Sembelit mungkin tanda penyakit berbahaya, waspada jika najis bercampur darah. Cakna punca, ini petua alami atasinya

SEMBELIT adalah keadaan apabila seseorang mengalami kesukaran untuk membuang air besar sekali gus membuatkan tekstur najis yang sangat keras.

Biasanya, jika seseorang itu tidak membuang air besar melebihi tiga hari dalam seminggu juga akan berhadapan dengan masalah sembelit.

Banyak punca sembelit. Ada kalanya apa yang kita buat sebelum ini tidak pun menyebabkan sembelit, tapi kali ini ia menyebabkan sembelit.

Jadi sembelitnya kadang kala bukan disebabkan oleh satu faktor saja, tetapi banyak faktor.

Ada kalanya orang lain buat, mereka okey saja. Tapi kita buat boleh menyebabkan sembelit pula. Jadi bergantung pada individu.

Antara puncanya;

1. Mereka yang ambil ubat gastrik yang mengandungi kalsium atau aluminium.

Ubat ini selalu disebut sebagai antacid, sama ada dalam bentuk cecair atau dalam bentuk pil.

2. Ubat-ubat penahan sakit seperti tramadol dan ubat untuk kemurungan boleh menyebabkan sembelit juga.

3. Orang yang kerap mengambil ubat pelawas untuk buang air besar juga boleh mengalami masalah ini.

Penggunaan ubat ini untuk jangka panjang akan melemahkan otot-otot usus untuk melakukan pergerakan peristalsis.

Pesakit yang mengalami luka pada dubur (fissure in anus) yang cuba mengelakkan diri dari membuang air besar (kerana berasa sakit ketika membuang air besar), juga boleh mengalami sembelit.

Baca juga Ingat sembelit, wanita tak sedar hamil bersalin di tandas, hampir ‘flush’ bayi sendiri

4. Pesakit anemia (kekurangan sel darah merah) yang mengamalkan pil zat besi (iron), juga boleh mengalami sembelit. Pesakit yang mengambil ubat tahan sakit seperti tramadol atau morphine juga mengalami masalah sembelit.

5. Wanita yang hamil juga mengalami masalah sembelit terutama di akhir kehamilan.

Ini kerana saiz rahim semakin membesar. Mereka yang mengalami tekanan emosi juga mungkin mengalami masalah ini.

6. Susu juga boleh menyebabkan sembelit bagi sesetengah orang.

Penggunaan ubat julap atau ubat laxative yang merangsang buang air besar bertujuan untuk detoks.

7. Perubahan diet terutama diet yang tidak cukup sayur.

Mereka yang tidak cukup minum air, tidak banyak melakukan pergerakan fizikal, terutama mereka yang sakit terlantar di katil. Ini menyebabkan sembelit.

Namun menurut Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad, ada kalanya sembelit adalah tanda penyakit yang bahaya. Ada pesakit yang mengalami penyakit ini tanpa menyedarinya.

Antaranya penyakit yang berkaitan dengan saraf di otak seperti Parkinson’s atau Multiple Sclerosis. Atau penyakit saraf pada otot-otot usus besar yang mengganggu pergerakan peristalsis otot di situ.

Sebagai contoh, pesakit diabetes yang tidak mengawal gula dalam darah dengan baik, saraf-sarafnya akan mengalami kerosakan.

Masalah hormone thyroid yang rendah atau hypothyroidism juga boleh menyebabkan sembelit yang berulang.

Lebih berbahaya, sembelit mungkin tanda awal penyakit kanser usus (rectum cancer atau colon cancer), terutama jika najis yang keluar itu bercampur darah. Dapatkan khidmat doktor secepatnya.

Sementara itu, ada beberapa cara yang kita boleh lakukan untuk melawaskan pembuangan najis tanpa perlu mengambil ubat-ubatan.

Baca juga Elak sembelit dengan cara semula jadi. Berikut 4 perkara dapat membantu

Berikut petua alami yang boleh anda lakukan jika berdepan dengan masalah sembelit;

1. Susu panas

Iklan

Susu merangsang pergerakan usus dan membantu cepat masalah ‘pembuangan’.

Caranya:

Pada waktu pagi ketika perut kosong, minum segelas susu panas. Jika tidak suka rasa susu, anda boleh menambah sedikit gula atau madu.

2. Jus lemon

Jus lemon memang mampu melegakan kesukaran pembuangan air besar dan mudah untuk didapati.

Caranya:

Masukkan jus lemon secukupnya ke dalam segelas air suam. Lebih berkesan jika menggunakan air yang panas (tetapi jangan panaskan).

Baca juga Gusar kerana sembelit. Berikut antara langkah untuk mencegahnya

3. Cuka epal

Iklan

Banyak manfaat cuka epal ini. Kalau boleh biar sentiasa ada di rumah. Cuka epal sangat cepat melegakan sembelit. Cuka epal juga membantu meningkatkan penghadaman selain mempunyai kesan positif terhadap kesihatan keseluruhan saluran gastrousus.

Caranya:

Campurkan dua sudu cuka epal dengan segelas air suam. Amalkan setiap kali sebelum makan. Boleh diamalkan sebelum sarapan, makan tengahari dan makan malam.

4. Air kosong

Ramai yang terlepas pandang. Kurang air adalah punca berlakunya sembelit dan penawarnya yang paling baik ialah banyakkan minum air masak. ‘Ubat’ mudah ini bukan sahaja membantu melegakan masalah sembelit tetapi juga bagus untuk kesihatan.

Masyarakat di negara Jepun sangat memberi perhatian terhadap pengambilan air dalam kehidupan seharian. Mungkin ia adalah rahsia kesihatan dan panjang usia.

Cara yang dilakukan ialah mengambil cecair pada jumlah yang disyorkan iatu 30ml untuk setiap 1kg berat badan.

Semoga bermanfaat!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.