SEBELUM ini sebilangan kecil rakyat Malaysia ‘terpedaya’ apabila mempercayai ivermectin merupakan penawar jangkitan Covid-19.

Kepercayaan itu semakin menjadi-jadi apabila ada pihak mendakwa ivermectin berjaya mengubati koronavirus yang menyerang India.

Berikutan itu, timbul laporan polis dibuat terhadap Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kononnya beliau dikatakan enggan memberikan rawatan ivermectin kepada rakyat di negara ini.

Memahami masih ada masyarakat yang mempercayai rawatan ivermectin mampu menyembuhkan Covid-19, Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Samhan Awang tampil berkongsikan maklumat.

“Ivermectin ini ubat yang diberikan untuk bunuh cacing (parasit) dalam tubuh badan binatang.

“Setakat ini ia tidak dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), CDC Amerika Syarikat, MHRA United Kingdom, Australian Ministry of Health dan Pan American Health Organisation(PAHO).

“Ini semua badan-badan regulatori vaksin dan ubat-ubatan. Maknanya, ini adalah pendirian agensi-agensi regulatori negara dan dunia yang tidak membenarkan penggunaan ivermectin sebagai pencegahan ataupun rawatan Covid-19,” tulisnya di Facebook baru-baru ini.

Artikel berkaitan: Covid-19: Sabar, KKM sedang kaji keberkesanan rawatan guna ivermectin

Menurut Dr Ahmad Samhan, CDC Amerika Syarikat juga telah melihat kajian dan merumuskan bahawa kajian tidak mencukupi data untuk membenarkan ivermectin sebagai pencegahan ataupun rawatan Covid-19.

“Kalau tengok kajian di India, kes Covid-19 dah menurun sebelum ivermectin dibenarkan. Sekarang ini pun India dah memberhentikan penggunaan ivermectin.

“Di Peru sudah guna ivermectin sejak bulan Mei tahun lepas, tetapi gelombang covid berterusan. Kes Covid-19 langsung tak menurun. Bulan Mac tahun ini Peru memberhentikan penggunaan ivermectin.

“Sebelum ini ubat Hydroxychloroquine (ubat anti malaria) juga dikatakan dapat rawat Covid-19. Lepas tu daun semambu, daun ketum, bunga cengkih dan sekarang ivermectin,” kata beliau.

Dr Ahmad Samhan Awang

Katanya lagi, ramai yang risau kesan sampingan vaksin, tetapi tidak mengambil tahu kesan sampingan ivermectin.

“Badan akan rasa lemah, muntah-muntah, sakit dada, tangan kaki menggeletar, sakit-sakit sendi, bengkak mata, bengkak kaki dan tangan. Ini semua kesan sampingan ivermectin. Tak takut ke? Risau saya bila ada yang mula makan ivermectin.

“Buat masa sekarang penggunaan ivermectin hanya dalam ujian klinikal, yang mana pesakit perlu dipantau rapi oleh doktor pakar dan penyelidik berpengalaman untuk menjamin keselamatan dan keberkesanan,” tegas beliau.

Nasihat Dr Ahmad Samhan, orang ramai jangan terlalu mudah percayakan info-info yang tidak sahih. Jangan ambil ivermectin untuk mencegah dan merawat Covid-19.

Iklan

Baca juga [VIDEO]Kenali Keberkesanan, Sifat Vaksin Pfizer, Sinovac Dan AstraZeneca

Justeru, korang jangan sesekali mencuba ‘penawar’ yang tidak diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia.

Iklan

Lebih baik menyokong saranan kerajaan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dan mematuhi prosedur operasi standard demi kesejahteraan bersama.

Sumber: Dr Ahmad Samhan