Suami luluh isteri dihanyut arus banjir lepas agih bantuan, sempat paut tangan tapi terlepas
LULUH mendengar luahan lelaki ini. Menyaksikan pemergian isteri di depan mata namun lelaki itu, Hii Ding Wei terkilan tidak dapat menyelamatkan suri hatinya, Monica Ting Siew Kwong, 37.
Tragedi yang berlaku pada 1.40 pagi Isnin itu terjadi selepas pasangan berkenaan menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir kepada penduduk yang terperangkap akibat banjir di pekan Donggongon, Penampang, Sabah.
Ketika mereka dalam perjalanan pulang dan melalui kawasan banjir berhampiran Bulatan Sigah, Monica dihanyutkan arus deras.
Suaminya cuba menarik tangannya namun arus yang terlalu deras menyebabkan pautan terlerai dan wanita itu dihanyutkan.
Ia diceritakan Ding Wei menerusi video yang kemudian tular di aplikasi X.
"Tadi saya jalan kaki mahu keluar, saya tunggu pakcik jemput.
"Air terlalu kuat jadi saya terus berlari dengan isteri.
"Nasib saya baik boleh naik tetapi isteri terus dihanyutkan," kongsi Ding Wei kepada pasukan keselamatan selepas 15 minit isterinya hilang.
Pencarian kemudian dilakukan bersama pasukan penyelamat. Sepanjang lokasi pencarian, suami mangsa tidak berhenti-henti memanggil nama isterinya.
Jasad mendiang akhirnya ditemukan kira-kira 500 meter setelah dihanyutkan arus deras dari lokasi pada kira-kira jam 8 pagi.
Ia berada di celah pokok bunga dan pagar berhampiran kediaman penduduk di Kampung Hungab.
Perkongsian operasi mencari dan menyelamat dua pegawai dan empat anggota polis, tujuh pegawai dan 13 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta 10 anggota bomba bertukar sayu apabila mereka juga berjaya menemukan selipar getah jenis Croc yang dipercayai dipakai mendiang.
Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton mengesahkan penemuan jasad mendiang.
Sammy berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila pasangan tersebut cuba meredah kawasan arus deras dalam keadaan air pasang pada waktu kemuncak sehingga mencapai paras pinggang.
Kes kematian itu diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.
Warga maya yang tersentuh dengan tragedi itu turut menitipkan ucapan takziah.
"Teramat sedih bila mendengarnya, amat terasa apabila kehilangan orang dicintai. Apatah lagi selepas berjuang bersama dengan niat murni."
"Wirawati Sabah pertaruhkan nyawa untuk penduduk ditempatnya."
"Perginya setelah berbuat baik. Terima kasih Monica. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga."
Buat keluarga mendiang Monica Ting Siew Kwong, takziah daripada kami di SinarPlus.
Sumber: TikTok APM Kota Kinabalu, Sabah Info
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang