Di mana Albertine Leo Jia Hui? Hilang sejak 20 Julai, pemilik kafe tawar ganjaran RM10,000 jika temui

No Image Caption
A
A
A

KES kanak-kanak hilang, Albertine Leo Jia Hui kini menjadi tumpuan ramai. Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta bantuan untuk mengesan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dilaporkan hilang ketika berada di sebuah Pusat Beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri pada 20 Julai, malam.

Ketika hilang, Jia Hui memakai memakai baju T berwarna putih dengan gambar 'Mickey Mouse'pada bahagian dada dan berseluar pendek.

Kanak-kanak perempuan itu memiliki ketinggian lebih kurang 120 sentimeter, berambut panjang berwarna hitam, kulit cerah dan tubuh sederhana kurus.

No Image Caption

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan berkata Albertine Leo Jia Hui disedari hilang oleh bapanya kira-kira 8.30 malam ketika acara Bon Odori.

Kumarasan berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ridzuan Abd Hadi menerusi talian 017-7051097, hotline IPD Iskandar Puteri 019-2792095 atau Bilik Gerakan 07-2212999.

No Image Caption

Sementara itu, beberapa pihak secara sukarela tampil menawarkan wang ganjaran kepada mana-mana individu yang berjaya menemui kanak-kanak perempuan itu.

Artikel Berkaitan:

Memetik laporan Kosmo!, pemilik sebuah kafe menawarkan ganjaran sebanyak RM10,000 kepada sesiapa yang berjaya menemukan Albertine Leo Jia Hui, 6.

"Sesiapa yang berjaya bantu menemukan kanak-kanak itu boleh ke Six Cafe Borneo yang beralamat di Taman Stulang Laut untuk mengambil duit RM10,000,” tulisnya seperti yang tular di media sosial, hari ini.

Tambahnya, pihak yang menjumpai kanak-kanak tersebut juga boleh menghubunginya di talian 011-36693611.

No Image Caption

Sementara itu, kehilangan kanak-kanak itu menjadi tular di pelbagai platform media sosial sehingga mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau dilaporkan turut berkongsi hantaran yang tular itu di platform media sosial rasmi beliau dalam usaha membantu mengesan kanak-kanak berkenaan.

"Saya telah menerima laporan berkenaan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang hilang pada 20/7/2024 jam 8.30 malam akibat terpisah dari keluarga ketika acara Bon Odori di Eco Galleria, Iskandar Puteri, Johor Bahru.

"Pihak polis sedang berusaha untuk mencari dan mengesan kanak-kanak tersebut. Saya juga memohon orang ramai yang mempunyai maklumat atau menemui kanak-kanak tersebut, sila laporkan segera pada balai polis berhampiran. Semoga dipermudahkan segala urusan," titipnya.

Perkongsian yang menerima 5,700 reaksi dan 1,700 share yang mana warga maya rata-rata mendoakan agar Jia Hui ditemui segera dalam keadaan selamat.

INFO LANGKAH LAPOR ORANG HILANG

Remaja, wanita dan kanak-kanak hilang antara yang sering berlaku. Menggunakan laman sosial sebagai medium pencarian mungkin memudahkan, tetapi ia juga boleh mengundang bahaya. Ketahui prosedurnya yang sebenar.

Apa juga usaha dilakukan, ia perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi menjaga keselamatan wanita atau kanak-kanak terbabit.

Berikut tujuh info penting berkaitan prosedur dan cara betul membuat laporan orang hilang;

1-Hebahan kehilangan ahli keluarga perlu menggunakan platform yang betul.

2-Misalnya bagi kes kanak-kanak hilang, ahli keluarga terlebih dahulu perlu membuat laporan polis dan menyerahkan tindakan hebahan dibuat oleh pihak polis melalui sistem hebahan yang mempunyai prosedur operasi standard (SOP) khusus untuk memastikan maklumat kanak-kanak disebar luas dengan mekanisme betul.

3-Hebahan kanak-kanak hilang perlu mengikut SOP yang digariskan polis bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dan ahli keluarga tidak terancam dan disalahgunakan.

4-Hebahan hanya akan dibuat dengan kebenaran bertulis ibu bapa setelah siasatan polis mendapati tiada melibatkan unsur tebusan dan ancaman.

5-Hebahan juga hanya memaparkan butir yang terhad seperti gambar kanak-kanak yang hilang, nama, nombor laporan selain nama dan nombor telefon pegawai penyiasat.

6-Bagi kes kanak-kanak hilang, polis dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat membangunkan sistem amaran awal kanak-kanak hilang yang dikenali sebagai “National Urgent Response Alert” (NUR Alert ) bagi membuat hebahan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun yang dilaporkan hilang.

7-Hebahan melalui NUR Alert hanya akan dibuat oleh pasukan petugas yang diluluskan oleh polis seperti pihak Facebook, bank, syarikat telekomunikasi yang sehingga kini berjumlah 41 ahli petugas daripada pelbagai agensi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang