HomeFYIEh! Apa Tu?Malam nisfu Syaaban termasuk...

Malam nisfu Syaaban termasuk dalam malam mustajab doa, boleh amalkan ini

MALAM nisfu Syaaban merupakan dari perkataan nisfu yang bermaksud separuh (Nisf).

Oleh itu, nisfu Syaaban bermaksud separuh daripada bulan Syaaban, iaitu pada malam ke-15 yang jatuh pada Selasa 7 Mac pada tahun ini.

Malam nisfu Syaaban adalah malam yang penuh berkat dan rahmat. Banyak kelebihan malam nisfu Syaaban, antaranya terbukanya pintu langit dan dimakbulkan doa.

Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud;

“Sesungguhnya ALLAH SWT melihat pada malam nisfu Syaaban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380].

Kelebihan doa pada malam nisfu Syaaban

Malam nisfu Syaaban termasuk dalam malam mustajab doa.

Antara kelebihan Syaaban, ALLAH SWT telah mengkhususkan satu malam yang ditawarkan pengampunan daripada-Nya dan dikenali sebagai malam nisfu Syaaban.

Doa dan munajat pada malam nisfu Syaaban
AYUH bersama-sama kita berdoa dan bermunajat kepada ALLAH SWT agar diampunkan dosa serta ‘diangkat’ segala musibah penyakit yang sedang melanda dunia ketika ini.

Hal ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan Tabarani:

Daripada Mu’az Jabal r.a. daripada Nabi Muhammad SAW bersabda:

يطَّلِعُ اللهُ إلى خلقِه في ليلةِ النِّصفِ مِن شعبانَ فيغفرُ لجميعِ خلقِه إلَّا لمشركٍ أو مشاحنٍ

Maksudnya: “Allah SWT menjenguk hambanya pada malam Nisfu Syaaban dan mengampuni semua makhluknya kecuali orang yang mensyirikkan Allah dan orang yang masih bersengketa dan bertelagah.”(HR Ibnu Hibban, hadis sahih)

Imam al-Syafi’i berkata:

بَلَغَنَا أَنَّهُ كَانَ يُقَالُ: إِنَّ ٱلدُّعَآءَ يُسْتَجَابُ فِي خَمْسِ لَيَالٍ، فِي لَيْلَةِ ٱلْجُمُعَةِ، وَلَيْلَةِ ٱلْأَضْحَىٰ، وَلَيْلَةِ ٱلْفِطْرِ، وَأَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَجَبٍ، وَلَيْلَةِ ٱلنِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ

Maksudnya: “Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan: Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.”

Baca juga Usah lepaskan peluang berdoa, bermunajat pada malam nisfu Syaaban hari ini

Malam nisfu Syaaban
RAIH keampunan ALLAH dengan memperbanyakkan berdoa pada malam nisfu Syaaban.

Antara doa yang boleh dibacakan ialah;

DOA 1

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

Maksudnya: “Ya ALLAH, Kau berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan Kau berkatikanlah kami dan sampaikanlah kami pada bulan Ramadan.”

DOA 2

اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا

Maksudnya: “Ya ALLAH, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadan, sejahterakanlah Ramadan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan Ramadan itu).”

Iklan

Mintalah juga pada ALLAH SWT agar kita diberi kesihatan yang baik dan berterusan, agar dapat beribadah pada-Nya pada setiap masa, khususnya pada bulan Ramadan nanti dalam keadaan sempurna dan diterima ALLAH SWT.

Justeru, wajarlah kita sebagai umat Islam merebut peluang yang ALLAH SWT kurniakan kepada kita dengan memperbanyakkan amalan bermanfaat seperti;

1. Melakukan puasa sunat, solat sunat dan qiyamullail.

2. Memohon keampunan daripada Allah SWT dengan cara beristighfar, berselawat dan berzikir.

3. Saling maaf memaafkan antara satu sama lain.

4. Membaca al-Quran dan bersedekah.

Baca juga Menghidupkan malam Nisfu Sya’ban

5. Mengukuhkan hubungan silaturahim sesama umat Islam.

Iklan

6. Mengusahakan perdamaian dan penyatuan antara kita.

7. Menjalinkan hubungan silaturahim dengan orang bukan Islam.

8. Beristiqamah dalam melaksanakan amal ibadah dan kebajikan.

Semoga bermanfaat buat semua.

Sumber: Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, “Irsyad Al-Hadith Siri Ke-52: Kelebihan Bulan Sya’ban.” dan Kitab Madza fi Sya’ban karangan Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Artikel Menarik

Terkini

Dari Penulis