JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November. Beberapa kawasan terutama kawasan yang rendah berisiko mengalami banjir.

Walaupun kejadian banjir tidak melibatkan keseluruhan kawasan namun kita harus membuat persediaan di samping melakukan beberapa langkah keselamatan. Tujuannya bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan orang ramai di kawasan banjir untuk mengamalkan nasihat dan panduan keselamatan elektrik. Berikut panduan keselematan elektrik ketika dan selepas banjir. Dalam apa jua keadaan, utamakan keselamatan.

Baca  juga: Penyakit-penyakit yang boleh menimpa orang ramai tatkala musim banjir. Kena peka dan ambil tahu

KETIKA BANJIR

1. Hindari penggunaan peralatan elektrik dan pastika suis utama ditutup bagi mengelakkan renjatan elektrik.

2. Hubungi 15454 atau Facebook TNB Careline untuk memutuskan bekalan elektrik jika paras air meningkat.

3. Jauhi peralatan dan kabel elektrik yang terendam dalam air banjir walaupun barang-barang tersebut bersalut penebat.

4. Hindari tiang besi atau mana-mana pepasangan TNB yang ditenggelami air bagi mengelakkan risiko renjatan elektrik.

5. Pastikan semua suis pada soket alir keluar ditutup dan tanggalkan palam kuasa peralatan elektrik.

6. Matikan sistem solar PV bagi mengelakkan bekalan suap balik ke sistem pendawaian premis.

7. Sebelum berpindah, tutup suis utama.

SELEPAS BANJIR

1. Matikan suis utama sebelum membersihkan peralatan elektrik atau pendawaian.

2. Suis dan perkakas elektrik yang terendam dalam air banjir perlu diperiksa terlebih dahulu oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga.

3. Jauhi dahan pokok pada talian elektrik kerana bekalan elektrik mungkin masih disalurkan. Maklumkan kepada TNB untuk tindakan segera.

4. Jangan gunakan galah atau tangga yang diperbuat daripada besi/ aluminium berhampiran talian elektrik.

5. Ibu bapa perlu mengawasi anak-anak supaya tidak menghampiri tiang dan kabel elektrik yang rosak.

6. Segera hubungi pihak TNB ditalian 15454 atau Facebook TNB Careline sekiranya terdapat kejanggalan berkaitan pemasangan elektrik yang terkesan akibat banjir.

Baca  juga: Banjir: Jangan cakap kosong dan berhenti salahkan alam sekitar, segera bertindak demi elak mangsa menderita

PERSEDIAAN KETIKA BANJIR

Iklan

1.Pastikan di rumah sentiasa ada bekalan makanan kering yang tahan lama terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan sering berisiko banjir.

2. Sentiasa peka dengan semua amaran cuaca daripada (MetMalaysia), ambil perhatian serius.

3. Sediakan lampu tambahan di dalam rumah tanpa elektrik. Sangat membantu pada waktu kegelapan apabila bekalan elektrik diputuskan ketika banjir berlaku.

4. Jika ada bajet lebih boleh beli sebuah bot kecil dan dan jekat keselamatan bercahaya untuk simpanan kecemasan.

5. Sediakan kipas yang boleh dicas semula mudah alih yang boleh bertahan tanpa elektrik sebagai persiapan.

6. Setiap keluarga wajib ada satu beg kecemasan yang merangkumi barang-barang keperluan, ubat-ubatan, sedikit bekalan makanan, pakaian dan barang-barang yang dirasakan perlu dibawa.

7. Sediakan wang tunai secukupnya sebagai keperluan untuk perbelanjaan secara tunai.

8. Ambil semua dokumen penting dan masukkan ke dalam beg khas. Balut dengan plastik kemudian masukkan ke dalam beg.

Iklan

9. Segera buat keputusan untuk keluar dari rumah jika keadaan banjir semakin membimbangkan. Ingat, keselamatan diri dan keluarga lebih penting daripada harta benda.

Baca  juga: Awas! Siap siaga banjir kilat 6 buah negeri, 15 info wanita perlu tahu, ambil langkah berjaga-jaga

Sumber: Tenaga Nasional Berhad (TNB) 

Kredit foto utama: Bernama

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi