#SiBibirMerah: Wanita, tabah lalui penceraian, ketahui hak yang boleh dituntut

HIDUP yang bahagia merupakan satu harapan setiap pasangan yang berkahwin.

Apabila terlafaznya akad ikatan suci sebagai suami isteri, sudah tentulah setiap daripada kita mengimpikan kehidupan bahagia tanpa adanya perselisihan faham yang boleh membawa kepada perceraian.

Bagaimanapun andai pelbagai usaha telah dilakukan tetapi takdir menentukan jalan perpisahan adalah jalan yang terbaik maka redalah dan teruskan kehidupan yang masih berbaki kerana dunia tidak akan pernah kiamat dengan asbab penceraian.

Baca juga Puteri Sarah fail cerai Isnin ini

Dalam penceraian, golongan isterilah biasanya dilihat teraniaya, kasihan serta hilang arah tuju lebih-lebih lagi jika mempunyai anak yang ramai.

Namun Bibir Merah ingin ingatkan wanita, penceraian bukanlah pengakhiran sebaliknya ia satu permulaan untuk individu memulakan kehidupan yang baru tanpa perlu bertahan dengan kesakitan yang sama.

Tabah melaluinya, penceraian itu mungkin satu kejadian yang paling menyakitkan, tetapi ia juga mungkin akan jadi salah satu ujian yang terindah ALLAH hadirkan untuk kita dalam hidup ini.

Walau apa pun alasannya di sebalik penceraian, jangan pernah lupa bahawa ALLAH SWT tidak pernah meninggalkan kita.

Kalian harus menerima kenyataan yang ia tidak dapat dielakkan. Semakin cepat kita menerima perpisahan dengan pasangan, semakin cepat kita mula mencari bahagia dan membuka pintu hati kepada hubungan yang lebih menggembirakan.

Baa juga Jangan tak percaya, kahwin lelaki berusia lebih romantik, penyayang

Talak tiga
LAFAZ cerai di luar mahkamah perlu dibuat pengesahan di hadapan hakim dalam tempoh selewat-lewatnya tujuh hari dari tarikh lafaz tersebut.

Justeru itu, wanita ini senarai perkara yang boleh dituntut di Mahkamah Syariah selepas perceraian berlaku;

1. Nafkah Edah

Nafkah edah ialah nafkah yang wajib dibayar kepada bekas isteri di dalam tempoh Edah Raj’ie disebabkan sesuatu perceraian iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut Hukum Syarak.

2. Muta’ah

Mut’ah iaitu satu bayaran yang wajib ke atas suami yang diberi kepada isteri yang telah diceraikan tanpa sebab munasabah mengikut Hukum Syarak. Kadar mut’ah boleh ditentukan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.

Sekiranya terdapat pertikaian mengenai kadar ini, mahkamah akan menentukan kadar bayaran mut’ah tersebut.

3. Harta Sepencarian

Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

Harta sepencarian ini boleh dituntut oleh suami atau isteri di mahkamah yang berbidangkuasa. Harta sepencarian termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan.

Tuntutan harta sepencarian ini hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Baca juga ‘Tanpa jujur masih boleh gembira tapi bukan bahagia’, ‘deep’ pesanan Ustazah Asma’

4. Tunggakan Nafkah

Tunggakan nafkah ialah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam tempoh perkahwinan dan menjadi hutang ke atas suaminya dan wajib dibayar.

Tunggakan ini boleh dituntut di mana-mana Mahkamah Syariah.

Iklan

5. Tunggakan Nafkah Anak

Tunggakan nafkah anak boleh dipohon kepada mahkamah apabila suami atau bekas suami telah gagal melaksanakan satu perintah nafkah anak yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

Tunggakan tersebut boleh dipohon dari tarikh kegagalan membayar perintah nafkah anak tersebut.

6. Hak Jagaan Anak

Hadhanah bermaksud penjagaan anak-anak yang masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri.

Mengikut Hukum Syarak dan Undang-undang Keluarga Islam yang berkuatkuasa, ibu adalah yang paling berhak bagi menjaga anak-anaknya yang masih kecil (di bawah umur 7 tahun bagi lelaki dan 9 tahun bagi perempuan).

Bagi anak yang melebihi had umur di atas, jika berlaku pertikaian mengenai hak jagaan anak, mahkamah akan menentukan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh anak-anak tersebut sama ada hendak tinggal bersama ibu atau bapa.Tuntutan hak jagaan anak (Hadhanah) ini hendaklah dikemukan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

7. Nafkah Anak

Iklan

Nafkah anak ialah suatu nafkah wajib ke atas seseorang bagi menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain.

Nafkah anak ini termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan sekadar mencukupi mengikut kemampuannya.

8. Hak Tempat Tinggal

Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dalam pekahwinan selama tempoh edah.

Kepada wanita yang diuji dengan penceraian, BiBir Merah harap hadapilah kesukaran dan tekanan yang datang sebaiknya. Ingat, kita masih ada keluarga dan anak-anak. Kita cari bahagia yang tersendiri.

Sumber: JKSM Kelantan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.