KISAH adik Zayn Rayyan Abdul Matiin dan terbaharu Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie menggemparkan masyarakat apabila kedua-duanya meninggal dunia penuh tragis.

Menyelami perasaan si ibu kehilangan anak, hanya yang melalui situasi tersebut sahaja faham.

Bibir Merah cukup sebak dan sedih dengan situasi yang berlaku dalam negara kita sejak kebelakangan ini.

Belum pun reda kesedihan dengan kematian seorang kanak-kanak autism, adik Zayn Rayyan, yang dibunuh dengan kejam, kini timbul pula kes terbaharu.

Seorang pelajar bernama Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilanggar hingga maut.

Zaharif
Peguam Bela Datuk Wan Azmir Wan Majid (dua, kiri) mendengar penerangan Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, (tiga, kanan) yang merupakan bapa kepada pelajar Mohammad Zaharif Affendi yang maut akibat dilanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, di kediaman keluarganya di Taman Chepor Sentosa Chemor hari ini.
–fotoBERNAMA

Berita pertama. Sehingga kini, pembunuh adik Zayn Rayyan masih lagi menjadi buruan pihak polis. Bibir Merah percaya, sedikit masa lagi, si pelaku tersebut akan ditangkap dan didedahkan ke muka pengadilan.
Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua, percayalah.

Justeru, jangan putus asa, teruskan berdoa agar keadilan dapat ditegakkan dan hukuman terhadap pelaku dapat dilunaskan dengan segera.

Kita tidak mahu pembunuh tersebut bebas lebih lama kerana ia juga boleh mengundang rasa takut orang lain terutamanya kanak-kanak di kawasan sekitar.

Baca ni Mayat Zayn Rayyan diletak ketika hujan lebat, disyaki hanya seorang pelaku, petunjuk suspek semakin jelas

AWASI ANAK-ANAK

Pada masa sama, ibu bapa dinasihatkan supaya mengawasi anak-anak dengan lebih ketat. Jangan biarkan mereka bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa.

Berita kedua lebih tragis membabitkan pelajar berusia 17 tahun yang maut akibat dilanggar dan diseret kereta seorang pegawai kanan polis.

Kejadian yang menimpa Zaharif berlaku di Perak pada jumaat lalu mengundang pelbagai reaksi. Rata-rata melahirkan rasa sedih dan marah.

Sementelah laporan awal kejadian didakwa berpunca dek kerana perasaan tidak puas hati pegawai tersebut dengan mangsa kerana bunyi ekzos motosikalnya yang bising.

Bagi Bibir Merah, jika benarlah apa yang dilaporkan itu, memang tidak sepatutnya ia berlaku. Dek kerana punca remeh sedemikian menyebabkan satu keluarga berduka kerana kehilangan insan tersayang.

Ingatlah nyawa itu tiada galang gantinya. Sehingga kini, suspek yang berusia 44 tahun itu telah ditahan pihak berkuasa.

Baca lagi Hilang lebih 24 jam, anak autisme Zayn Rayyan ditemui tak bernyawa, bapa pengsan terima hakikat, ini kronologi menyentuh hati

MERUNTUN JIWA

Dua kisah ini cukup memeranjatkan masyarakat malah meruntun jiwa keluarga si mangsa.

Kalau diikutkan banyak lagi kes lain yang melibatkan kanak-kanak. Perhatikan saja kes buli di sekolah yang ibarat tiada kesudahan. Apa sudah jadi dengan masyarakat kita pada hari ini? Semakin hilangkah perikemanusiaan dan perasaan kasih sayang sesama kita?

Iklan

Bayangkan bagaimana perasaan seorang ibu yang pastinya paling terluka dan menderia.

Anak yang dikandung dan dijaga bagai menatang minyak yang penuh selama sembilan bulan 10 hari akhirnya pergi buat selama-lamanya.

Sebagaimana nyawa anaknya direntap begitu sahaja, demikian juga separuh nyawa sang ibu turut sama dibawa pergi.

Justeru, Bibir Merah berasakan sudah tiba masanya untuk memperbanyakkan program yang dapat membina dan menambah perasaan kasih sayang sesama manusia tanpa mengira pangkat, jantina dan golongan.

Baca lagi ‘Happy sangat abang waktu ni,’ ibu kongsi detik terakhir keluar bersama Zayn Rayyan sehari sebelum hilang runtun hati ramai

Kembalikan semula semangat kecintaan dan prihatin dalam kalangan masyarakat.

Semakin nipisnya sikap tidak cakna dan mementingkan diri mendepani kes-kes jenayah sebegini, semakin berleluasalah jenayah itu sendiri.

Iklan

Setiap rakyat perlu mempunyai sikap bertanggungjawab. Usah meletakkan soal keselamatan ke atas bahu pihak berkuasa sahaja. Konsep kita jaga kita patut dipraktikkan.

Baca lagi ‘Mommy, daddy dan adik akan selalu datang melawat abang’. Akui tak kuat hadapi kehilangan, titipan ibu Zayn Rayyan meruntun hati

Si Bibir Merah: Turut sayu dan geram dengan perangai si pelaku yang tidak berperikemanusiaan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang