BERITA baik buat semua peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), ini perincian pelaksanaan diskaun dan penangguhan bayaran balik pinjaman terkini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari lalu.

Justeru itu, pelaksanaan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus yang berkuat kuasa Rabu (1 Mac) sehingga 31 Mei ini meliputi empat kategori.

1. Diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman

2. Diskaun 15 peratus untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang.

3. Diskaun 15 peratus bagi bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus mengikut jadual bayaran balik

4. Diskaun lima peratus untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.

Baca juga Raya sakan! Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023, RM700 untuk kakitangan awam, 5 info wanita perlu tahu

PTPTN

Dalam pada itu, semua peminjam PTPTN termasuk yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan dan penerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) adalah layak menikmati insentif tersebut.

Selain itu, PTPTN menerusi satu kenyataan mengatakan peminjam yang ingin membuat penyelesaian penuh pinjaman atau 50 peratus daripada baki hutang perlu membuat pengesahan baki pinjaman melalui aplikasi myPTPTN atau portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN sebelum membuat bayaran balik melalui saluran bayaran yang telah disediakan.

Peminjam yang sedang membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus pula layak mendapat diskaun 15 peratus secara automatik.

Bagaimanapun bagi peminjam yang ingin membuat potongan menerusi kaedah itu boleh membuat permohonan melalui myPTPTN atau portal rasmi PTPTN.

Sementara itu, PTPTN memaklumkan peminjam yang dalam tempoh membayar balik dan mempunyai pendapatan bulanan RM1,800 (gaji kasar) ke bawah layak memohon penangguhan bayaran kecuali peminjam yang telah menyertai Debt Management Programme (DMP) di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi pinjaman PTPTN.

Iklan

Baca juga Berita baik! Sumbangan Tunai Rahmah keluarga pendapatan kurang RM2,500 terima hingga RM2,500, 5 info berkaitan

Menurut PTPTN, permohonan penangguhan boleh dibuat mulai Rabu melalui portal rasmi PTPTN dan peminjam perlu melengkapkan maklumat perhubungan, pekerjaan, memuat naik dokumen pendapatan bulanan terkini serta membuat perakuan kebenaran ke atas maklumat yang diberikan.

Ujarnya, PTPTN akan memaklumkan status kelulusan melalui e-mel yang dikemas kini semasa peminjam membuat permohonan dalam tempoh 14 hari bekerja selepas permohonan diterima.

Peminjam yang diluluskan penangguhan akan dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan dan perundangan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik berkuat kuasa.

Iklan

Kos pentadbiran atau ujrah juga tidak dikenakan sepanjang tempoh penangguhan diberikan.

Semoga bermanfaat! Rebutlah peluang ini untuk langsaikan baki hutang PTPTN yang ada ya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.