KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) semalam memaklumkan, sudah terdapat satu kes Covid-19 varian UK B.1.1.7 atau 202012/01 mutasi protein Spike yang telah dikesan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan media berkata, kes tersebut dilaporkan daripada seorang pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom (UK) pada Disember 2020.

Pengembara tersebut didapati positif pada 28 Disember tahun lalu dan telah diasingkan untuk rawatan lanjut.

Ujar Dr Noor Hisham, sejak Oktober 2020, KKM telah melakukan pemantauan terhadap kesemua pengembara dari negara-negara yang telah melaporkan kes mutasi varian UK B.1.1.7 termasuklah dari UK, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India.

“Sebanyak 968 sampel diuji sejak Oktober lalu dan telah melakukan penjujukan genom bagi mengesan jenis mutasi UK B.1.1.7 ini kepada 24 sampel. Setakat 11 Januari (semalam), tiada penularan dalam negara telah dikesan berkaitan virus mutasi UK B.1.1.7,” katanya menerusi catatan yang dimuat naik menerusi Facebook malam semalam.

Pada hujung Disember tahun lalu, Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock berkata, pihaknya berjaya mengenal pasti dua kes baharu hasil daripada keupayaan genom mengagumkan dan kedua-duanya adalah kontak kes yang melakukan perjalanan dari Afrika Selatan.

Penemuan itu dibuat selepas Jabatan Kesihatan di Afrika Selatan mendedahkan mutasi virus dikenali sebagai 501.V2 yang mencetuskan gelombang kedua jangkitan di negara tersebut.

Susulan penemuan itu, UK mengarahkan mana-mana kontak rapat dengan individu terbabit dan mereka yang kembali dari Afrika Selatan sejak dua minggu lalu perlu menjalani kuarantin.

Dr Noor Hisham menambah, walaupun mutasi UK B.1.1.7 tidak menyebabkan gejala yang teruk, ia boleh menular dengan mudah dan cepat.

Artikel berkaitan: Lebih mudah menjangkiti kanak-kanak, KKM dedah variasi baharu virus Covid-19 B.1.1.7

Pandangan berkenaan turut dipersetujui oleh seorang perubatan, Dr Azila Kasim yang memuat naikkan pandangan melalui entri Facebooknya.

“Oleh itu, orang ramai dinasihati agar sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka terutamanya ketika berada di tempat awam dan menjaga penjarakkan fizikal setiap masa,” katanya.

Serentak dengan itu, Dr Azila turut meluahkan kebimbangannya terhadap pengoperasian institusi pendidikan tidak lama lagi.

Katanya: “Risau kebolehjangkitan dalam kalangan murid yang ramai melebihi kerisauan belajar tidak sempurna. Alhamdulillah, semoga ALLAH sentiasa melindungi anak-anak kita yang tidak berdosa.”

Berikut ringkasan arahan terkini daripada Kementerian Pendidikan Malaysia:

Iklan

i. Sesi persekolahan akan bermula pada 20 Januari 2021.
ii. Hanya negeri yang terlibat dengan PKP sahaja akan menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) kecuali calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan yang setaraf (calon sesi 2020 dan 2021).
iii. Calon SPM dibenarkan untuk pulang ke asrama pada 16 Januari 2021.


Semalam Sinar Harian melaporkan, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam, esok hingga 26 Januari 2021.Arahan tersebut melibatkan enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.Sementara itu, PKP Bersyarat (PKPB) ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

PKP Pemulihan (PKPP) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel berkaitan: Covid-19: Pecahan negeri yang terlibat PKP, PKPB dan PKPP

Iklan

Tambah beliau, tahap keupayaan perkhidmatan kesihatan di negeri terbabit telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

“KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri semalam.Jelas beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko oleh KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pelbagai kementerian, agensi serta nasihat pakar-pakar kesihatan awam di dalam negara.

Muhyiddin berkata, dalam menangani pandemik Covid-19 ini, amat penting bagi mana-mana negara untuk mengelakkan insiden peningkatan kes yang mendadak dalam tempoh masa yang singkat.

“Peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata. Ia tidak lagi mampu untuk menampung jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dan kes-kes kematian akan terus meningkat,” katanya.

Justeru, patuhilah prosedur operasi standard yang telah ditetapkan. Ingat, keluar rumah apabila perlu sahaja. Insya-ALLAH kita boleh putuskan semula rangkaian Covid-19 ini. #kitawajibmenang