Akhir kata, hidangkan makanan yang sihat dan selamat untuk keluarga tersayang. Jauhi formalin kerana ianya memudaratkan kesihatan.

Baca juga: Hentikan tabiat sapu bedak pada muka anak, sangat bahaya!

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI