KES demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-51 tahun ini (ME51/22) dari 18 hingga 24 Disember meningkat 3.5 peratus iaitu 2,018 kes berbanding 1,950 kes pada minggu sebelumnya.

Itu laporan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, berikut 10 fakta berkaitan;

1. Satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu tersebut berbanding lima pada minggu sebelumnya.

2. Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga kini adalah 64,078 kes berbanding 25,794 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 148.4 peratus manakala 50 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 19 kematian bagi tempoh sama pada 2021.

3. Sebanyak 58 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 55 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 32 daripadanya di Selangor, Sabah (16), Kuala Lumpur dan Putrajaya (enam) manakala empat lokaliti di Pulau Pinang.

4. Survelan chikungunya pula merekodkan 16 kes pada ME ke-51 dengan 10 kes di Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan, masing-masing dengan dua kes dan masing-masing satu kes di Selangor dan Pahang, menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya hingga kini adalah 801 kes.

5. Bagi survelan zika, sebanyak 2,181 sampel darah dan 18 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

6. Dr Noor Hisham turut menyarankan masyarakat agar melakukan aktiviti gotong-royong bagi memutuskan kitaran hidup nyamuk Aedes dan seterusnya menurunkan insiden jangkitan demam denggi.

7. Pesan beliau, bagi kawasan dilanda banjir, sampah, barang lusuh dan barangan dihanyutkan hendaklah dilupuskan secara berhemah selain perlu memastikan tiada air bertakung di persekitaran premis.

8. Ini kerana bahan buangan tersebut dapat menyumbang kepada tempat pembiakan nyamuk Aedes kerana nyamuk Aedes hanya memerlukan takungan air yang sedikit untuk bertelur.

9. Nyamuk Aedes juga dapat terbang sejauh 200 meter dari tempat pembiakan bagi mendapatkan sumber makanan serta menjangkitkan virus denggi kepada individu sekiranya nyamuk tersebut membawa virus denggi.

10. Persekitaran yang bersih dapat memutuskan rantaian hidup nyamuk Aedes.

Baca juga Elak tanam keladi, ini 7 pokok boleh halau nyamuk wajib ada di rumah

Kredit foto: Freepik

Sementara itu, menurut infosihat.gov, terdapat empat jenis virus yang boleh menyebabkan demam denggi (DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4).

Jangkitan oleh salah satu jenis virus akan memberikan imuniti terhadap virus jenis itu sahaja, jika individu tinggal di kawasan jangkitan denggi, mereka boleh di jangkiti lebih dari sekali seumur hidupnya.

Bagaimanakah untuk mengetahui diri berkemungkinan menghidap demam denggi?

Pesakit akan mengalami tanda-tanda dan gejala selepas lime hingga enam hari gigitan nyamuk seperti;

  • Demam panas
  • Sakit kepala
  • Sakit tulang belakang
  • Sakit sendi-sendi
  • Loya dan muntah-muntah
  • Sakit biji mata
  • Ruam

Apakah yang akan terjadi sekiranya tidak mendapatkan rawatan?

Demam denggi terdiri daripada demam denggi biasa atau demam denggi berdarah yang boleh membawa maut.

Iklan

Demam denggi berdarah mempunyai tanda-tanda di atas dan juga pendarahan seperti;

  • Mudah lebam.
  • Pendarahan di bawah kulit, pada hidung atau gusi.
  • Ia boleh diikuti dengan pendarahan seluruh badan yang juga membawa maut.

Baca juga Ubat nyamuk lingkaran beri impak bahaya pada kesihatan. Ini penjelasannya

Apakah rawatan untuk demam denggi?

Masih tiada rawatan khas untuk demam denggi. Pesakit yang mengalami tanda-tanda dan menunjukkan gejala-gejala demam denggi hendaklah mendapatkan rawatan segera.

Pesakit akan diberikan ubat demam dan dinasihatkan berehat serta digalakkan minum air. Pesakit akan dimasukkan ke dalam wad sekiranya disyaki menghidap demam denggi berdarah.

Apakah perlu dilakukan untuk mencegah demam denggi?

Iklan

Terdapat pelbagai jenis cara untuk mencegah demam denggi;

Memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk.

  • Membuang bekas yang boleh menakung air.
  • Pastikan tangki air, bekas tadahan hujan seharusnya ditutup.
  • Pastikan pasu-pasu bunga dan bekas tadahan dibuang airnya sekurang-kurangnya seminggu sekali.
  • Pastikan saliran atap sentiasa mengalir.
  • Membela ikan di dalam kolam ikan untuk mengurangkan jentik-jentik.
  • Menggunakan semburan serangga untuk membunuh nyamuk.

Mengambil langkah-langkah melindungi diri untuk mengelakkan gigitan nyamuk seperti;

  • Pastikan tingkap dan pintu sentiasa ditutup.
  • Sapukan ubat penghalau nyamuk pada anggota terdedah kepada gigitan nyamuk.
  • Memakai baju berwarna cerah dan berlengan panjang dan seluar panjang sewaktu keluar rumah.
  • Pasangkan ubat lingkaran nyamuk dan ubat nyamuk elektrik di kawasan tertutup.

Semoga bermanfaat!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.