KES pukul membabitkan pemuda, Allahyarham Shahril Samad meruntun hati ramai. Ditarik keluar dari kenderaan selepas melanggar seorang penghantar makananan, Allahyarham yang memandu sebuah Proton Saga diikat kaki dan tangan dan dibelasah beramai-ramai hingga organ dalaman pecah akibat hentakan kuat.

Menerusi hantaran dimuat naik pengguna Facebook, Abdullah Pak Lah MY, kes berkenaan didakwanya pertama yang berlaku berdekatan tempat kejadian iaitu di Taman Pelangi Semenyih 2, Semenyih.

“Muka Allahyarham penuh dengan kesan luka. Lehernya juga dicekik. Tak tergamak nak muat naik gambarnya diikat dan sedang nazak akibat ditendang dan dipijak di kepala dan ditumbuk berkali-kali di mukanya,” dakwanya.

Lebih memilukan, individu yang memukulnya hanya berhenti membelasah selepas polis tiba di tempat kejadian.

Baca juga: Ayuh pemilik dashcam tampil! Lelaki tawar RM5,000 kepada yang miliki bukti pesalah langgar Muhammad Zaharif hingga maut

Baca juga: Kematian tragis Zaharif, diseret hampir 5 meter angkara sikap panas baran. Ini kronologi meruntun hati

Baca juga: Apabila perikemanusiaan kian pupus, nyawa adik Zayn & Zaharif diragut seolah tiada nilai

Baca juga: Rider galas beg makanan jalan kaki buat ramai simpati, rupanya ini yang berlaku

KRONOLOGI 

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, pihaknya menerima maklumat awal kejadian kira-kira pada jam 9.20 malam.

Berikut adalah kronologi kejadian berdasarkan laporan wartawan Sinar Harian, Muhammad Aminnuraliff:

1-Hasil siasatan awal di lokasi kejadian, mendapati sebuah kenderaan jenis Proton Saga dipercayai telah terbabas sebelum melanggar pagar kawasan perumahan terbabit.

2-Mangsa didapati berada dalam keadaan terbaring di atas jalan selain terdapat kesan pergelangan tangan seperti diikat.

3-Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan yang terlibat.

4-Berdasarkan keterangan saksi mendapati mangsa ditarik keluar daripada dalam kenderaannya oleh sekumpulan individu.

5-Saksi awam turut mendakwa mangsa turut dipukul manakala kedua tangan mangsa diikat dan dibaringkan atas jalan raya di lokasi kejadian.

Sumber: Media sosial

6-Bagaimanapun kesemua individu terlibat yang memperlakukan mangsa sedemikian telah beredar sebaik sahaja pihak polis tiba di lokasi kejadian.

7-Unit Forensik Bukit Aman dan mengambil beberapa sampel terdiri daripada kesan darah dan cap jari, selain itu turut dirampas dua utas gumpalan tali untuk membantu siasatan.

8-Susulan kejadian, polis menahan lima lelaki berusia 25 hingga 52 tahun bagi membantu siasatan.

9-Suspek berumur 22 hingga 52 tahun ditahan kira-kira jam 2.05 pagi.

IBU LULUH, BAPA TIDAK SANGGUP TENGOK VIDEO

Diperlakukan dengan kejam hingga maut, ibu Allahyarham Shahril Samad, Khalijah Ahmad, 64, pula terpaksa ditenangkan selepas tidak dapat menahan sebak mengenang kejadian menimpa anaknya.

Manakala bapa, Samad Bakar, 70, meluahkan kesedihan dan trauma susulan kejadian menimpa anak keduanya.

Iklan

 

Beliau yang hanya mengetahui kejadian menimpa Shahril selepas dihubungi anak kira-kira jam 1.30 pagi berharap pemergian anaknya itu terbela.

“Saya tak sanggup nak tengok video itu. Saya harap pelakunya dibawa ke muka pengadilan,” katanya kepada wartawan Sinar Harian, Syamilah Zulkifli.

Menurutnya, tidak sepatutnya arwah diperlakukan sedemikian.

Mengenang pemergian Shahril, bapa itu juga berkata Allahyarham yang masih bujang merupakan seorang anak yang baik dan tidak pernah melawan.

Ujar Samad, Shahril yang bekerja membantu di kedai makan yang diusahakan keluarga tidak menunjukkan tanda-tanda pelik namun secara tiba-tiba pulang tidur di rumah sedangkan selama ini tidur di premis perniagaan mereka itu.

Sedih mengenang pemergian abang, adik Allahyarham, Syazwan Samad, 27, menyerahkan kepada pihak berkuasa ntuk mengambil tindakan undang-undang setimpal terhadap individu terlibat.

Iklan

 

Ujarnya, mereka tidak sepatutnya dilepaskan begitu saja kerana telah menyebabkan kematian.

“Saya ada terima rakaman video keseluruhan kejadian daripada orang awam yang berada di situ dan dia maklumkan bersedia jadi saksi.

“Sememangnya nyawa abang saya tak boleh dikembalikan, tapi kami harap keadilan kepada kematiannya,” katanya.

Difahamkan, Allahyarham Shahril telah dikebumikan 10 malam tadi selepas selesai proses bedah siasat.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!