Penyakit-penyakit yang boleh menimpa orang ramai tatkala musim banjir. Kena peka dan ambil tahu

BARU-BARU ini rumah rakan penulis yang terletak di Klang, Selangor telah dinaiki air sehingga mencecah paras betis.

Bukan itu sahaja, apabila melayari media sosial, terdapat ramai lagi yang ditimpa nasib yang serupa.

Nampaknya, kejadian rumah dilanda bah semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Kredit foto: Suparerg Suksai

Penulis tak dapat bayangkan perasaan mereka yang kehilangan harta benda.

Itu belum kira kerja-kerja pembersihan semula yang terpaksa dilakukan dan pastinya menagih kudrat yang bukan sedikit.

Apabila berlaku bah, satu hal yang paling merisaukan mak dan ayah pastinya keselamatan si kecil.

Mana tidaknya, fikiran kanak-kanak berbeza dengan kita yang dewasa.

‘Lautan’ banjir yang luas cepat ‘mempesonakan’ mereka, sedangkan bahaya lebih dahsyat boleh berlaku. Kadang-kadang lebih teruk daripada apa yang kita bayangkan.

Untuk panduan bersama, berikut SinarPlus nyatakan permasalahan-permasalahan yang mungkin akan berlaku apabila musim tengkujuh melanda supaya anda semua lebih berwaspada. Antaranya seperti:

i) Kencing tikus
– Jangkitan kencing tikus atau leptospirosis merupakan penyakit yang disebabkan oleh bakteria yang menyerang haiwan dan manusia.
– Sekiranya seseorang dijangkiti penyakit itu, ia boleh menyebabkan penyakit serius seperti kegagalan buah pinggang atau hati, meningitis, kesukaran bernafas dan pendarahan.

ii) Taun
– Mereka yang terdedah dengan banjir berkemungkinan mengalami penyakit taun yang boleh mengakibatkan seseorang mengalami cirit-birit kerana jangkitan pada usus.
– Bagi mereka yang menghidapi taun, biasanya tidak menunjukkan sebarang simptom atau ia sekadar gejala ringan, tetapi boleh juga menjadi teruk dan mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan segera.

Baca juga: Awas! Siap siaga banjir kilat 6 buah negeri, 15 info wanita perlu tahu, ambil langkah berjaga-jaga

iii) Demam kepialu

Kredit foto: Andrea Piacquadio

– Demam kepialu terjadi disebabkan oleh bakteria Salmonella Typhi yang hidup dalam aliran darah dan saluran usus.
– Gejala biasa yang dialami pesakit adalah pening, badan tidak berpeluh dan kepala berasa sakit.
– Ia merebak melalui pengambilan makanan dan air yang tercemar dengan bakteria.

iv) Hepatitis A
– Hepatitis A merupakan sejenis penyakit hati yang berjangkit disebabkan oleh virus hepatitis A.
– Cara ia menjangkiti orang lain adalah pengambilan makanan atau air yang telah tercemar.

v) Giardiasis

Kredit foto: Sora Shimazaki

– Giardiasis merupakan sejenis penyakit cirit-birit yang terjadi disebabkan oleh parasit Giardia lambia.
– Jika seseorang dijangkiti oleh parasit berkenaan, ia berupaya hidup di dalam usus manusia selama berbulan-bulan.

Iklan

vi) Nyamuk dan malaria

Kredit foto: icon0.com

– Selepas banjir surut, kebarangkalian untuk nyamuk membiak dengan begitu banyak adalah tinggi kerana wujudnya tempat takungan air yang tidak sukar dikesan.
– Biasanya wabak malaria terjadi selepas enam hingga 8 minggu berakhirnya banjir.

Lihat, penyakit-penyakit yang boleh tercetus rata-ratanya boleh meragut nyawa.

Sehubungan itu, jangan sesekali ambil mudah dan pandang ringan.

Lakukan persiapan sewajarnya dan elak menjadi sebahagian daripada statistik mereka yang tercedera.

Iklan

Satu lagi, jika ditakdirkan berlaku juga kejadian yang tidak dijangkakan, dapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berhampiran.

Baca juga: Banjir: Jangan cakap kosong dan berhenti salahkan alam sekitar, segera bertindak demi elak mangsa menderita

Baca juga: Budak kecil terpaksa ditidurkan akibat jangkitan kencing tikus. Ini fakta penting ramai kena ambil tahu

Sumber FLOOD DISEASE & MEDCLIQUE

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi