CUACA panas yang melanda akibat fenomena El-Nino terus meragut nyawa. Lagi kes strok haba dilaporkan Jumaat lalu melibatkan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun menjadikan total dua kematian pada tahun ini.

Si kecil Muhamad Abil Qaiz Faizal Fazrin dilaporkan menerima rawatan di hospital selama empat hari sebelum meninggal dunia Isnin lalu.

Terdahulu, beliau ditemui tidak sedarkan diri ketika bermain di dalam kereta datuknya di Kampung Teluk, Bachok dan dibawa ke Klinik Kesihatan Bachok sebelum menerima rawatan susulan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Berikut kronologi kejadian menyedihkan dan wajar dijadikan pengajaran:

1-Nenek kanak-kanak itu, Zainun Mat Amin, 54, berkata ketika kejadian Muhamad Abil Qaiz sedang bermain dengan abang dan adik kembarnya di dalam kereta Proton Iswara milik datuk mereka yang terletak di belakang rumah.

2-Ketika itu abang dan adik kembarnya mahu pulang, Muhamad Abil Qaiz masih ingin bermain di dalam kereta itu pada kira-kira jam 12 tengah hari.

3-Mangsa dipercayai berkemungkinan terkurung di dalam kereta itu dan hanya ditemui dalam keadaan separuh sedar kira-kira dua jam selepas itu.

4-Sementara itu, ibu mangsa, Roslina Rusli, 26, berkata ketika kejadian beliau sedang membuat kuih dan mangsa ada memberitahu mahu mengikut abang, Muhamad Aqil Amsyar, 7, dan adik kembarnya Muhamad Abeel Waiz bermain di belakang rumah.

5-Roslina memaklumkan ada memberi air Muhamad Abil ketika itu dan langsung tidak menyangka sesuatu berlaku yang menyedihkan selepas itu kerana mereka pernah bermain di dalam kereta datuk.

6-Pun begitu, beliau dan suami reda dengan ketentuan tuhan dan menganggapnya sebagai ujian terbesar dalam hidup.

Baca juga: Demam, meracau & kejang, kanak-kanak 12 tahun maut strok haba, berikut kronologi menyayat hati

Baca juga: Paru-paru kecut, air dalam badan kering, kanak-kanak setahun maut strok haba di Kelantan

Waspada lokasi gelombang haba

Elakkan aktiviti luar rumah ketika ini

Nampaknya cuaca panas melanda negara semakin meruncing dengan suhu tinggi yang ketara di beberapa lokasi.

Tinjauan SinarPlus menerusi laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 6 April mendapati enam kawasan di Semenanjung berada pada Tahap Dua (Gelombang Haba) yang mencatat suhu harian 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut iaitu (Padang Terap) Kedah, (Hulu Perak) Perak, (Gua Musang) Kelantan dan (Jerantut, Raub dan Temerloh) Pahang.

Sementara itu, 36 kawasan di beberapa buah negeri berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) yang meliputi:

-Perlis
-Kedah (Baling, Kota Setar, Kulim, Kuala Muda, Pendang, Kubang Pasu, Pokok Sena, Sik dan Bandar Baharu)
– Pulau Pinang (Timur Laut dan Seberang Perai Tengah)
-Perak (Kinta, Kampar dan Kuala Kangsar)
-Kuala Lumpur
-Negeri Sembilan (Tampin, Jempol dan Jelebu),
-Pahang (Lipis, Pekan, Maran, Rompin, Bera dan Bentong)
-Kelantan (Pasir Puteh, Jeli, Machang dan Kuala Krai) Kelantan
-Terengganu dan (Besut, Kemaman dan Dungun)
-Sabah (Keningau dan Tenom)

Baca juga: Hanya 15 minit, badan boleh diserang strok haba. Waspada!

Baca juga: Post-mortem dapati organ dalaman hangus, kanak-kanak pergi selamanya asbab strok haba, dehidrasi

Jangan ambil mudah strok haba – Pakar kesihatan

Jika berada di tempat yang dingin, jangan terus ke lokasi yang bersuhu tinggi

Perkara yang paling ditakuti ketika suhu sekeliling panas ialah keletihan atau kelesuan akibat panas (heat fatigue), pitam atau pengsan (heat syncope), kekejangan akibat daripada panas (heat cramps), keletihan atau kepenatan akibat panas (heat exhaustion) dan strok haba (heat stroke).

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata masyarakat perlu cakna terutamanya ketika bulan Ramadan memandangkan masyarakat Islam berdepan dengan keadaan kekeringan dalam tempoh yang lama iaitu melebihi 10 jam kerana berpuasa.

Beliau berkata jika berdepan dengan ancaman strok haba ini, ia boleh menyebabkan individu terlibat pengsan di peringkat awal, selain akan menyebabkan koma dan tidak sedarkan diri terutamanya kepada golongan komorbid.

“Ada segelintir pihak yang masih memandang remeh dengan risiko strok haba ini dan beranggapan ia hanya keadaan biasa sedangkan ia boleh mengundang kepada kematian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sementara itu, Pensyarah dan Pakar Perunding Perubatan Keluarga Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Rashidi Mohamed Pakri berkata sekiranya individu mempunyai gejala termasuk suhu badan melebihi 40 darjah Celcius, berkelakuan tidak normal, berpeluh, jantung berdebar-debar, berasa loya dan muntah-muntah, segeralah ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Iklan

“Jika berada di tempat yang dingin, jangan terus ke lokasi yang bersuhu tinggi memandangkan ia akan mempengaruhi keupayaan badan untuk mengatur suhu, sekali gus berisiko mengundang kekejangan haba, kelesuan haba dan juga strok haba,” katanya.

Baca juga: Maut atau cacat seumur hidup, itu antara risiko strok haba. Minum banyak air, jangan banyak terdedah di luar

Baca juga: Strok haba ibarat radiator kereta pecah, cepat bertindak waspada tanda awal sebelum ragut nyawa

TIP HADAPI CUACA PANAS & TANDA STROK HABA

 

Waspada dan peka kepada kanak-kanak. Individu dewasa khususnya ibu bapa dan penjaga dinasihatkan melakukan perkara berikut kepada si kecil:

Iklan

a.Tingkatkan pengambilan air dan pastikan mereka terhidrat.
b.Jangan tinggalkan anak dalam kenderaan.
c.Kurangkan aktiviti luar.
d.Kekal di dalam rumah.
e.Bermain di tempat yang teduh.
f.Pakai pakaian terang, ringan dan longgar.

Ibu bapa dan penjaga juga hendaklah peka jika anak anda mengadu simptom-simptom yang menunjukkan masalah kesihatan kerana cuaca panas.

Jangan ambil mudah anak mengadu sakit ketika cuaca panas ini

Berikut adalah simptom strok haba dan keletihan haba yang perlu anda peka:

1-Sakit kepala berdenyut.
2-Tidak berpeluh.
3-Suhu badan meningkat.
4-Kulit panas, kering dan merah.
5-Muntah atau loya.
6-Nadi kuat dan laju.
7-Fungsi otak terjejas. Antaranya tidak dapat berfikir dengan normal, bercelaru atau hampir pengsan.
8-Pengsan atau koma.
9-Pertuturan terjejas dan sawan.
10-Suhu badan mencecah 40 darjah Celcius atau lebih.

Jika ini berlaku, segera dail 999, baringkan mangsa, beri minuman, gunakan kipas atau pendingin hawa dan naikkan kaki sementara bantuan sampai.

Sentiasa ada pek ais atau ice pack untuk kecemasan di rumah. Anda boleh meletakkan pek ais pada leher, ketiak, dan celah kelangkang mangsa untuk menurunkan suhu.

Sumber: Bernama, Berita Harian, Public Health Malaysia, MetMalaysia