TELUR, bila sebut sahaja namanya, pasti ramai membayangkan itulah menu yang paling cepat dibuat untuk dinikmati sekeluarga.

Mana tidaknya, memasak telur sangat mudah, praktis dan terpantas di dunia. Bahan-bahan yang digunakan juga tidak susah untuk didapatkan.

Masa memasak telur juga boleh siap dalam lima hingga 10 minit. Lagipun juadah telur dapat menjimatkan masa dan tenaga kerana ia boleh dicampur dengan bahan lain seperti sayur dan daging.

Juadah berasaskan telur juga tak lapuk dek zaman. Kebanyakkan anak-anak kecil sekarang pun sangat suka hidangan telur.

Pun begitu, pelbagai andaian dan pandangan terhadap pengambilan telur dalam sajian harian.

Ada yang mengatakan telur makanan yang paling tinggi kolesterol, dilarang untuk ibu hamil selain ia dijadikan makanan utama si diet yang ingin kuruskan badan dan sebagainya.

Menurut Penceramah Kesihatan dan Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad, jika ingin amalkan pemakanan yang betul biarlah berdasarkan fakta bukan mitos. Barulah diet yang dilakukan akan lebih berkualiti dan tidak stres.

Baca juga Betulkah makan telur boleh lambatkan proses penyembuhan luka dan bernanah? Ini fakta yang ramai kena tahu

Menerusi perkongsiannya di Facebook, ini lima fakta dan mitos tentang telur;

1. Telur menyebabkan peningkatan kolesterol?

Ramai yang beranggapan bahawa makan telur/udang/kambing dan makanan lain yang mengandungi kolesterol akan meningkatkan kolesterol dalam darah dan seterusnya menjadi penyebab risiko sakit jantung.

Faktanya : Kolesterol dalam makanan memang boleh mempengaruhi kolesterol dalam darah, tetapi sebenarnya majoriti kandungan kolesterol adalah dihasilkan oleh tubuh kita sendiri.

Kolesterol yang tinggi selalunya disebabkan oleh diet dan hidup yang tidak sihat seperti stress, kurang tidur, merokok, kurang senaman dan lain-lain, bukan sekadar disebabkan oleh makan telur, udang, kambing semata.

Buktinya: Ramai je yang dah jadi anti telur, anti udang, anti kambing tapi kadar kolesterol masih tinggi.

2. Telur mentah lebih tinggi kadar protein?

Ramai yang beranggapan pengambilan telur mentah boleh membantu mendapatkan kadar protein yang lebih tinggi.

Faktanya: kadar protein dalam telur adalah sama walaupun telah dimasak. Yang berkurangan hanyalah dari segi vitamin dan mineral.

Walaubagaimanapun, kita tidak digalakkan untuk makan telur mentah ini adalah untuk mengelakkan risiko jangkitan Salmonella.

Selain itu, penyerapan protein melalui telur yang telah dimasak adalah lebih tinggi berbanding telur mentah.

3. Putih telur adalah lebih baik berbanding kuning telur?

Ramai yang beranggapan telur putih adalah lebih baik berbanding telur kuning.

Faktanya: vitamin dan mineral pada telur lebih banyak terkandung dalam kuning telur. Antara vitamin yang ada ialah vitamin D, vitamin A, vitamin E, Choline, Lutein, Zeaxanthin yang berfungsi untuk menjaga kesihatan tubuh badan.

Jika tidak makan kuning telur, maka sebahagian mineral dan vitamin ini tidak diperolehi.

4. Kuning telur menyebabkan gemuk?

Beberapa orang takut nak makan telur kuning sebab risau naik berat.

Faktanya: kuning telur mengandungi protein dan zat bermanfaat seperti vitamin D dan choline dimana membantu menyerap kalsium dan meningkatkan fungsi hati. Ini dapat mengelakkan kejadian hati yang berlemak. Selain itu, menurut The American Heart Association menyatakan 1 biji telur sehari bagus untuk amalan diet yang lebih sihat.

5. Wanita hamil tidak boleh makan telur?

Ini sering menjadi dilema buat semua wanita hamil kerana ada larangan untuk pengambilan telur. Ini hanyalah mitos!

Faktanya: telur adalah sumber protein yang tinggi, vitamin, mineral dan asid amino. Jadi wanita hamil amat digalakkan untuk makan telur, ikan dan kekacang. Cuma wanita hamil perlu mengelakkan pengambilan makan telur yang mentah untuk elak risiko jangkitan Samonella.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut berkongsi di Twitter, telur merupakan sumber protein yang penting dalam membantu penghasilan sel-sel baharu, selain kaya dengan vitamin dan mineral.

Baca juga 3 hari 3 malam masak telur pindang, wanita ini kongsi tip rahsia hasilkan resipi enak

Berikut kebaikan pengambilan telur dalam diet seharian;

i) Kepelbagaian nutrisi

Hanya nutrisi satu biji telur sahaja diperlukan untuk menghasilkan sel tunggal untuk bertukar menjadi anak ayam.

Iklan

Satu biji telur rebus mengandungi vitamin A, vitamin B5, vitamin B12, vitamin B2, fosforus, selenium dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, satu hidangan mengandungi 77 kalori, 6 gram (g) protein dan 5g lemak sihat.

ii) Tinggi kolesterol tapi tidak menyebabkan kolesterol dalam darah

Pengambilan makanan berkolesterol tidak semestinya menyebabkan ia (kolesterol) tinggi dalam darah kerana hati menghasilkan lebih banyak kolesterol setiap hari.

Orang ramai disyorkan untuk mengambil telur dalam diet seharian adalah sebanyak 300 miligram (mg). Satu biji telur hanya mengandungi 212mg.

Bagaimanapun, setiap orang mempunyai reaksi yang berbeza-beza terhadap makanan. Statistik ada menyatakan sebanyak 70 peratus yang makan telur tidak mengalami peningkatan kolesterol, manakala selebihnya (30 peratus) boleh menyebabkan mereka mengalami peningkatan.

Baca juga 3 hari 3 malam masak telur pindang, wanita ini kongsi tip rahsia hasilkan resipi enak

iii) Meningkatkan high-density lipoprotein (HDL)

HDL juga dikenali sebagai kolesterol yang baik untuk tubuh badan.

Bagi mereka yang memiliki kadar peratusan HDL yang tinggi, golongan itu kurang berisiko untuk mengalami masalah jantung, strok dan masalah kesihatan lain.

Salah satu cara untuk meningkatkan HDL adalah dengan makan dua biji telur selama enam minggu boleh menyebabkan peningkatan HDL sebanyak 10 peratus.

Iklan

iv) Telur mengandungi kolina

Kolina merupakan nutrisi yang orang ramai tidak tahu kewujudannya. Ia merupakan sejenis bahan yang penting untuk tubuh dan sering dijumpai di dalam kumpulan vitamin B.

Kolina digunakan untuk membina sel membran yang memainkan peranan dalam memberi isyarat molekul di dalam otak.

Satu biji telur mengandungi 100mg kolina.

v) Pengambilan telur tidak meningkatkan risiko penyakit jantung dan ia juga boleh mengurangkan risiko strok

Fakta mengenai telur sering disalah tafsir. Walaupun ia mengandungi kolesterol, tidak semestinya pengambilan protein itu boleh menyebabkan masalah jantung.

Sebanyak 17 kajian telah dijalankan dengan melibatkan seramai 263,938 peserta telah mendapati tiada kaitan di antara pengambilan telur dengan masalah jantung atau strok.

Bagaimanapun, buat golongan yang ada alahan terhadap protein itu, dinasihatkan supaya tidak makan telur untuk mengelakkan komplikasi kesihatan yang teruk.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Dr Zubaidi Ahmad, KKM, Heathline

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.