Gelombang ketiga Covid-19: Pakar saran ujian saringan diperhalusi semula

A
A
A

SEJAK bulan Oktober berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19 di Malaysia bermula dengan 260 kes positif pada 1 Oktober 2020 dan semakin menaik sehingga mencecah 660 kes pada 13 Oktober 2020.

Jumlah kematian pada 13 Oktober 2020 ialah 163 orang dan sehingga kini terdapat 101 pesakit yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kita dapat lihat juga sejak akhir September, penularan wabak telah merebak ke seluruh negeri apabila mereka yang ada sejarah perjalanan ke Sabah sepanjang bulan September lalu pulang ke kawasan masing-masing selepas membantu proses kempen pilihanraya di negeri tersebut.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaporkan setakat 13 Oktober 2020, ada 394 kes positif Covid-19 yang melibatkan pengunjung dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah sejak 22 September 2020.

Dari jumlah itu, sebanyak 234 kes (59.4 peratus) adalah dalam kalangan pengunjung yang tiba sebelum 27 September 2020, manakala sebanyak 160 kes (40.6 peratus) lagi adalah dalam kalangan pengunjung yang tiba selepas 27 September 2020.

Apa yang merisaukan adalah pengunjung yang tiba sebelum 27 September 2020 tidak diwajibkan membuat swab test dan menjalani kuarantin selama 14 hari. Ini telah menyebabkan penularan tempatan berlaku dikebanyakan negeri.

Kini semua pengembara yang tiba dari Sabah wajib menjalani saringan kesihatan Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa dan Domestik, diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) oleh KKM selama 14 hari dari tarikh ketibaan.

Lembah Klang dan Selangor terutamanya menjadi negeri yang paling terkesan dengan limpahan wabak dari Sabah ini dan hari ini PKP Bersyarat telah bermula di seluruh Lembah Klang.

Artikel berkaitan: Covid-19: 7 gejala terbaharu babitkan gangguan saraf manusia berdasarkan kajian antarabangsa yang kita perlu tahu

Artikel berkaitan: KKM jemput individu bekas pesakit Covid-19 sertai kajian tindakbalas antibodi

Artikel berkaitan: Belum habis Covid-19, mahasiswa di China diserang Norovirus pula

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Safiya Amaran ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini turut berkongsi kebimbangan tentang senario terkini itu.

Justeru, katanya, langkah lebih proaktif perlu diambil untuk mengawal pandemik yang 'mengerikan' tersebut.

“Oleh sebab itu, kriteria untuk membuat saringan Covid-19 mesti juga perlu ada perubahan. Kini wabak telah berulang kembali melanda seluruh negara. Banyak zon hijau telah berubah menjadi kuning dan merah. Situasi tidak sama seperti semasa bulan Julai dan Ogos.

“Jika kita hanya membuat saringan kepada mereka yang hanya mempunyai kontak rapat sahaja, ada risiko untuk orang yang telah dijangkiti Covid-19 tanpa disedari ini tidak dapat dikesan walaupun dia bergejala,” beritahu beliau.

Mengulas lanjut mengenai itu, Dr Safiya turut mengingatkan orang ramai bahawa virus Covid-19 berkenaan sudah menjangkau hampir satu tahun penyebarannya.

“Kita semua sudah tahu ramai pesakit yang tidak bergejala dan berlakunya missing link dan kes sporadik.

“Keupayaan kita dalam mencari kontak rapat juga ada hadnya walaupun kita cuba sedaya upaya,” tuturnya.

Tambahnya, sehebat-hebat negara Korea Selatan, mereka pun gagal mencari 100 peratus kontak rapat.

“Jadi, perlu ada pertimbangan supaya syarat untuk ujian saringan tidak terlalu ketat, dan orang yang bergejala yang tidak perlu rawatan dalaman hospital juga dinilai semula keperluan untuk disaring dan tidak hanya bergantung kepada kriteria kontak rapat atau sejarah perjalanan ke zon merah semata-mata.

“Risiko tetap ada walaupun bukan dalam zon merah kerana penularan ini boleh berlaku secara senyap tanpa disedari,” ujarnya.

Beliau turut mengatakan, jika terlambat mengubah kriteria saringan ini, risau keadaan di Sabah juga boleh berlaku di Semenanjung iaitu penyebaran berlaku dalam komuniti berlaku secara senyap dan hanya disedari apabila keadaan sudah parah kerana hanya mereka yang mempunyai kontak rapat sahaja diberi saringan percuma di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca