KETENANGAN jiwa adalah sumber kebahagiaan. Setiap individu tidak akan mampu mengecap bahagia andai jiwanya masih diselaputi rasa tidak tenteram.

Kita sedia maklum, selagi tidak berhenti bernafas, maka akan terus wujud pelbagai perkara yang perlu difikirkan dan diselesaikan.

Maka di sini timbul persoalan, bagaimanakah seseorang manusia boleh memiliki ketenangan jiwa yang hakiki?

Pendakwah, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa berkongsi panduan mendapatkan rasa aman, tenteram dan sentiasa berlapang dada.

Baca juga: Ustazah Norhafizah nenek pada usia 47 tahun, sambut cucu pertama Sara El Latheefa

Gambar hiasan (Kredit foto: Freepik)

Menerusi laman sosial TikTok, Ustazah Norhafizah menyenaraikan empat waktu yang dijaga agar ketenangan yang dirasakan berpanjangan.

“Kalau kita menjaga empat waktu ni, insya-ALLAH ia akan dapat mempengaruhi ketenangan kehidupan.

“Ia penting kerana akan memberikan pengaruh kepada keseluruhan masa seharian. Justeru, uruskan dengan baik empat momen ini,” tuturnya.

Empat waktu yang disebut beliau adalah sebelum tidur, selepas bangun tidur, ketika mendirikan solat dan saat diri menerima ujian atau ditimpa musibah.

1-SEBELUM TIDUR

Setengah jam sebelum melelapkan mata, wanita disarankan untuk mengambil serius apa yang dilakukan.

“Orang-orang yang bijaksana akan mengikuti sunah Rasulullah SAW termasuk persediaan untuk tidur.

“Berwuduk, membaca surah al-Mulk, beristighfar atau menunaikan solat witir dan kemudian membaca doa-doa tidur.

“Tidur mengiring ke kanan, doa dengan niat hendak bangun qiamullail. Melakukan perkara-perkara ini dalam masa setengah jam sebelum tidur tetapi ia akan memberikan pengaruh yang besar dalam seharian hidup kita,” kongsinya.

Baca juga: Ustazah Norhafizah Musa terima menantu ketiga, dua keluarga sahabat baik kini berbesan

Gambar hiasan (Kredit foto: Freepik)

2-SELEPAS BANGUN TIDUR

Selain itu, untuk mendapatkan ketenangan, anda disarankan melakukan beberapa perkara yang berlandaskan ajaran Islam.

“Bagaimana anda menguruskan waktu bangun tidur, misalnya pukul berapa, apa perlu dibuat dan apa perkara yang perlu dimulakan.

“Bahkan ada orang yang selepas bangun tidur minum air dulu dan mempunyai beberapa petua.

“Hal itu pun turut memberi pengaruh kepada kehidupan,” ujarnya.

3-BERDIRI UNTUK MENDIRIKAN SOLAT

Gambar hiasan (Kredit foto: Freepik)

Momen ketika mendirikan solat juga boleh mempengaruhi ketenteraman hati. Menurut Ustazah Norhafizah, perasaan tatkala berdiri untuk melakukan ibadat itu waktu sangat penting.

“Sesiapa yang menguruskan keadaan itu sebaik-baiknya, qiam dalam situasi diri berasa takut, malu dan kepada ALLAH, bahkan merasakan ia adalah solat yang terakhir.

“Hal ini secara tidak langsung boleh memberi kesan kepada kehidupan sehariannya,” katanya.

4-KETIKA MENDAPAT NIKMAT ATAU MUSIBAH

Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)

Fitrah kehidupan manusia tidak dapat lari daripada ujian dan kurniaan nikmat.

Menurut Ustazah Norhafizah, pada kedua-dua waktu ini jika dikendalikan dengan baik akan membawa kedamaian jiwa.

“Saat datangnya nikmat atau ujian berbentuk musibah. Ketika berlakunya perkara itu, bagaimana kita reflect, responds atau react sangat memberi pengaruh kepada lanjutan hari-hari mendatang.

“Jika saat menerima nikmat kita dan terus mengingati ALLAH, masya-ALLAH, mengucapkan istirja’ lahaula wala quwwata illa billah, Alhamdulillah dan sebagainya, maka pada masa akan datang ia akan menjadi lebih baik.

“Semasa mendapat ujian berbentuk musibah kita cepat mengingati ALLAH, menuturkan innalilllahi wainna ilaihirojiun. Kita sedar semuanya milik ALLAH, insya-ALLAH apa yang berlaku seterusnya akan menjadi lebih baik,” katanya.

Justeru, dengan titipan nasihat dan panduan Ustazah Norhafizah diharapkan dapatlah kita sama-sama mempraktikkannya untuk mengecap ketenangan dalam kehidupan serta meraih reda-NYA.

Iklan

Baca juga: Doa dan zikir ibu bapa untuk anak hadapi peperiksaan, kekuatan daripada Asmaul husna

SUNAH NABI SEBELUM TIDUR

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat dua perkara dilakukan Rasulullah SAW sebelum tidur. Ia adalah seperti berikut:

a) Berwuduk sebelum tidur

Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Al-Bara’ Bin ‘Azib bahawa Nabi SAW bersabda :
إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلَاةِ ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الْأَيْمَنِ وقُلْ: اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نَفْسِي إِلَيْكَ، وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ، فَإِنْ مُتَّ مُتَّ عَلَى الْفِطْرَةِ فاجْعَلْهُنَّ آخِرَ مَا تَقُولُ

Maksudnya : “Jika kamu datang ke tempat tidurmu maka berwuduklah seperti mana kamu berwuduk untuk solat. Kemudian berbaringlah dengan lambung kananmu dan sebutlah : Ya ALLAH aku berserah diri pada-MU. Aku serahkan urusanku pada-MU. Aku berlindung kepada-MU dengan penuh rasa cinta dan takut. Tidak ada tempat berlindung kecuali kepada-MU. Aku beriman dengan kitab yang telah ENGKAU turunkan dan juga beriman dengan Nabi yang telah ENGKAU utuskan. Jika kamu mati maka kamu mati dengan fitrah dan jadikanlah ia akhir ucapan yang kamu ucapkan.”

b) Membaca surah-surah tertentu dan zikir

Rasulullah SAW membaca surah-surah tertentu dan zikir sebelum tidur. Antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.anha :
أَنَّ النَّبِيَّ صلى اللهُ عليه وسلم كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ، جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا: ﴿ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَد ﴾ وَ﴿ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَق ﴾ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاس ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ، يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ، وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ، يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya : “Sesungguhnya Nabi SAW jika Baginda berbaring ke tempat tidurnya pada setiap malam, Baginda akan menadah tangan kemudian menghembuskan ke kedua tapak tangannya. Lalu Baginda membaca : Qul Huwallahu Ahad, Qul ‘Auzu Birabil Falaq dan Qul A’uzu birabbinnas. Kemudian Baginda akan menyapu dengan kedua tapak tangannya ke tubuhnya bermula dari kepalanya dan wajahnya kemudian bahagian tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.”

Riwayat Al-Bukhari (5017)

Iklan

Di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW mengajarkan umatnya agar membaca dua ayat terakhir daripada Surah Al-Baqarah. Daripada Abu Huraira R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ

Maksudnya : “Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah pada malam hari, maka ia sudah cukup.”

Riwayat Al-Bukhari (5009)

Baca juga: Ini rupanya sebab hati kita tak tenang walaupun pelbagai nikmat hidup kita sudah dapat

Sumber: Ustazah Norhafizah Musa, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Kredit foto utama: Pexels, Freepik

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!