SAMBUTAN hari Deepavali baru-baru ini, ramai wanita Islam memakai sari, lengkap dengan perhiasan ala Bollywood bagi memeriahkan perayaan tersebut bersama rakan-rakan. Pegawai perubatan, Dr Malar Santhi Santherasegapan tampil memberi teguran menerusi akaun TikTok Celoteh Dr Malar.

Dr Malar menjelaskan bahawa pemakaian tema Bollywood mempunyai dua komponen iaitu komponen bangsa India dan komponen agama Hindu.

Terdapat sebahagian besar wanita Islam yang tidak tahu membezakan budaya serta komponen agama Hindu itu sendiri ketika mengenakan pakaian dan perhiasan tema Bollywood.

Baca juga: Mulanya ditegur cantik, gadis terharu kakak dan aunty India bantu betulkan sari depan LRT

Baca juga: Tindik hidung haram? Ini penjelasan pendakwah…

Kredit foto: Pexels

“Jadi, kalau anda nak pakai tikka di atas dahi dan kepala, pakai sari, pakai rantai cantik, gelang, cincin itu tidak ada masalah kerana itu adalah budaya.

“Tetapi saya ada tengok rakan-rakan beragama Islam ada pakai pottu, ia tidak boleh kerana ia merujuk kepada agama Hindu.

“Sepatutnya pottu berwarna merah dipakai oleh wanita sudah berkahwin manakala warna hitam untuk yang belum berkahwin dan khusus untuk yang beragama Hindu. Tetapi ini pun agak berubah mengikut kawasan geografi mereka di India selain telah dimodenkan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Malar mengingatkan wanita Islam supaya tidak mudah terikut-ikut dengan pemakaian tema Bollywood sehingga boleh melanggar hukum agama Islam.

“Sebagai seorang yang beragama Hindu dan banyak berkawan dengan orang-orang Islam terutamanya, saya tahu bagaimana kawan-kawan saya sangat menjaga hukum syirik, murtad, dan hukum haram dalam agama Islam.

“Jadi berhati-hati ketika anda mengenakan tema Bollywood. Jangan sampai tersasar. Ambil yang budaya sahaja, berhati-hati dengan komponen agama Hindu,” katanya.

Menurut Mufti Perlis, umat Islam dilarang meniru dan mengikut kepercayaan agama lain. Ini berdasarkan hadis:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka”

1. Hadis ini secara umumnya memberikan maksud yang positif dan negatif. Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum atau puak yang terpuji maka dia termasuk dalam kalangan mereka yang terpuji atau akan dianggap baik dan terpuji. Sementara sesiapa yang menyerupai kaum atau puak yang buruk atau tidak baik maka dia dianggap dalam kalangan mereka.

2. Perkataan man tasyabbaha (sesiapa yang menyerupai) iaitu tasyabuh (menyerupai) dalam hadis ini merujuk kepada sesuatu perkara yang menjadi ciri khusus sesuatu pihak.

Jika seseorang menyerupai keadaan atau hal tersebut maka dia akan dianggap termasuk dalam kalangan mereka seperti pakaian yang khas untuk kumpulan tertentu atau agama tertentu, atau perayaan khas untuk agama tertentu atau majlis khas untuk puak atau agama tertentu, maka dia dinilai dalam kalangan mereka. Adapun jika perkara tersebut bukan khusus untuk mereka, maka itu tidak termasuk.

3.Menyerupai sesuatu yang khusus bagi agama tertentu seperti memakai salib, pakaian khusus paderi dan sami atau amalan khusus agama tertentu seperti bertafakur di kuil dan seumpamanya adalah perbuatan yang haram. Jika diikuti dengan iktikad seperti mereka, maka ia menjadi kufur.

Baca juga: Harus wanita pakai seluar jean, tetapi ada syarat-syarat tertentu yang perlu dijaga…

Kredit foto: Pexels

Jika sekadar suka-suka, atau melakukan tanpa niat yang kufur, amalan tersebut tetap haram. Dalam hal ini ulama berbeza pendapat, ada yang menganggapnya telah kufur, ada pula yang menyatakan tidak, tetapi berdosa.

4.Penyerupaan yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah penyerupaan dalam perkara-perkara yang khusus untuk sesuatu puak atau agama. Jika perkara tersebut tidak khusus untuk puak ataupun agama tertentu, maka hadis ini tidak berkaitan.

Dalam dunia globalisasi, banyak unsur budaya dan adat telah dikongsi oleh pelbagai pihak seperti pakaian, makanan, binaan dan seumpamanya yang bukan lagi khusus untuk agama tertentu.

Maka kita hendaklah teliti dalam menilai apa yang khusus dan apa yang umum. Pakaian yang dipakai oleh mereka yang bukan muslim tidak semestinya melambangkan agama mereka atau khusus untuk agama mereka.
Dalam hadis:

Iklan

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَبِسَ جُبَّةً رُومِيَّةً ضَيِّقَةَ الْكُمَّيْنِ، وفي بعض الروايات: جُبَّةٌ شَامِيَّةٌ ضَيِّقَةُ الْكُمَّيْنِ
“Sesungguhnya Nabi SAW memakai jubah Rom. Dalam sebahagian hadis disebut jubah syamiah (negeri Syam)- yang sempit kedua tangan bajunya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Padahal masyarakat Rom ketika itu adalah kristian. Demikian juga negara-negara lain pada masa tersebut, belum lagi menganut Islam, tetapi Nabi SAW memakai pakaian mereka. Ini kerana pakaian itu bukan pakaian khusus agama.

Rasululah SAW pernah memakai gamis (baju labuh) dan serban. Baginda pernah memakai kain sarung dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama kain sarung), memakai jubah dan farajiah (baju besar dan panjang kedua tangannya).

5. Meniru perkara yang baik, sekalipun ia berasal dari bukan muslim adalah tidak salah. Apatah lagi jika perkara itu diterima oleh masyarakat awam sebagai sesuatu yang baik dan bermanfaat.

6. Manusia cenderung menyerupai pihak yang mereka suka atau sayangi. Orang baik cenderung meniru cara orang yang baik. Demikianlah sebaliknya. Kecenderungan kita untuk meniru gaya atau gaya sesuatu pihak, memberi gambaran tentang apa yang tersirat dalam jiwa kita.

Kesimpulannya kita dilarang meniru atau menyerupai apa yang khusus untuk agama lain, atau apa yang khusus untuk sesuatu puak atau kumpulan yang mempunyai nilai yang negatif dan buruk.

Iklan

Kita boleh menyerupai apa yang tidak khusus untuk agama tertentu atau sesuatu yang tidak memberi imej yang buruk jika menirunya. Meniru apa yang baik adalah digalakkan sekalipun daripada bukan muslim.

Baca juga: Artis berpakaian Santa Claus, ini kata PU Syed

Sumber: TikTok @drmalarss, Mufti Perlis

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi