Selangor catat kes keganasan rumah tangga paling tinggi. Lelaki tak terkecuali daripada didera

A
A
A

KEGANASAN rumahtangga adalah sejenis serangan yang dikenakan oleh seseorang ke atas orang lain.

Ia boleh terjadi kepada isteri atau suami atau bekas isteri atau suaminya atau kanak-kanak atau orang dewasa tidak berkeupayaan atau mana-mana anggota keluarga lain.

Keganasan yang berlaku melibatkan kesengsaraan dan penderitaan secara fizikal, seksual, kewangan, emosi atau psikologi.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor, Nor Azian Sharfador Khan berkata, keganasan rumah tangga bukan isu di Malaysia sahaja, tetapi menjadi permasalahan global.

“Jika dilihat data Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada tahun 2016, satu hingga tiga orang wanita di dunia mengalami keganasan fizikal dan seksual dalam hidup mereka yang dilakukan pasangan.

“Golongan lelaki turut tidak terkecuali apabila menunjukkan satu daripada empat orang lelaki juga mengalami keganasan rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ceramah Hak Mangsa Keganasan Rumah Tangga sempena Seminar Memerangi Keganasan Rumah Tangga 2023 Polis Selangor di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 Shah Alam, Selangor semalam.

 

Ujar beliau, setakat 23 Mac lalu, JKM telah mengendalikan sejumlah 221 kes melibatkan keganasan rumah tangga.

Kata Nor Azian, mangsa layak dilindungi di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521).

Bentuk perlindungan yang diberikan terdiri daripada berada di tempat selamat atau tempat berlindung, Perintah Perlindungan Kecemasan, Perintah Perlindungan Interim dan Perintah Perlindungan.

Kata beliau, permohonan boleh dibuat oleh mangsa sendiri, peguam mangsa, pegawai kebajikan masyarakat dan penjaga kepada kanak-kanak atau orang dewasa yang tidak berkeupayaan.

“Perintah perlindungan yang boleh dimohon di mana-mana pejabat JKM dan ia bertujuan melindungi mangsa daripada perlakuan keganasan yang dilakukan oleh pelaku yang merupakan anggota keluarganya.

“Mangsa juga menuntut pampasan ke atas kecederaan, kerosakan harta benda dan kerugian akibat keganasan yang dialami,” jelas beliau.

BANTUAN GUAMAN

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Negeri Selangor, Hemy Annerina Haja Mydin memberitahu, rakyat yang kurang berkemampuan boleh mendapatkan khidmat bantuan guaman daripada Jabatan Bantuan Guaman.

“Perkhidmatan boleh diperoleh pada kadar yang lebih rendah berpandukan Akta Bantuan Guaman 171.

“Ia adalah alternatif kepada perkhidmatan yang ditawarkan oleh peguam swasta yang lazimnya melibatkan kos yang tinggi,” katanya ketika menyampaikan slot ceramah Jangan Sembunyi Jika Anda Mangsa Keganasan dalam Rumah.

Selain khidmat nasihat guaman, jabatan terbabit turut mempunyai khidmat bantuan guaman bagi kes sivil, syariah dan jenayah.

Khidmat pengantaraan dan pendamping guaman juga disediakan kepada mangsa keganasan.

SELANGOR TERTINGGI

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Selangor menjadi negeri yang mencatatkan kes keganasan rumah tangga tertinggi berbanding negeri lain untuk tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Dari Januari hingga Ogos lalu sahaja negeri tersebut melaporkan sebanyak 813 kes.

“Statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan terdapat peningkatan kes keganasan rumah tangga di Selangor sejak 2017 hingga 2021 kecuali penurunan pada 2022 sebanyak 466 kes.

"Daerah yang mencatatkan kes tertinggi bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023 adalah Gombak (147 kes), Kajang (91 kes) dan Petaling Jaya (79 kes),” katanya yang merasmikan Seminar Memerangi Rumah Tangga 2023 Polis Selangor.

Ujar beliau, pihak polis memandang serius kes berkenaan dan masyarakat harus mengubah tanggapan ‘tidak menjaga tepi kain orang’.

“Masyarakat kita menganggap masalah keganasan rumah tangga sebagai masalah keluarga atau peribadi semata-mata.

“Namun pada Ogos hingga September lalu, kita dikejutkan dengan tiga kes sehingga menyebabkan kematian di Serdang, Kajang dan Petaling Jaya,” katanya.

Jelas beliau, kes pertama melibatkan seorang kanak-kanak didera oleh ibu dan teman lelaki ibunya sehingga mati.

Kes kedua pula menyaksikan seorang suami mendera isterinya sehingga meninggal dunia, manakala kes ketiga adalah seorang anak membunuh bapanya.

Justeru, beliau menegaskan kes jenayah tersebut boleh mendatangkan mudarat sehingga menyebabkan kematian jika dibiarkan berlarutan.

Baca juga: Wanita mangsa keganasan jangan takut, laporan polis boleh buat di mana sahaja seluruh Malaysia

Baca juga: Takut jadi janda, punca terus didera, 1 daripada 3 wanita Malaysia mangsa keganasan rumah tangga

Tambah beliau, situasi tersebut memberi cabaran kepada polis apabila kelewatan laporan menyukarkan proses tindakan awal untuk menyelamatkan mangsa.

Tidak perlu takut untuk tampil mendapatkan perlindungan sekiranya anda merupakan mangsa keganasan rumah tangga.

Orang ramai juga perlu prihatin dan mengambil tahu perihal kejiranan masing-masing.

Ingat, segera laporkan kes jenayah seumpama itu supaya dapat mengelak daripada berlakunya perkara yang tidak diingini.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca